Monday, January 30, 2012

Budak Sekolah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Jika disebut budak sekolah (baca: murid sekolah sama ada di sekolah menengah atau rendah), apa yang melingkari pemikiran sebahagian besar daripada kita adalah, mereka bersikap kebudak-budakan, tidak matang dan perilaku mereka didorong keinginan  yang bertunjangkan emosi.

Begitulah yang sesetengah guru lihat apabila berdepan manusia bergelar murid. Budak sekolah sinonim dengan pakaian seragam biru putih yang tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang perlu dipatuhi.

Tidak boleh lewat ke sekolah, mesti ada lencana, tidak boleh berambut panjang, tidak boleh itu, tidak boleh ini dan seumpamanya.

Sama ada kita sedar atau tidak, budak sekolah ini terus membesar dan belajar. Menjelang 10 atau 15 tahun selepas meninggalkan alam persekolahan, pemikiran mereka sudah berubah. Malah, persekitaran dan pemahaman yang mereka lalui akan mengubah cara mereka bertindak.

Hakikatnya, mereka semakin dewasa dan memainkan peranan penting dalam menentukan jatuh bangun sesebuah negara. Itulah sebabnya, Imam Al-Ghazali, seorang ilmuwan Islam yang hebat, apabila ditanya anak muridnya, lalu beliau berkata, jika kamu hendak melihat maju sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya. Jika baik akhlak mereka, majulah negara itu, dan sebaliknya berlaku jika akhlak mereka buruk.

Ramai murid saya, yang dahulunya naif dan pemalu, malah ada juga yang sering didenda lantaran sikap culas mereka di dalam kelas, hari ini boleh saya banggakan.

Sebenarnya, seorang guru tidak memerlukan pujian untuk terus menabur bakti. Cukup sekadar ucapan terima kasih daripada anak muridnya.

Saya berterima kasih kepada guru-guru saya di SMK Ahmad Boestamam, Sitiawan yang telah mendidik saya dahulu. Kepada murid saya, terima kasih kerana menjadi seorang warga negara yang berguna untuk agama, masyarakat dan negara.

Tuesday, January 24, 2012

Tahniah Polis Malaysia. Memang Patut Penjenayah Tegar Dibunuh!

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.



Polis Diraja Malaysia(PDRM) sering dimomokkan oleh pihak tertentu sebagai lembab dan menjadi mangsa tuduhan liar parti-parti politik pembangkang akhir-akhir ini.Bagaimanapun, kecekapan polis mematahkan peristiwa seorang kanak-kanak menjadi tebusan penagih dadah kelmarin, wajar membuka mata kita.


Kanak-kanak perempuan tersebut berdepan saat cemas lebih lima jam apabila dijadikan tebusan seorang lelaki bersenjatakan pisau, dipercayai penagih dadah yang kurang siuman akibat pengaruh dadah yang menceroboh rumah keluarganya di Kampung Baru di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi di Lorong Raja Muda Musa 6, mangsa yang berusia 10 tahun sedang menonton televisyen bersama keluarganya, dan tidak semena-mena, suspek yang dalam keadaan bogel meluru masuk dan mengambil pisau di dapur lalu mengacukannya ke arah kanak-kanak terbabit dan menangkapnya untuk dijadikan tebusan.

Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan jam 4.10 petang selepas polis memasuki rumah berkenaan dan melepaskan empat das tembakan ke arah suspek.

Lelaki berusia 34 tahun itu yang cedera di perut, rusuk dan kaki disahkan mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan. Memang patutlah dia mati, sebab dia boleh mencetuskan keadaan panik dan mencederakan mangsa.

Usaha memujuk suspek yang dilakukan bapa mangsa namun tidak berhasil apabila lelaki terbabit membawa kanak-kanak itu ke dalam sebuah bilik berhampiran ruang tamu. Sepasukan anggota polis yang tiba tidak lama kemudian turut gagal memujuk suspek menyebabkan pakar psikiatri HKL terpaksa dipanggil untuk memujuknya tetapi masih menemui jalan buntu.

Difahamkan, polis juga turut memanggil seorang wanita dipercayai kakak kepada teman wanita suspek untuk memujuknya melepaskan mangsa, namun tetap tidak berhasil. 'Drama' tebusan kira-kira lima jam 10 minit itu bagaimanapun berakhir beberapa polis masuk ke rumah berkenaan dan melepaskan empat das tembakan ke arah suspek, manakala kanak-kanak terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, berkata sebelum kejadian suspek dilihat berkeliaran dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu menyebabkan beberapa penduduk mengejar untuk menangkapnya.

Beliau berkata, suspek yang melarikan diri kemudian menceroboh masuk ke rumah mangsa lalu mengambil pisau di dapur lalu menangkap mangsa dan dijadikan tebusan.

"Polis tiada pilihan selain terpaksa melepaskan tembakan ke arahnya selepas pelbagai usaha memujuknya lebih lima jam tidak berhasil. 

"Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk samun," katanya.

Harapnya SUHAKAM dan Badan Hak Asasi yang sering menghentam polis tidak mengambil tindakan bodoh mempertikaikan usaha polis menyelamatkan mangsa.

TAHNIAH POLIS!

Sunday, January 8, 2012

Akhirnya Datuk Hassan Ali Dipecat Juga..(UPDATE)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya bukanlah ahli politik, malah bukan juga pemerhati politik yang tegar. Tapi sebagai rakyat Malaysia, yang cintakan agama, saya pernah beranggapan PAS adalah wadah terbaik untuk memartabatkan Islam kerana ketegasannya sebelum ini.

Jujur saya nyatakan di sini, saya antara orang yang mula-mula menziarahi Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selepas PAS berjaya menguasai DUN negeri berkenaan pada pilihanraya umum (PRU) 1999.

Saya mengagumi ketrampilan (arwah) Ustaz Fadzil Noor yang pada hemat saya, seorang yang berpegang kepada prinsip PAS sejak dahulu lagi. Satu jawapan ustaz Fadzil yang masih saya ingat ketika beliau ditanya mengapa memakai songkok, jawapannya ialah, "Songkok bukan milik mutlak UMNO atau mana-mana kumpulan."

Apabila Datuk Hassan Ali bertindak mempertahankan agama semasa beliau menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor, saya masih mempunyai harapan bahawa PAS akan memegang prinsipnya dan mempertahankan beliau. Terlalu banyak isu berkaitan portfolio beliau termasuklah isu gereja, murtad, kalimah Allah, arak dan demonstrasi HIMPUN.

Rentetan 'keceluparan' dan keterbukaan Hassan Ali mendepani isu berkaitan Islam di Selangor, ia tidak disenangi banyak pihak khususnya beberapa orang Ahli Parlimen dan ADUN Pakatan Rakyat daripada DAP dan PKR. Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) sebelum mesyuarat jawatankuasa disiplin parti telah memberi kata dua kepada PAS agar satu tindakan tegas perlu diambil terhadap exco Negeri Selangor tersebut kerana  melampaui batasan persefahaman dalam PR.

Saya masih ingat lagi kata-kata Datuk Hassan Ali dalam temu bual dengan media, "Jika memerintah Selangor pun kita (PAS) tidak mampu menegakkan Islam dan mempertahankan institusi raja Melayu, apakah yang kita harapkan apabila kita menguasai Putrajaya nanti?"

Hari ini,Hassan Ali sudah tidak lagi menjadi ahli PAS. Beliau bukan sahaja dibuang jawatan, tetapi juga keahliannya juga ditarik balik.Pelbagai respons pro dan kontra boleh dilihat di portal maya.

Sudah menjadi kelaziman, ini akan menjadi satu isu yang kontroversi dan boleh menjejaskan kredibiliti PAS yang selama ini pun dilihat sebagai 'tukang angguk' kepada PKR dan DAP.

PAS, kembalilah kepada prinsip asal.

Sunday, January 1, 2012

Kemalangan Ngeri Di Jalan Lekir-Sitiawan Membuka Tirai 2012 (UPDATE)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ketika bersarapan dengan anak-anak di sebuah warung berdekatan, saya mendapat berita kemalangan ngeri melibatkan sebuah lori treler dan sebuah kereta yang berlaku lewat malam tadi. Jumlah korban agak besar, menyebabkan saya bergegas ke tempat kejadian yang tidak jauh dari rumah saya.

Setibanya di sana, lori treler masih lagi belum dialihkan, manakala sisa kenderaan dan gerai buah yang roboh masih tidak diurus. Beberapa orang termasuk seorang dua kenalan turut berada di sana.

"Anak murid cikgu jugak, budak Batu 14. Budak Batu 15 pun ada." Kata seorang kenalan memberitahu.

Berderau hati mendengar berita bahawa kemalangan tersebut meragut nyawa beberapa orang murid sekolah saya. Tanpa berlengah, saya terus ke rumah mereka. Setibanya di rumah seorang mangsa, saya mendapatkan khabar lebih jelas. 7 orang mereka dalam sebuah Honda Stream terbunuh manakala seorang lagi cedera ringan tetapi trauma. Pelajar saya yang terbunuh ialah Muhamad Kamil Samsuri,15; Mohamad Shadan Mohd. Arshad,15; Ahmad Faizal Ahamad Termizi,15; Mohd. Shafiq Riduan Yusof,16; Badrul Isa Sulaiman,20; dan adiknya Mohd. Hadi,17 manakala Khairul Faiz, 17 tahun cedera. Pemandunya, Mohd. Hisham Mat Zaki,23 merupakan abang angkat kepada Badrul dan Hadi.

Saya mendapat makluman daripada Nasarudin, abang arwah Kamil bahawa mereka dikebumikan dalam satu liang dan disembahyangkan di masjid Batu 14, Lekir setibanya dari Hospital Manjung.

Faizal, paling hadapan ketika satu kejadian di ladang sawit
Muhammad Kamil, saya temui kali terakhir minggu lalu ketika dia berjumpa saya sambil berbual tentang hala tuju selepas PMR 2011. Katanya, dia ingin ke Vokasional, tetapi dia sayangkan sekolah lama. Syafiq Ridzuan pula adalah pemain takraw sekolah. Dia seorang pendiam, tetapi tidak menimbulkan masalah disiplin. Faizal pula, pernah 'kantoi' bersama rakan lain di ladang sawit pada hari persekolahan. Walau apa pun yang pernah mereka lakukan, saya sudah memaafkan anak-anak ini. Moga syurgalah tempat mereka. AMIN..

Koleksi foto http://dahujan.blogspot.com/









Honda Stream yang terbalik
Bahagian belakang Honda Stream
Rempuhan dari treler yang membawa tong gas.
Terdapat cebisan mangsa di kereta  En. Osman






Moga Allah merahmati mereka. Ajal maut adalah ketentuan. Mati sudah pasti tetapi masanya sahaja yang kita tidak tahu. Semoga ini menjadi pengajaran kepada kita.

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...