Wednesday, April 20, 2011

Pengunjung Setia Masjid An-Nasriyah

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

"Allahuakbar!" Dia mengajuk imam dengan suara kelakar.
Entah siapa namanya, di mana tinggalnya, aku tak tahu. Yang pasti, setiap kali aku ke masjid ini, dia sering berada bersama jemaah untuk solat. Susuk badannya kini agak gempal berbanding dahulu. Kata orang, dia cacat sejak kecil. Cacatnya tak kelihatan pada mata kasar, tapi perangainya kebudak-budakan.
Kerap juga dia menyaringkan suara, sehingga hampir-hampir mengganggu solat para jemaah. Tapi setakat ini, dia tidak bersikap kasar. Hari ini dia berkaca mata, nampak bergaya. Hampir tergelak aku melihat wajahnya dengan spek tersebut. Ironinya, dia cuba bersalam dengan jemaah lain selepas solat. Bagi jemaah yang memahami, mereka menerima salamnya bersahaja. Tapi bagi yang tidak pernah bertemu dengannya, mungkin berasa sedikit cuak dengan sikap 'ramah'nya itu.
Pernah satu ketika, ketika menyusun kasut pengunjung masjid, dia dibelasah kerana salah faham. Dia dianggap cuba mencuri kasut jemaah. Hari ini, dia masih setia menyusun kasut para jemaah yang singgah menunaikan solat di masjid ini.
Selesai solat, kubawa anak-anak kembali ke kereta.
"Baba, tengok kasut kita, dah disusun."  anakku menunjuk ke arah kasut dan selipar yang tersusun kemas.
Kami memandang sekeliling masjid.
Tidak jauh dari tangga masjid, kelihatan kelibat seorang lelaki tersengih ke arah kami.
Aku membalas dengan senyuman.
Terima kasih, getus hatiku.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...