Tuesday, September 23, 2008

Menghargai Guru

Kebanyakan 'post' yang kutulis, merupakan kenangan dan memori lama, tetap amat bermakna dalam hidup ini.





Pengalaman bersekolah di Sekolah Menengah Ahmad Boestamam, Sitiawan selama lebih tujuh tahun meninggalkan nostalgia yang bercampur baur. Aku mula melangkah ke SMAB pada tahun 1984, ketika di tingkatan satu, hinggalah di tingkatan 6 atas, pada tahun 1990.





Selama itulah, aku menimba ilmu daripada individu bernama guru. Besarnya jasa mereka memberi ilmu kepadaku. Antaranya, cikgu Mas Hashim, cikgu Hamzah, cikgu Radhi Chia, cikgu Naemah, cikgu Mah Aun Tek (mendiang), cikgu Patrick Fernandez, cikgu Mano, cikgu Yassin, cikgu Khalijah Sirat, cikgu Shubari, cikgu Aminah, cikgu Mior, cikgu Soleha, cikgu Yahya, Mrs. Chan, cikgu Ng, cikgu Hajah Faridah, cikgu Mat (Akhir), cikgu Nawawi, cikgu Zaharah, cikgu Hajah Che Saliha, dan cikgu-cikgu lain yang pernah menabur budi di SMAB dalam tempoh tersebut.





Ada dua peristiwa yang paling kuingati ketika di SMAB yang melibatkan guru-guruku.





Pertama, peristiwa aku 'makan pelempang' cikgu Hussin semasa di tingkatan 3(1986) kekal dalam ingatan. Kelas kami (3A2) terletak tingkat atas berhadapan dengan pejabat sekolah. Hari itu, sudah tertulis agaknya hari malang untukku. Kelas kami tidak terkawal, dan bunyi bisingnya sampai ke pejabat. Ketika itu, tiada guru yang masuk, maka bertambah kacau bilaulah dibuatnya. Kebetulan tempat dudukku berhampiran dengan pintu belakang. Aku sedang merayau melihat rakan ketika cikgu Hussin menghampiri.





Tanpa banyak soal jawab, cikgu Hussin ketika itu Penolong Kanan, telah mencempung leherku lalu mengelek di celah ketiaknya. Dalam tempoh yang pantas, aku pun 'kenyang' makan pelempangnya sebanyak dua kali.





"Pang! Pang..."





Mataku berpinar. Rakan yang lain senyap. Semuanya kembali duduk di tempat masing-masing. Ya Allah, malunya kena tampar.





"Siapa lagi yang nak buat bising?..Ha? begitulah ayat cikgu Hussin kepada kelas kami. Semuanya menikus. Maklum saja, cikgu Hussin memang dikenali dengan 'garang'nya.





Sudah lebih 22 tahun peristiwa itu berlaku. Aku tidak pun berdendam dengan cikgu Hussin. Ketika membeli juadah di bazar Ramadhan di Sitiawan baru-baru ini, aku terserempak dengannya. Tapi kali ini, cikgu Hussin yang kutemui sudah dipanjat usia.





Hari ini, cikgu Hussin adalah Pengarah Pelajaran Negeri Perak. Walaupun ada sedikit bimbang bertemu dengannya, aku gagahkan juga untuk menyapanya. Setelah memberi salam dan berjabat dengannya, aku perkenalkan diri.





"Maafkan saya, cikgu. Hari ini, saya tak panggil 'tuan', sebab cikgu pernah mengajar saya," kataku menyusun ayat.





Dia memandangku dengan senyuman,"Di mana? Ahmad Boestamam ke?"





"Ya, cikgu. Saya pernah makan pelempang cikgu kerana buat bising, " kataku sambil tersengih. Bimbang juga kalau-kalau dia masih garang macam dulu.





"Saya ucap terima kasih, cikgu. Mungkin dengan pelempang itu yang menyebabkan saya berjaya juga jadi manusia pada hari ini." Aku menyambung ayat.





"Oh, ya ke?," dia lalu ketawa kecil. Entah dia ingat atau tidak peristiwa itu, aku tak pasti. Tapi, sepanjang dia berkhidmat di SMAB, bukan setakat aku, ramai lagi yang pernah makan pelempang Pengarah Pelajaran Perak itu.





Walaupun tidak berbual lama dengannya, terasa puas di hatiku, kerana insan ini pernah menjadi guruku di SMAB.





Peristiwa kedua, ketika aku di tingkatan 5 (1988). Puan Hajah Faridah, antara guru yang bersuara nyaring dan kuat suaranya, tidak padan dengan tubuhnya yang kecil.





Satu pagi pada bulan Ramadhan, beberapa rakanku menyusup masuk ke blok asrama puteri. Kami istilahkan ia sebagai aktiviti 'meninja' sebab mereka berpakaian serba hitam dan bertutup kepala, kecuali mata.





Empat rakanku ini masuk ke dormitori perempuan melalui cucur atap dari blok lelaki terus ke dewan makan dan melompat ikut tangga.





Perbuatan menceroboh itu akhirnya diketahui oleh warden, dan semua pelajar lelaki tingkatan 5 dipanggil ke bilik pengetua pada pagi itu.





Walaupun tahu perbuatan itu salah, kami berusaha menyembunyikan identiti 4 orang rakan yang meninja. Kononnya "biar pecah diperut, jangan pecah di mulut".





"Baiklah. Kalau kamu semua tak mahu mengaku, tak mahu beritahu siapa yang masuk ke blok perempuan subuh tadi, saya akan singkirkan kamu dari asrama." kata cikgu Faridah dengan nada tegas, dengan wajahnya yang serius.





Alamak, nak kena buang asrama? Matilah kami. Orang lain yang makan nangka, orang lain yang terkena getahnya. Aduhai. SPM dah dekat.Kalau kena buang asrama, malulah. Bukan aku yang punya angkara.





Kami telah buat keputusan yang sukar ketika itu. Antara rakan, dengan maruah diri.





Akhirnya, 4 orang pelajar berkenaan, dibuang asrama setelah maklumat tersebut kami bocorkan secara rahsia. Selamatlah aku dan rakan lain yang tak terlibat.





Mungkin orang lain, ada pengalaman sendiri dengan guru mereka. Banyak lagi coretan tentang guru yang ingin kutulis, tapi cukuplah setakat ini.





Pada Ogos lalu, SMAB mengadakan 'reunion', dan aku berkesempatan bertemu cikgu Hajah Faridah. Dia masih ingat
aku. Apabila bercerita tentang kisah 'meninja', dia ketawa mengingatkan kenangan lalu di SMAB. Moga cikgu Faridah dan suami bahagia ke akhir hayat.

Rakan-rakanku yang pernah 'meninja', ada yang jadi Kastam, polis dan seumpamanya. Begitulah nakalnya pelajar.

Moralnya adalah, berhati-hatilah apabila bertindak. Gunalah akal yang diberi Allah. Ilmu yang diberi oleh guru-guruku amat kuhargai. Terima kasih kepada semua cikgu yang pernah mengajarku.

4 comments:

  1. Asalamualaikum wbkt ..Aein.. tahniah kerna dapat buat Web sendiri.. ngko buat sendiri ke Aein.. bagus tu.. Aku x dapat nak komen banyak kat web kau ni..Cuma terkenang zaman sekolah di SMAB dulu.. boleh gelak sendiri buatnye.. hehehehe... tapi tu semua kenangan kan.. Salam Eid-Mubaraq daripada aku Razak Zaki... anything call or sms aku 0193691415..

    ReplyDelete
  2. Pengalaman adalah guru yang terbaik. Pengalaman juga tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Simpanlah dalam lipatan memori kita!

    p/s: rasanya setting masa kat komputer ko kena adjust sikit bro!

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan