Tuesday, August 1, 2017

PANGGILAN HAJI SEMAKIN MENGGAMIT

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

     Kurang 24 jam daripada sekarang, saya dan isteri bersama jemaah haji XY16, akan meninggalkan bumi Malaysia untuk menunaikan ibadah haji di Mekah.
      Sebelum pergi, kami sudah membuat persediaan seperti yang sepatutnya. Rambut saya pun sudah digunting pendek supaya memudahkan urusan ibadah nanti. Kami juga menziarahi (dan diziarahi) sanak saudara dan rakan taulan, dengan doa serta harapan agar kami dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna.

     Perasaan saya tentunya bercampur baur. Gembira dan teruja kerana dapat menyertai lebih 30 ribu jemaah haji Malaysia menunaikan ibadah kali ini. Kami sudah lama impikan saat saat untuk mengerjakan rukun Islam kelima ini. Peluang seperti ini adalah saat keemasan yang tidak patut dibiarkan. Entah esok lusa, kita tidak boleh meramalkan apa yang berlaku kepada kehidupan yang kita ada hari ini. Justeru, sikap melabelkan 'ibadah haji hanya untuk orang tua' perlu diketepikan daripada pemikiran kita.

       Wujud juga perasaan sedih dan bimbang, mengenangkan anak-anak yang ditinggalkan. Kami mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, tapi kepadaNya kami serahkan, dengan doa agar Allah memudahkan segala urusan sepanjang tempoh ibadah haji ini berlangsung. 

       Dalam tempoh 44 hari meninggalkan bumi Malaysia, pasti ada banyak perkara bakal berlaku. Berita baik atau kurang baik, semuanya perlu dihadapi dengan tenang, tanpa menyalahkan takdir Allah. Saya percaya apa yang Allah telah tetapkan, seperti mana dalam maksud firmannya,"Kamu merancang, Allah juga merancang, dan Allah sebaik-baik perancang.."

Semoga kami dapat menjalani ibadah haji dengan sempurna. Terima kasih atas doa yang tidak putus putus, saya juga mendoakan rahmat dan keberkatan Allah untuk kita semua.  

3 comments:

  1. Alhamdulillah menjadi tetamu Allah.
    Semoga selamat menunaikan haji dan pulang dengan haji yang mabrur.

    ReplyDelete
  2. حجا مبرورا وسعيا مشكورا وتجارة لن تبور

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan