Tuesday, October 6, 2015

Jerebu: Apakah yang kita harapkan daripada Indonesia?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Malaysia dilanda jerebu yang teruk dalam tempoh yang berlarutan hampir sebulan, sehingga memaksa sekolah-sekolah ditutup di beberapa buah negeri. Puncanya, sama seperti tahun-tahun sebelumnya, iaitu pembakaran terbuka oleh syarikat-syarikat perladangan di Indonesia, terutama di kepulauan Riau, Jambi, Kalimantan dan Sumatera.

Pergerakan angin membawa debu dan asap pembakaran tersebut ke ruang udara negara kita dan Singapura. Ruang udara negara dipenuhi asap dan debu pembakaran yang merengsakan tekak dan menyukarkan pernafasan. 

Dalam hal ini, Singapura bertindak tegas mengikut peruntukan undang-undang yang baharu digubal tahun lalu, dengan menyaman syarikat yang terlibat. Manakala pemimpin negara kita bersikap tunggu dan lihat termasuk mengadakan beberapa pertemuan dengan kepemimpinan tertinggi Indonesia, dalam erti kata cuba mencari penyelesaian secara rundingan.  Seorang Menteri dilaporkan berkata Malaysia juga akan (belum lagi bertindak sebenarnya) menggubal undang-undang rentas sempadan seperti yang dilakukan oleh Singapura supaya ia tidak berulang pada masa akan datang.Ironinya, ia bukanlah perkara baharu dan telah berlaku bertahun-tahun lalu.
Keadaan jerebu menjejaskan ekonomi dan kesihatan

Sekolah di Malaysia terpaksa ditutup setelah bacaan IPU meningkat

Indonesia adalah sebuah negara pulau, dengan kadar korupsi yang tinggi dalam kalangan pegawai penguatkuasanya. Mengharapkan Joko Widodo melakukan tindakan susulan, umpama berharap keajaiban yang datang secara tiba-tiba. Jokowi (nama panggilan mesra Presiden Indonesia) sendiri mengakui sukar untuknya menghentikan tindakan pembakaran yang mengakibatkan jerebu di negara jiran, sebaliknya meminta masa 3 tahun untuk mengatasi masalah yang sudah membarah ini.

Lalu, apakah sebenarnya yang kita harapkan daripada Indonesia. Rakyat Indonesia di beberapa kawasan yang terjejas teruk seperti di Riau sendiri, sudah tidak mampu merayu pemimpin negara mereka menyelesaikan masalah bencana jerebu. Mereka sendiri dilayan dengan buruk akibat tindakan rakus syarikat ladang dan individu yang merosakkan alam sekitar di Indonesia.

Saya masih di Shah Alam ketika mencoretkan luahan ini, dan keadaan agak baik selepas hujan lebat petang tadi di sini. Bagaimanapun, mengharapkan hujan semata-mata, untuk mengembalikan keadaan pulih tanpa jerebu, adalah harapan yang tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada takdir. 

Kita layak dan mampu berdoa, tetapi satu penyelesaian tuntas perlu dibuat supaya keadaan ini tidak berulang saban tahun.

Indonesia, dengarlah luahan hati rakyatmu dan negara jiran. Kami sudah letih dengan menyedut udara jerebu yang panas, berdebu dan menjejaskan kesihatan apabila tiba musim pembakaran ladang secara besar-besaran.  

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...