Friday, November 18, 2016

Keputusan UPSR 2016

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Keputusan UPSR 2016 sudah pun diketahui semalam 17 hb November 2016. Pelbagai reaksi diterima kesan daripada penurunan mendadak jumlah pelajar yang mendapat semua A dalam peperiksaan tersebut. Anak saya juga seorang daripada calon UPSR yang hanya dapat 3A sahaja. DI sekolahnya, pelajar terbaik hanya memperoleh 4A2B. Di daerah Manjung, jumlah pelajar yang dapat semua A tidak sampai 100 orang daripada lebih 3000 calon.  

Menurut Menteri Pendidikan, format baharu dalam UPSR tahun ini sesuai dengan objektif KSSR. Bagaimanapun keputusan yang diperoleh oleh pelajar kali ini amat jauh berbeza dengan tahun tahun sebelumnya. Hanya 1.11% atau 4,896 orang pelajar mendapat semua A, berbanding dengan lebih 30 ribu orang pada tahun 2015. 

Ketua Pengarah Pendidikan masih berlapik dengan alasan kononnya masyarakat tidak boleh membandingkan pencapaian 2016 dengan 2015 kerana formatnya tidak sama. Pada tahun 2016, kertas bahasa Inggeris dipecahkan kepada dua iaitu Pemahaman dan Penulisan. Dengan soalan yang dikemukakan banyak mengetengahkan soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi atau KBAT, tidak hairanlah pencaaian pelajar bandar dan luar bandar agak berbeza. Biarpun prestasi bandar dan luar bandar merosot, KPM masih lagi mempertahankan keputusan UPSR baru-baru ini sebagai 'membanggakan'. 

Dengan jumlah Sekolah Berasrama Penuh sebanyak 69 buah di seluruh negara, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (55 buah) dan Maktab Rendah Sans MARA (51 buah) yang menawarkan tempat hampir 21,000 kekosongan bagi tingkatan 1 (2017), jumlah pelajar cemerlang seramai 4896 orang (semua A) tentu menimbulkan persoalan, siapakah yang akan mengisi kekosongan tersebut. 

Akhirnya sehari selepas keputusan diumumkan, KPM mengumumkan minimum 3A,3B sebagai layak untuk memohon ke sekolah-sekolah berkenaan.  

Hakikatnya, kebanyakan pegawai tinggi dan hebat di KPM yang berlatarbelakangkan pendidik pada awal kerjaya mereka, gagal memahami kekecewaan guru di sekolah yang masih terkesima dengan kegagalan pelajar mendapat semua A di sekolah. 

Lebih malang lagi apabila guru-guru dipersalahkan seolah-olah tidak mengajar dengan bersunguh-sungguh oleh segelintir ibu bapa yang tidak faham tugas guru. KPM pula memberi hujah bahawa bentuk soalan KBAT sudah diperkenalkan kepada murid sejak 2010. Sudah terang lagi bersuluh, siapakah yang menjadi 'punching bag' kalau bukan guru?

WARGA KPM DI PUTRAJAYA, SELAMILAH HATI DAN JIWA GURU DI SEKOLAH. 

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...