Wednesday, October 25, 2017

TRUMP: TINDAK TANDUKNYA SEBAGAI PRESIDEN AS SEMAKIN DIRAGUI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Donald Trump, seorang jutawan dan ahli korporat yang berjaya di Amerika Syarikat, mengangkat sumpah sebagai presiden AS ke -45 pada Januari 2017. Lelaki berambut perang dan bermulut celupar itu mengalahkan calon wanita Demokrat, Hillary Clinton dalam siri pilihanraya yang sengit. 
Donald Trump: Presiden AS ke-45

Trump, dalam janjinya semasa kempen pilihanraya, telah menggunakan slogan "We Make America, Great Again" dengan beberapa cadangan, seperti memagar sempadan AS-Mexico, menghalang golongan radikal (baca: pelampau Islam) masuk ke AS, mengetatkan undang undang imigresen, mengkaji semula perjanjian dengan negara China, termasuk membatalkan beberapa polisi presiden sebelumnya, iaitu Barack Obama yang kononnya merugikan AS dalam banyak perkara.

Setelah lebih 7 bulan menjadi presiden sebuah negara yang paling kuat di dunia, kepimpinan Trump diragui. Sebelum ini, hanya parti Demokrat sahaja yang mencanang kelemahannya. Bermula dengan 'penipuan' yang dibuatnya semasa insiden kematian 4 orang tentera AS di Niger, Trump dihujani pelbagai kontroversi. Dia menceritakan betapa baiknya dia yang menghubungi waris tentera yang mati, tidak seperti Obama yang kononnya tidak prihatin. 

Namun begitu, hakikatnya amat sukar diterima oleh waris mangsa insiden Niger. Trump dilaporkan berkata kepada waris, "tentera yang terbunuh itu tahu apa yang bakal dihadapinya.". Insiden Niger juga hanya diumumkan oleh White House selepas seminggu berlaku,  Umum mengetahui rakyat As amat peka dengan kematian tentera mereka, terutama di luar negara. Sejarah membuktikan AS mengalami kekalahan di Vietnam dan ramai tenteranya terbunuh secara sia-sia. 

Trump telah berbalah dengan kebanyakan media utama di AS, seperti Washington Post,  NBC dan CNN, dan menganggap berita yang disiarkan adalah 'berita sampah'. Hanya FOX yang masih menyiarkan berita menyokong Trump. Trump gemar menjaja luahan hatinya di Tweeter, dan kekal dengan pandangannya yang sinikal, agresif dan hentam keromo.

Hari ini, dua orang Senator daripada parti Republican sendiri (yang juga parti diwakili Trump), tampil dengan berani mengkritik tindakan Trump yang kelihatan tidak sesuai dengan imej AS sebagai sebuah negara yang demokrasi dan  menghormati hak setiap manusia. Senator Jeff Flake, dari Arizona, telah secara terbuka menyatakan beliau tidak menyokong tindakan Trump, dan meletakkan jawatannya sebagai Senator. Bob Corker, juga Senator Republican, menyuarakan nada yang sama terhadap Trump. Beliau menganggap Trump tidak layak dijadikan suri teladan, penipu dan tidak akan menyokongnya lagi dalam siri pemilihan Presiden AS akan datang,

Trump, biar apa pun yang dikatakan orang terhadapnya, masih tidak berubah, dan kekal dengan sikapnya. Malah, Trump menggunakan jentera White House untuk membuktikan tindakan dua orang Senator Republican itu tidak menjejaskannya. 

Tuan Presiden, anda semakin hilang kepercayaan warga AS. Apatah lagi kami di luar ini, melihat drama politik anda dengan pertanyaan, bilakh agaknya ia akan berakhir?


Thursday, September 21, 2017

CORAT CORET KEMBARA HAJI (SIRI 2)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


#1 - Polis Mekah Tidak Mesra

Sesiapa yang pergi musim haji 2017, pasti bersetuju bahawa polis Mekah tidak mesra, jauh lebih biadab daripada apa yang sepatutnya mereka lakukan terhadap jemaah haji. Selain mengawal jumlah jemaah yang memasuki Masjidilharam, mereka hanya berbual dan bermain telefon bimbit. Tiada waktu rasmi menutup laluan jalan. Ia dilakukan ikut suka dan tidak sistematik. Jemaah haji yang tua atau uzur, tidak mendapat pengecualian jika jalan ditutup. Akibatnya, laluan ke Masjidilharam yang berjarak 700 meter boleh menjadi 1 km. Mungkin ini juga sebahagian daripada ujian yang harus dilalui oleh para jemaah.  

#2 -  Kemuncak Ibadah Haji Mencabar Kesabaran

Pada 8 Zulhijjah, kami mula bergerak meninggalkan Mekah menuju ke Arafah untuk ibadah wukuf. Wukuf adalah berada di bumi Arafah pada tempoh yang ditetapkan. Bermula dengan wukuf di Arafah, mabit di Mudzdalifah dan di Mina, semuanya memerlukan kekuatan fizikal, mental dan nilai kesabaran yang tinggi. Di Arafah, cabaran berada di khemah besar, dalam cuaca panas  yang sesak, memerlukan kami bersabar dan tabah melaluinya. Cuaca panas mencapai suhu 43 celcius, sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak selesa terutama kepada jemaah yang berusia. 

Benarlah ibadah haji, ganjarannya syurga, dan dijanjikan penghapusan dosa. Namun begitu, jemaah perlu mempunyai kesabaran yang tinggi. Zikir dan tahmid menjadi mainan bibir, sepanjang mengerjakan ibadah  di sini. 
Dalam ihram di Arafah

        Proses meninggalkan bumi Arafah untuk ke Mudzdalifah, juga mencabar kesabaran. Maktab 86 mempunyai lebih 3000 orang jemaah dan bas yang terhad jumlahnya bergilir-gilir mengambil penumpang. Di sini, ia menguji kami. Saya terpisah dengan isteri dan bertemu semula di Muzdalifah, selepas subuh. Ketika itu dia keletihan, tapi akhirnya dapat juga kami menaiki bas sebaik matahari menampakkan wajahnya.  

Di Mudzdalifah, cabaran menunggu bas untuk membawa jemaah juga tidak kurang 'hebat'nya. Ia sebenarnya diluar bidang TH, kerana urusan di Arafah, Mudzdalifah dan Mina adalah di bawah pengurusan muassasah Arab Saudi. Namun, sekalung pujian perlu diberikan kepada para petugas TH yang sabar dengan para jemaah. Batu batu kecil sudah disediakan untuk jemaah melontar, memudahkan kami semasa di Mina nanti.
Bersiap untuk solat jemaah

        Khemah di Mina memang banyak, dan lorongnya berselirat. Di maktab 86, ramai jemaah yang saya temui sesat untuk mencari khemah mereka. Mujurlah saya ambil gambar pelan kedudukan khemah, ia memudahkan saya mencari khemah selepas keluar ke tandas dan seumpamanya. Jarak dari khemah ke tempat melontar di 3 jamrah lebih kurang 7 km (pergi balik). Namun begitu apabila bergerak secara ramai, kepenatan kurang dirasakan. Saya bersyukur kerana mampu lagi berjalan, kerana bagi jemaah yang tua dan uzur, jarak tersebut amat mencabar kemampuan fizikal mereka.
Lakaran peta kedudukan khemah jemaah Malaysia di Mina

#3 - Gelandangan

Terlalu ramai gelandangan di kota Mekah. Begitu juga dengan pengemis wanita dan kanak-kanak. Musim haji, ramai dermawan hadir untuk mencari pahala memberi sedekah. Kekadang saya rasakan bagai ada sindiket menyediakan pengemis kulit hitam, kebanyakkannya wanita dengan pakej anak kecil di ribaan.
         
Ada juga gelandangan yang datang sehelai sepinggang, mencari keredhaan Allah, hanya berlantaikan dataran Masjidilharam, beratapkan langit untuk bermalam. Kekadang rasa tidak adilnya kita (atau saya..) apabila sering mengomel dan merungut dengan kemudahan yang disediakan oleh TH. Jika dibandingkan dengan gelandangan yang tidur di dataran, jemaah Malaysia mempunyai kemudahan yang amat selesa.
Bertapa nyenyaknya mereka tidur di dataran


Gelandangan ini membawa anak-anak kecil mereka, 
tidur di kaki lima


#4 Mi Cawan Indomie

Jenama mi cawan dari tanΓ h seberang ini popular sepanjang musim haji, terutama di Mina.

Jemaah pelbagai peringkat umur berjalan ke hulu ke hilir sambil membawa mi cawan mencari air panas, adalah senario biasa yang dapat lihat, terutama lelaki
😁😁😁😁😁😁😁


#5 Jemaah Muda India

Sebenarnya seronok berjumpa dan berbual dengan jemaah negara lain. Pernah saya berbual dengan jemaah muda dari India. Katanya, masyarakat Muslim di India digalakkan untuk menunaikan haji pada usia muda.

Apabila mula bekerja, dia terus menabung untuk ke Mekah. Soal kahwin dan beli rumah diketepikan buat sementara. Selepas dapat menunaikan ibadah haji, baru keperluan lain seperti kereta, rumah dsb akan dipenuhi.

Indiai tiada badan khas seperti TH, semua diuruskan melalui Travel Agency, dan bayaran berbeza beza, itu sebab kita akan dapat temui jemaah wanita India dengan kain tudung berwarna sama, bergerak dalam kumpulan yang sama ketika tawaf atau saei.

Saturday, September 16, 2017

CORAT-CORET KEMBARA HAJI (SIRI 1)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

#1: Kelana Jaya Yang Mendebarkan

Apabila tiba di Kelana Jaya, saya bertemu jiran yang sudah 3 hari terkandas kerana masalah visa. Terkejut juga dengan situasi ini, Manalah tau kalau-kalau saya senasib dengannya. Semua disebabkan Kedutaan Arab Saudi membuat tapisan ketat terhadap visa haji jemaah Malaysia. Tambahan pula, kuota jemaah haji sudah bertambah, pasti ia memberi kesan kepada proses kelulusan visa para jemaah. Akhirnya, pada sebelah awal pagi 2 September, kami dimaklumkan jemaah yang menaiki penerbangan XY16B menggunakan Airbus A330-300 ke Mekah tiada masalah visa. Alhamdulillah.. Perjalanan kami bermula ketiak azan subuh. Ironinya, kami pergi nak melakukan ibadah, tapi semua jemaah penerbangan XY16B tidak dapat menyempurnakan solat subuh kerana bas bergerak terus ke KLIA. Sampai di sana, subuh sudah pun luput. 

Bersama rakan dan saudara yang turut hadir di KJ


#2: Penerbangan Flynas

Pesawat Flynas dengan anak kapal warga Indonesia amat baik dan bersopan. Kata-kata yang lembut seperti 'permisi..' dengan layanan yang baik menghilangkan sedikit kebosanan selama 9 jam berada di awan biru menuju ke Mekah. Rasa hiba meninggalkan bumi Malaysia hilang sedikit demi sedikit. Dalam pesawat, semuanya sudah berpakaian ihram kerana kami berniat miqat di Qarnul Manazil, sejam sebelum tiba. Kami juga dijamu sarapan dan makan tengah hari dalam pesawat. Menjelang 2 petang waktu Mekah, kami tiba di Jeddah. Cuaca panas menyambut ketibaan kami.
Cuaca panas menyambut kami sebaik turun daripada Airbus A330-300


#3: Masjidilharam

Sebak melihat Kaabah di hadapan mata. Sebenarnya ini kali kedua saya ke sini selepas umrah pada tahun 2014. Tapi melihat Kaabah dan Masjidilharam, satu pandangan yang tidak menjemukan. Melihatnya juga memberi pahala. Kami tiba awal, iaitu hampir 28 hari sebelum wukuf. Suasana ketika kami tiba tidak sesak tetapi jemaah India, Pakistan, Bangladesh sudah pun ramai. Masjidilharam sudah tidak ada laluan tawaf sementara seperti semasa kami datang tiga tahun lalu. Kemeriahan di Mekah makin terasa. Jumlah jemaah daripada pelbagai negara semakin bertambah hari demi hari.

Kaabah sentiasa dipenuhi jemaah yang bertawaf


#4: Umrah

Selesai umrah wajib, lepaslah 13 larangan ihram buat waktu ini. Saya mengambil peluang membuat 3 kali ibadah umrah sunat. Untuk ibadah umrah, niat miqat di Tanna'im, kami perlu ke sana dalam jarak lebih kurang 10km daripada Mekah, dengan menaiki teksi. Pemandu teksi di sini mengenakan bayaran SR40 - SR80. Kalau hampir musim haji, atau waktu puncak, tambang boleh mencecah SR100. Inilah dugaan yang ditempuh demi mendapatkan pahala beribadah di sini. Adakalanya saya fikir golongan yang tamak haloba sengaja mengambil kesempatan terhadap jemaah haji yang datang untuk mengerjakan ibadah. 
Selesai semua rukun semasa ibadah umrah sunat, saya dan Haji Munsi Abdullah, mencari kedai untuk bercukur. Banyak kedai di bawah menara Safwa, menawarkan harga antara SR5-SR10. Akhirnya, kami memilih sebuah kedai (pencukurnya dari India) yang begitu cekap membotakkan kepala saya. Dalam masa tidak lebih 10 minit, kulit kepala saya kelihatan buat kali pertama di bumi Mekah. Seingat saya, ini kali kedua saya membotakkan kepala selepas melakukannya semasa tingkatan 2!

#5: Air Zamzam

Air zamzam adalah penghulu segala air. Ia hanya ada di Mekah. Telaga zamzam terletak bersebelahan Kaabah. Bekalan air zamzam di Madinah pun datangnya daripada Mekah. Saya tidak lepaskan peluang untuk minum air suci ini. Beberapa botol kecil saya simpan dalam beg sandang. Saya isikan setiap kali ke Masjidilharam untuk solat fardhu. Saya juga ambil kesempatan minum sebanyak mungkin. Cuaca di mekah yang agak panas menyebabkan jemaah perlu minum banyak air supaya tidak berlaku rehidrasi. Saya simpan air zamzam di bilik selepas pulang ke hotel. Ini membolehkan saya menyediakan bekalan untuk air zamzam semasa di Arafah nanti. 

Air zamzam sebenarnya boleh dihantar pulang ke Malaysia. Untuk penghantaran 10 liter, bayaran dikenakan SR130, dan ia terus ke pintu rumah penerima. Itulah yang saya lakukan untuk beberapa orang kenalan yang membuat pesanan air zamzam. Antaranya adalah Juliana Johari yang bertarung maut akibat kanser payudara. Begitu juga cikgu Razali yang menghidap kanser hati. Opah jabariah dan anaknya di Teluk Intan, saya turut kirimkan air zamzam. Alif Sabri, anak Kak Habsah di Pasir Panjang, juga mengirimkan kepada saya air tersebut untuk merawat sakitnya.

#6 Ikan Patin

Ikan patin adalah menu yang sering dihidangkan di hotel kami. Namun begitu, masih banyak juadah lain yang boleh dicuba di Mekah. Antaranya nasi Arab dan roti Syis, iaitu makanan ruji masayarakat Mekah yang dicicah dengan kari kambing. Telur ayam di sini berkulit putih seperti telur itik. Harga susu segar dalam kotak lebih murah berbanding Malaysia. Berbalik tentang ikan patin, akhirnya ditukar menunya oleh pihak hotel kerana ramai jemaah sudah terlalu jemu dengan cara masakannya yang tiada kelainan. 


#7 Kemudahan Oleh TH

TH menyediakan pelbagai kemudahan yang membantu jemaah. Contohnya, kaunter pengeluaran wang, hanya memerlukan kad lencana jemaah semasa berurusan. Begitu juga dengan khidmat pengeposan barangan yang menjadi tumpuan para jemaah untuk mengirim ole ole buat keluarga di tanah air. Selain itu, klinik TH disediakan dalam kawasan maktab.   

Tuesday, August 1, 2017

PANGGILAN HAJI SEMAKIN MENGGAMIT

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

     Kurang 24 jam daripada sekarang, saya dan isteri bersama jemaah haji XY16, akan meninggalkan bumi Malaysia untuk menunaikan ibadah haji di Mekah.
      Sebelum pergi, kami sudah membuat persediaan seperti yang sepatutnya. Rambut saya pun sudah digunting pendek supaya memudahkan urusan ibadah nanti. Kami juga menziarahi (dan diziarahi) sanak saudara dan rakan taulan, dengan doa serta harapan agar kami dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna.

     Perasaan saya tentunya bercampur baur. Gembira dan teruja kerana dapat menyertai lebih 30 ribu jemaah haji Malaysia menunaikan ibadah kali ini. Kami sudah lama impikan saat saat untuk mengerjakan rukun Islam kelima ini. Peluang seperti ini adalah saat keemasan yang tidak patut dibiarkan. Entah esok lusa, kita tidak boleh meramalkan apa yang berlaku kepada kehidupan yang kita ada hari ini. Justeru, sikap melabelkan 'ibadah haji hanya untuk orang tua' perlu diketepikan daripada pemikiran kita.

       Wujud juga perasaan sedih dan bimbang, mengenangkan anak-anak yang ditinggalkan. Kami mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, tapi kepadaNya kami serahkan, dengan doa agar Allah memudahkan segala urusan sepanjang tempoh ibadah haji ini berlangsung. 

       Dalam tempoh 44 hari meninggalkan bumi Malaysia, pasti ada banyak perkara bakal berlaku. Berita baik atau kurang baik, semuanya perlu dihadapi dengan tenang, tanpa menyalahkan takdir Allah. Saya percaya apa yang Allah telah tetapkan, seperti mana dalam maksud firmannya,"Kamu merancang, Allah juga merancang, dan Allah sebaik-baik perancang.."

Semoga kami dapat menjalani ibadah haji dengan sempurna. Terima kasih atas doa yang tidak putus putus, saya juga mendoakan rahmat dan keberkatan Allah untuk kita semua.  

Wednesday, July 19, 2017

KEPENTINGAN SAINS

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

     Dunia hari ini berkembang pesat, hasil daripada percambahan ilmu dalam pelbagai bidang. Teknologi maklumat merupakan satu bidang sains yang cepat berkembang. Sains dan matematik berkait rapat antara satu sama lain dan ia amat penting dalam kehidupan manusia sejagat. 

     Sains dan teknologi bergerak seiring dengan kemajuan sesebuah negara seperti Malaysia. dan menghasilkan pelbagai peralatan yang canggih untuk kegunaan manusia.

   Pada zaman dahulu kehidupan manusia mundur kerana tiada perkembangan sains dan teknologi. Manusia ketika itu ketinggalan dalam aspek pendidikan, perubatan, perindustrian kerana tiada alat yang berteknologi tinggi. Hari ini, perkembangan sains dan teknologi berkembang pesat, sehingga membolehkan manusia meneroka ke angkasalepas. Kaedah perubatan misalnya, menggunakan pembedahan laser berkamera kuasa tinggi, sehingga dapat mengurangkan pembedahan major. 

     Perkembangan Sains menjadikan kerja kita semakin mudah dan cepat. Semua kerja harian kita dapat dibuat dengan pantas dan betul. Kecanggihan teknologi menjadikan manusia semakin pintar. 

Namun begitu, belajar sains bukan sekadar untuk lulus peperiksaan semata-mata. Melalui Sains juga, kita dapat mendekatkan diri kepada Tuhan Maha Pencipta. Ilmuwan Islam terdahulu seperti Al-Kindi, Ibnu Rusyd, Al-Battani, Al-Razi dan seumpamanya adalah tokoh  yang banyak meneroka lapangan ilmu sains untuk kesejahteraan ummah. AlQuran sendiri menceritakan kejadian manusia dan pembentukan galaksi dari sudut sains Islam. 

Harus ada dalam minda anak remaja hari ini, untuk menyemai minat  mendalami ilmu sains. Jangan benci tapi sayangilah sains, kerana ia sebahagian daripada hidup kita. 


Wednesday, July 12, 2017

MOTIVASI AYAH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

          Motivasi atau keinginan untuk mencapai impian atau cita-cita, sering dikaitkan dengan kejayaan insan dalam bidang yang mereka ceburi.  Mengikut sains psikologi, motivasi datang daripada dalaman (intrinsik) dan luaran (eksrinsik). Motivasi dalaman dan luaran ini saling berkait rapat. Dengan motivasi yang tinggi, seseorang dapat mengekalkan keupayaan bersaing dengan orang lain, dan akhirnya berjaya mencapai impian dalam hidup. 

       Tan Sri Loh Boon Siew, asalnya seorang pengutip besi buruk, tetapi akhir hayatnya dikenali sebagai jutawan yang sinonim dengan jenama motosikal Honda di Malaysia. Tan Seri Syed Mokhtar AlBukhary, jutawan Melayu yang berasal daripada keluarga yang bukan hartawan, tetapi kini mempunyai empayar perniagaan yang meliputi industri kenderaan, perbankan serta minyak dan gas. Mereka adalah contoh insan hebat yang mempunyai motivasi diri yang kuat untuk berjaya. 

            Saya kongsikan kisah ayah saya, seorang lelaki biasa, tapi kata-katanya masih terpahat dalam jiwa saya hingga ke hari ini. Kehidupan ayah saya bukannya orang senang. Dia seorang buruh majlis bandaran. Dengan gaji yang tidak seberapa, ayah dan emak membesarkan kami lima beradik. Ayah tahu, hidup sebagai pekerja rendah tanpa kelulusan yang tinggi tidak menjamin masa hadapan. Namun, ayah berusaha memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anaknya.  Usaha itu menjadikan saya kagum dengan ayah. 

Saya tahu ayah memang tidak berpeluang mendapat pendidikan yang tinggi, kerana kemiskinan zaman dia membesar. Tambahan pula, ibunya meninggal dunia pada usia muda. Hidupnya zaman remaja terumbang ambing. Begitu juga dengan emak. Pemikiran masyarakat Melayu dahulu mengutamakan pendidikan kepada anak lelaki, kerana anggapan bahawa anak perempuan akhirnya akan ke dapur juga. Pendek kata, mak dan ayah tidak berpeluang menamatkan pendidikan pada tahap yang sepatutnya. 

Ayat ayah yang saya ingat sampai kini, adalah kata-katanya, ketika mengingatkan saya tentang pentingnya pendidikan. 

         "Ein, (panggilan mesra ayah kepada saya) ayah tak ada harta. Ayah tak boleh wariskan kamu dan adik beradik lain harta yang banyak."

     "Ayah beri kamu peluang belajar, dan kamu mesti gunakan sebaiknya. Kalau kamu gagal, hidup kamu tak akan ke mana-mana.."

       Nasihat ayah itu memberi kesan besar dalam hidup saya. Apatah lagi, sistem pendidikan zaman itu turut menjadi motivasi yang kuat kepada saya. Dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), kegagalan matematik menyebabkan pelajar tidak boleh menyambung pelajaran ke tingkatan 4. Ini menjadikan saya berusaha mengulangkaji dengan jiran bernama Abang Jamaluddin yang menyewa selang dua buah rumah ketika itu.

      Kata-kata ayah menjadi azimat saya dan adik beradik lain, untuk mengubah nasib keluarga. Kami tidak menghina pekerjaan ayah sebagai buruh, tapi kami bertekad tidak mewarisi pekerjaan itu, kerana ayah telah beri peluang pendidikan kepada kami. Alhamdulillah, kami semua berjaya dalam bidang masing masing. 

Rumusannya, motivasi amat penting dalam mencorakkan minda insan yang ingin kita ubah. Seorang guru perlu mempunyai motivasi yang tinggi untuk membentuk jati diri dan minda pelajarnya. Jika guru tersebut tidak bermotivasi, pelajarnya tentu juga sepertinya. Begitu juga seorang pengurus yang mempunyai motivasi yang tinggi dapat berkongsi semangat dengan pekerja di bawahnya. Ringkasnya, motivasi dapat membangunkan jiwa dan mengubah sikap individu untuk menggerakkan organisasi yang lebih cemerlang.

Persoalannya kini, apakah dan siapakah yang memberi motivasi dalam hidup anda hari ini? 

Tuesday, July 4, 2017

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI HUBUNGAN DALAM PEMUAFAKATAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


      Sejak dahulu lagi, sekolah menjadi institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh masyarakat untuk memberi pendidikan dan ilmu kepada anak bangsa. Sejarah pendidikan awal bermula dengan wujudnya sekolah pondok, yang berteraskan ilmu agama. Selepas kedatangan penjajah, para mubaligh menubuhkan sekolah berasaskan agama Kristian, untuk menyebarkan agama tersebut kepada penduduk tempatan. Imigran seperti dari China dan India juga menubuhkan sekolah untuk memastikan bahasa ibunda mereka kekal dalam kalangan generasi muda. Dengan kata lain, sekolah merupakan sebuah institusi milik masyarakat. Ringkasnya, sekolah adalah harta sepunya masyarakat, diibaratkan bagai isi dengan kuku, kerana saling berinteraksi dan saling mempengaruhi antara satu sama lain.

      Oleh sebab komuniti merupakan sebuah masyarakat kecil, jadi sekolah juga diertikan sebagai masyarakat kecil kerana sekolah merupakan sebahagian daripada masyarakat di mana semua anggota hidup bersama dalam kawasan sekolah, mengikut peraturan-pertauran dan cara-cara yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Bukan itu sahaja, sekolah juga berkonsepkan sebagai suatu sistem sosial iaitu salah satu institusi pendidikan yang ditubuhkan untuk memenuhi keperluan anggota-anggota masyarakat supaya membolehkan mereka menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk kemajuan dan perkembangan diri dan masyarakatnya. 

        Hari ini, peranan sekolah masih dipertanggungjawabkan memberi pendidikan dan membentuk modal insan yang diperlukan oleh negara. Dengan demikian, sekolah mempunyai pengaruh utama sebagai satu aspek alam sekeliling yang mendatangkan kesan di dalam pembentukan sahsiah pelajarnya. Kebudayaan masyarakat yang sentiasa mengalami perubahan mewujudkan peranan baharu sekolah. Justeru pendidikan sekolah tidak memadai lagi dengan penyampaian pengetahuan dan cara hidup tradisi sahaja malah ia perlu menyediakan ahli-ahli masyarakat untuk menghadapi dan menerima proses pembaharuan. Oleh itu, sekolah juga memainkan peranan sebagai agen memodenisasikan masyarakat dalam semua bidang perkembangan dan kemajuan selari dengan keperluan-keperluan yang telah dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara.

         Di samping meningkatkan kerjasama dalam bidang aktiviti kurikulum dan kokurikulum antara sekolah-sekolah daerah, negeri dan negara, konsep sekolah wawasan pula diperkenalkan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, pada bulan Disember 1995 bertujuan memberi peluang kepada murid-murid daripada pelbagai kaum untuk belajar dan berinteraksi bersama dalam sesuatu kawasan yang sama demi memupuk dengan lebih awal lagi perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat berbilang kaum. 

        Sekolah melahirkan pelajar-pelajar atau generasi yang berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia. Generasi-generasi yang berilmu pengetahuan seterusnya dapat memberi sumbangan yang amat bernilai untuk perkembangan dan kemajuan masyarakat dan negara. Kerjasama antara sekolah dan masyarakat adalah penting untuk membawa sekolah dan masyarakat bersama-sama menuju ke arah kejayaan dan kegemilangan. Jika kedua-dua aset ini tidak saling berinteraksi sudah pasti remaja yang berilmu pengetahuan tidak akan terhasil. Golongan ini amat penting kerana merekalah yang akan menentukan masa hadapan dan bakal pemimpin Negara. 



Kesimpulannya, membentuk muafakat dalam komuniti memerlukan anjakan paradigma yang bakal mewujudkan suasana sekolah yang disukai dan diterima oleh komuniti. Untuk itu, mereka perlu berketerampilan, mempunyai daya saing, kreatif dan inovatif. Remaja yang berilmu dan bijaksana juga merupakan golongan intelektual yang mampu berfikir dan menyumbang kepada pembangunan, kemajuan dan juga ketamadunan bangsa dan negara. Dalam merealisasikan “ Satu Malaysia” remaja seharusnya menghayati falsafah muhibah dan kerukunan serta keharmonian antara kaum.

(dipetik daripada tugasan individu NPQEL 1/2016 IABGH)

Semut adalah musuh anai-anai

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Semut dan anai anai adalah serangga ...