Sunday, March 8, 2020

PENGUMUMAN KEPUTUSAN SPM 2019

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Khamis 5 Mac 2020. keputusan SPM 2019 telah diumumkan secara rasmi di semua sekolah menengah di seluruh Malaysia. Selain pelajar yang terlibat, guru guru juga berdebar debar menanti keputusan yang bakal diperoleh.

     Pelajar tentunya teruja menanti keputusan selepas penat berusaha, dan berharap keputusan berkenaan dapat membantu mereka menyambung pengajian di peringkat yang diinginkan. Manakala guru pula tertanya tanya adakah usaha dan program yang dibuat berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.

         Pada hari berkenaan, saya masih bercuti sakit akibat kecederaan ligamen pada buku lali kaki kiri. Namun saya gagahkan juga ke pejabat untuk bersama-sama warga pendidik SMKBS merasai debaran peristiwa tersebut.

     Secara keseluruhan,  keputusan SPM 2019 memberikan harapan kepada kami untuk terus berusaha. Kami berjaya mengecilkan Gred Purata Sekolah daripada 4.88 kepada 4.86. Peratus pelajar yang layak dapat sijil juga meningkat 0.13% kepada 91.16%. Tiada pelajar yang mendapat semua A, namun kejutan tentunya daripada Ahmad Fahim Ahmad, pelajar terbaik yang mendapat 8A1B+, kerana awalnya Fahim bukan termasuk dalam senarai harapan cemerlang.   

     Aqil Najmi, putera ke-4 saya juga tidak mengecewakan, apabila berjaya mendapat keputusan yang baik di SMKASAS, Bota. Malah sekolah tersebut mendapat GPS 1.89, iaitu yang terbaik pernah di peroleh. Ini tentu menggembirakan sahabat saya, Haji Lotpi Mohd Razali yang mentadbir sekolah tersebut sejak 2015.

    Secara peribadi, saya bersyukur dengan keputusan SPM kali ini. Bagi sebuah sekolah harian luar bandar, dengan murid yang pelbagai, pengurangan GPS dan peningkatan peratus lulus walaupun kecil, adalah satu kejayaan. Kami dapat menyumbang kepada kejayaan SPM daerah Manjung.
          Saya bertuah kerana dikelilingi guru dan murid yang hebat. Terima kasih kepada warga pendidik SMKBS Lekir yang bertungkus lumus memastikan calon sekolah berjaya.

       Tahniah kepada pelajar yang berjaya dalam SPM, tidak kira berapa A yang anda perolehi. Jalan di hadapan anda kini terbentang luas.

Teruskan melangkah menempuh cabaran. Pilihan di tangan anda, ibarat kata pepatah, perahu sudah di air, dayung sudah di tangan. Tepuk dada, tanya diri sendiri, ke mana anda selepas ini.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...