Monday, January 30, 2012

Budak Sekolah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Jika disebut budak sekolah (baca: murid sekolah sama ada di sekolah menengah atau rendah), apa yang melingkari pemikiran sebahagian besar daripada kita adalah, mereka bersikap kebudak-budakan, tidak matang dan perilaku mereka didorong keinginan  yang bertunjangkan emosi.

Begitulah yang sesetengah guru lihat apabila berdepan manusia bergelar murid. Budak sekolah sinonim dengan pakaian seragam biru putih yang tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang perlu dipatuhi.

Tidak boleh lewat ke sekolah, mesti ada lencana, tidak boleh berambut panjang, tidak boleh itu, tidak boleh ini dan seumpamanya.

Sama ada kita sedar atau tidak, budak sekolah ini terus membesar dan belajar. Menjelang 10 atau 15 tahun selepas meninggalkan alam persekolahan, pemikiran mereka sudah berubah. Malah, persekitaran dan pemahaman yang mereka lalui akan mengubah cara mereka bertindak.

Hakikatnya, mereka semakin dewasa dan memainkan peranan penting dalam menentukan jatuh bangun sesebuah negara. Itulah sebabnya, Imam Al-Ghazali, seorang ilmuwan Islam yang hebat, apabila ditanya anak muridnya, lalu beliau berkata, jika kamu hendak melihat maju sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya. Jika baik akhlak mereka, majulah negara itu, dan sebaliknya berlaku jika akhlak mereka buruk.

Ramai murid saya, yang dahulunya naif dan pemalu, malah ada juga yang sering didenda lantaran sikap culas mereka di dalam kelas, hari ini boleh saya banggakan.

Sebenarnya, seorang guru tidak memerlukan pujian untuk terus menabur bakti. Cukup sekadar ucapan terima kasih daripada anak muridnya.

Saya berterima kasih kepada guru-guru saya di SMK Ahmad Boestamam, Sitiawan yang telah mendidik saya dahulu. Kepada murid saya, terima kasih kerana menjadi seorang warga negara yang berguna untuk agama, masyarakat dan negara.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...