Friday, August 24, 2012

Beraya di Hospital Sultanah Nur Zahirah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tidak pernah pun saya terfikir 'menyambut' lebaran di hospital, tetapi inilah yang berlaku pada raya tahun ini. Pemanduan hampir 10 jam dari Perak ke rumah mertua di Terengganu bukanlah perkara luar biasa. Bagaimanapun disebabkan kurang rehat dan berpuasa pada hari terakhir Ramadhan, saya akhirnya pitam pada malam raya.  Saya dihantar ke hospital dan mendapat rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Kandungan gula dalam darah rendah menyebabkan saya mengalami 'hypo' dan saya ditahan di wad selama dua malam, bermula malam tersebut. Ketika orang lain sibuk bertakbir dan bertahmid, saya ditemani beberapa orang pesakit, jururawat dan doktor yang bertugas di wad 8A, HSNZ.

Di hadapan saya, ada seorang pesakit lelaki berusia 50-an, Pakcik Mat Nor namanya. Dia mengalami kecederaan pada soket paha. Lebih mengejutkan, keluarganya baru tahu dia juga menghidap barah hati tahap 4. Patutlah matanya berwarna kekuningan, fikir saya. Pakcik Mat Nor ditemani anak-anak perempuannya seramai 3 orang dan isterinya. Mereka bergilir-gilir melayaninya yang semakin merosot kesihatannya sejak dimasukkan seminggu lalu. Saya berbual dengan Pakcik Mat Nor pada siang tersebut. Dulunya beliau seorang guru tetapi kini bertugas di bahagian pentadbiran IPG Kuala Terengganu, Batu Rakit. 
"Saya sakit kaki, tetapi doktor cucuk tangan saya," dia merintih dalam dialek Terengganu yang saya fahami. Menurut anaknya Norida, ayahnya hanya mengadu sakit kaki dan mereka menjangkakan sakitnya tidak serius. Apatah lagi dia sebelum ini sihat dan lasak menjalani kehidupan seharian. Kanser hati tahap 4 yang dihidapinya amat mengejutkan mereka.

Pada hari raya, ramailah saudara-maranya datang menziarahi Pakcik Mat Nor. Disebabkan katil kami bertentangan, mereka juga menyapa saya. Adik beradiknya yang datang memberitahu, Pakcik Mat Nor sudah diberitakan oleh doktor mempunyai peluang yang tipis untuk sembuh. Saya teringat arwah mak, yang juga menghidap sakit sama pada 2005 lalu. Mak diberitakan hanya ada 6 bulan untuk hidup selepas diagnosis kanser ulu hati. Dengan simptom yang sama dengan arwah mak, saya menjangkakan Pakcik Mat Nor juga tidak mampu bertahan lama. 

Menjelang petang, kesihatannya semakin merosot. Dia semakin lemah dan tidak bercakap lagi. Selepas solat Isyak, adik beradiknya dipanggil datang untuk membaca Yasiin. Saya juga turut sama membaca Yasiin, dalam keadaan dia makin nazak. Muntahnya darah, badannya semakin tidak bermaya. Anak-anak perempuan yang menjaganya sudah kering air mata. Saya memahami keadaan itu sebab arwah mak pada penghujung usianya begitu juga. Selepas pukul 11 malam, saya tidur di katil. Saya juga perlu jaga kesihatan diri. Menjelang 5 pagi keesokannya, keadaan di wad 8A tenang. Tiada lagi bunyi bacaan surah Yasiin. Saya menjenguk melihat beberapa orang lelaki sibuk membuat panggilan telefon di sisi jasad berbalut kain putih. Rupanya, Pakcik Mat Nor yang baru saya kenali sebagai' jiran' di wad 8A, sudah pergi menemui Ilahi buat selama-lamanya.

Seorang lagi pesakit yang baik dengan saya, Jefri namanya. Usianya setahun lebih tua daripada saya, tetapi pernah membuat pemindahan buah pinggang. Dia mengalami komplikasi pada buah pinggang setelah cuba berpuasa sepanjang Ramadhan. Anak kelahiran Sarawak yang beristerikan jururawat dari Besut itu memaklumkan kepada saya, dia juga beraya kali pertama di hospital. Menjelang hari raya kedua, dia dibenarkan pulang pada sebelah tengah hari, manakala saya pula dibenarkan keluar pada sebelah petang.
Lega rasanya dapat keluar pada hari raya kedua

Tekanan darah menurun dan gula kembali stabil. Doktor menasihati saya makan ubat dan amalkan senaman. Saya juga harus berwaspada kerana berdasarkan keturunan, saya berpotensi mendapat pusaka arwah ayah, iaitu diabetes.Jadi, saya bertekad untuk kembai bersukan bagi menjaga kesihatan.

Kepada semua rakan blogger, selamat menyambut hari raya, maaf zahir dan batin. Semoga kita dapat bertemu lagi dengan Ramadhan tahun-tahun berikutnya. AMIN..

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...