KETERUJAAN para Mukminin untuk memburu lailatulqadar sudah sampai ke kemuncaknya. Menjelang 10 malam terakhir Ramadan terdapat satu malam yang ganjaran beribadah lebih baik daripada 1000 bulan ataupun menyamai kira-kira 83 tahun umur manusia.
Allah SWT berfirman maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar lebih baik daripada 1000.
Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Terjemahan al-Qadr:1-5).
* Sucikan jiwa dan raga
daripada dosa
Untuk meraih ganjaran malam al-Qadr seseorang selayaknya mengikhlaskan niat beribadah kerana Allah SWT, menyucikan jiwa daripada sifat mazmumah dan menghindari berbuat dosa dan nista.
Para Muslimin diajak bersungguh-sungguh menyempurnakan kewajipan puasa pada siang hari selain menjaga seluruh anggota dan pancaindera daripada maksiat. Apa yang menjadi makanan seharian juga penting untuk dititikberatkan terutama yang berunsur syubhat apatah lagi yang haram.
Ini kerana tanpa mujahadah dan komitmen bagaimana mungkin seseorang terpilih beribadah di malam lailatulqadar yang penuh dengan segala keajaiban.
* Banyak berdoa dan beristighfar
Muslimin yang mendambakan lailatulqadar turut diajak bermunajat memohon kepada Ilahi agar diberi kesempatan beribadah pada malam tersebut. Tanpa bantuan dan pertolongan-Nya kemungkinan tertidur, ditimpa sakit atau musibah. Malah tanpa bantuan dan inayah-Nya manusia yang lemah, leka dan cenderung melakukan dosa kemungkinan juga diselubungi sifat malas dan lebih rela tidur sepanjang malam.
Selain itu banyakkan beristighfar memohon keampunan dan keredaan Allah sehingga menimbulkan keinsafan dalam diri seraya membangkitkan motivasi untuk bersungguh-sungguh beramal demi mengingatkan masih sedikit ibadah yang telah dilakukan. Inilah juga kesempatan terbaik untuk setiap hamba memohon keampunan kepada Allah SWT daripada dosa silam yang membelenggu diri.
* Tetapkan ibadah tertentu untuk dikerjakan
Memandangkan tidak ada amalan khusus pada malam al-Qadr, setiap individu Muslim boleh merangka jadual ibadah sepanjang tempoh tersebut.
Lakukanlah apa sahaja yang termampu mengikut masa dan keadaan masing-masing. Boleh jadi seseorang menggunakan nikmat rezeki untuk berinfak selain iktikaf di masjid dengan melakukan solat sunat, bertadarus al-Quran, qiamullail dan lain-lain. Atau mungkin bagi yang sibuk bekerja syif malam bolehlah memperbanyakkan berdoa, berzikir dan beristighfar sambil berharap kurniaan dan pahala berlipat kali ganda.
* Senaraikan doa/hajat untuk dipohon
Supaya tidak terlepas peluang sekali seumur hidup seseorang digalakkan untuk menyediakan senarai doa dan hajat yang dipinta lalu dibaca pada malam-malam yang berkemungkinan besar terjadi lailatulqadar. Ini seperti saranan Nabi SAW supaya mencari lailatulqadar pada malam ganjil 10 yang akhir daripada Ramadan. Umat Islam juga sangat digalakkan memperbanyak berdoa.
Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan sangat bersungguh-sungguh menghidupkan malam tersebut sambil mengejutkan ahli keluarganya untuk sama-sama beribadah dan mengabdikan diri kepada Ilahi.
Terdapat juga amalan segelintir masyarakat yang beriktikaf di masjid sepanjang tempoh tersebut yang molek dicontohi.
Kesempatan berada di penghujung Ramadan adalah masa untuk bermuhasabah tentang ibadah puasa serta kebajikan lain yang telah dilakukan bimbang tidak diterima oleh Allah SWT.
Terdapat peringatan Nabi SAW tentang golongan yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripadanya kecuali rasa lapar dan dahaga sahaja.
Umat Islam juga diingatkan supaya tidak terkesima dengan persiapan menyambut hari raya dan kesibukan pulang ke kampung halaman. Dikhuatiri lailatulqadar yang hanya satu malam dalam setahun bahkan mungkin peluang sekali seumur hidup berlalu begitu sahaja.
Dari sudut pandang lain, Ramadan kini beransur melabuhkan tirainya. Ini bermakna segala kemuliaan dan fadilat Ramadan juga akan mula sirna menjelang ketibaan Syawal yang mulia. Maka beruntunglah golongan yang benar-benar dapat memanfaatkan Ramadan dengan kesungguhan yang tidak berbelah-bahagi. Marilah sama-sama kita berdoa semoga segala amal bakti termasuk puasa kita diterima oleh Allah SWT dengan sempurna. Ambil jugalah peluang terakhir di penghujung Ramadan untuk bermunajat dan berdoa moga dipanjangkan umur dalam ibadah dan terpilih untuk bertemu Ramadan lagi pada tahun-tahun mendatang.
Bagi yang belum menunaikan zakat fitrah, eloklah bersegera menunaikan kewajipan sebelum tamat tempoh ditetapkan. Ini kerana kedudukan zakat dan puasa sama dari segi kewajipan untuk melaksanakannya.
Adalah tidak adil setelah ribuan ringgit dibelanjakan untuk membuat persiapan hari raya, golongan fakir miskin yang juga ingin bergembira di Aidilfitri dilupakan. Malah inilah antara kaedah yang diatur dalam Islam untuk merapatkan jurang miskin kaya sekali gus beribadah menggunakan nikmat rezeki kurniaan Ilahi.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang Johor Darul Takzim.