Monday, May 2, 2016

Hari Terakhir Ustazah Nafizah Rejab

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian ini. Kisah ini adalah detik akhir seorang guru yang juga saya anggap seseorang kakak. 

Ustazah Nafizah Rejab, atau lebih dikenali sebagai Kak Fizah, seorang guru pendidikan Islam yang tinggi lampai, dan kulitnya kuning langsat. Seorang guru yang baik budi dan amat mengambil berat keadaan pelajar. Hasil perkongsian hidup dengan suaminya ustaz Roslin Om, pegawai agama daerah Manjung, mereka dikurniakan 4 orang cahaya mata.
Saat bahagia Kak Fizah bersama keluarganya

       Pada 7 April 2016, dia menghantar mesej cuti sakit. Sebagai pentadbir, saya perlu sediakan jadual ganti untuknya supaya kelas yang ditinggalkan tidak terbiar. Minggu berikutnya, pada 12 April, dia terpaksa cuti sakit lagi. untuk dapatkan kepastian tempoh cutinya, saya bertanya kepadanya. Alangkah terkejutnya saya mendapat jawapannya. Dia masih dirawat di KPJ Manjung, dan doktor tidak dapat mengesan punca platelet dan darah putihnya 0. 
Mesej terakhir bersamanya

        Ada rakan yang menziarahinya di wad dan perkhabaran yang kami terima, keadaannya lemah tetapi stabil. Dia mengambil keputusan pulang ke rumah selepas tidak setuju cadangan doktor mengambil sampel air tulang belakang. Rawatan alternatif seperti perubatan Islam diambil sebagai susulan. Selepas sambutan Hari Anugerah 2016 pada Sabtu 16 April, ramai rakan-rakan guru wanita yang menziarahinya, kerana lokasi rumah Kak Fizah hanya berdekatan sekolah. Pada pagi 19 April, kami dimaklumkan Kak Fizah dibawa ke hospital Seri Manjung dalam keadaan tidak  sedarkan diri. Badannya terlalu lemah. Pengetua dan beberapa orang guru turut melawatnya pada waktu tengah hari. Saya berkesempatan menziarahinya pada petang tersebut. 

       Melihat keadaannya yang tidak sedarkan diri di wad 9, HSM, kami yang menziarahinya dipagut rasa pilu. Matanya tertutup rapat, dengan saluran pernafasan berselirat di mulutnya. Ada darah kering di mulutnya. Ramai yang membacakan surah Yaasin sebagai pemberi semangat dan kekuatan kepadanya. Dalam keadaan itu, saya lihat suaminya ustaz Roslin Om, begitu tenang dan pasrah. Ketika saya memeluknya, saya pula yang berasa kepiluan yang tidak tertahan, sedangkan dia tampak bersedia dengan apa jua kemungkinan. 
       
        "Saya cuba usahakan anak sulung yang berada di Peranchis dapat pulang. Doktor kata kena sedia apa juga kemungkinan malam ini," bisiknya dengan suara perlahan. 

      Anak sulungnya, masih di Eropah untuk program pertukaran pelajar. Saya tak dapat bayangkan bagaimana perasaannya mendapat berita ibunya nazak. Tiga lagi anaknya sudah berada di sisi keluarga, sementara sanak saudara terdekat sudah pun dimaklumkan dan datang menziarahinya. 

         Menjelang maghrib, saya pulang ke rumah. Jauh di sudut hati, saya memujuk hati bahawa keajaiban kuasa Allah mengatasi segalanya. Keadaannya tidak memberikan sebarang harapan, dan itulah hakikatnya. Saya hanya berdoa agar Allah permudahkan segala urusan Kak Fizah. 

Jam 10.35 malam, saya mendapat panggilan daripada kaunselor, Nor Zahariah bt Abdul, yang juga adik sepupu saya dalam esak tangis yang terputus-putus.

"Kak Fizah dah tak ada.... Jam 10.22 malam tadi," Katanya sambil memaklumkan berita itu sahih daripada ustaz Roslin sendiri. 

Saya menerima berita itu dengan rasa sedih, tetapi kehidupan perlu diteruskan. Esoknya, kami membaca Yaasin di tapak perhimpunan dan memberikan peluang semua pelajar sesi pagi menziarahi jenazahnya buat kali terakhir. 

Allah juga yang kekal. Kematian pasti datang menjemput kita. Hanya masa yang menentukannya. Moga Allah mengampuni Kak Fizah, dan ditempatkan rohnya bersama orang yang beriman dan para solehin, Amin.

Allah menyayangi Ustazah Nafizah. 




1 comment:

  1. AL-FATIHAH,KENANGAN ITU INDAH DAN DOA ITU KEKAL PADA SEPANJANG MASA.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...