Wednesday, January 19, 2011

Novel Interlok: Daripada Perspektif Guru Bahasa

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pelbagai pihak sudahpun memberi respons berhubung penulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussain ini. Tajuk Interlok itu sendiri sudah mengundang persoalan.Apatah lagi isinya yang menjadi punca ketidakpuasan sekelompok masyarakat India negara ini. Novel yang ditulis pada zaman penjajahan British mengambil latar tiga masyarakat utama di Tanah Melayu: Melayu, Cina dan India yang masing-masing dengan cerita yang tersendiri.
Nasihat saya, jika anda tidak pernah membaca atau menghayati isinya, jangan terus bercakap dan bertindak bagai orang tiada ilmu. Tindakan Senator M. Murugiah dan beberapa pimpinan politik kaum India yang melatah mengikut rentak yang sumbang, tentulah menimbulkan persoalan yang lebih besar. Apakah kesepakatan yang dibina dalam negara ini begitu rapuh dek prasangka yang membuta tuli? Saya ingin berkongsi isi Interlok dengan pembaca berdasarkan pandangan saya sebagai seorang guru. 

Interlok mengisahkan kisah Seman, anak tunggal Pak Musa dan Mak Limah yang kemudiannya berkembang dalam plot Buku Satu. Dalam Buku Dua, ia mengisahkan keluarga Ching Huat anak Kim Lock. Anak Ching Huat iaitu Yew Seng rapat dengan Lazim, seorang pemuda Melayu. Ini tidak disenangi oleh Ching Huat menyebabkan akhirnya Yew Seng dihalau dari rumahnya. Watak Maniam, dalam Buku Tiga menjadi pertikaian segelintir masyarakat India. Maniam adalah watak kuli datang melalui Sistem Kangani dari India. Maniam yang bekerja di Pulau Pinang berusia 30 tahun,  berasal dari Kerala dan kasta paria (kasta paling rendah dalam mobiliti sosial masyarakat Hindu di India). tindakan Maniam berkahwin secara senyap menjadi sebab dia dihalau dari estet tempat tinggalnya. 
Watak kaum yang berasingan itu kemudiannya disatukan dalam Buku Empat. Maniam dinaikkan pangkat menjadi mandur (tandil) dan membantu Seman mencari pekerjaan di ladang getah. Seman berkahwin dengan Gayah anak Mat Ranggi. Ketiga pendudukan Jepun, keadaan di Tanah Melayu menjadi kacau bilau. Prasangka antara kaum diketepikan demi kelangsungan hidup. Seman membantu Poh Eng selepas kedainya dimasuki perompak Yew Seng terlibat dengan gerakan komunis berpaksikan fahaman di Tanah Besar China. Maniam dan Mak Limah ditangkap oleh tentera Jepun kerana dituduh memberi bantuan kepada komunis. Watak Inspektor Rama yang kemudiannya disahkan anak Maniam dan Malini, menjadikan cerita ini semakin menarik.

Pengajaran novel ini sarat dengan pelbagai nilai moral. Bagi generasi muda, penghayatan kisah novel Interlok membantu mereka memahami keadaan perit jerih generasi terdahulu yang hidup pada zaman peperangan. Zaman penjajahan yang penuh penderitaan khususnya kepada golongan marhaen, turut digambarkan secara jelas. Fitnah Suppiah terhadap Maniam dan Malini menjadikan sebuah keluarga berpecah belah. Kasih sayang anak dan bapa, seperti digambarkan oleh watak Seman, Ching Huat dan Kim Lock turut diketengahkan oleh SN Abdullah Hussain.

Novel ini sarat dengan tema perpaduan antara tiga kaum yang melalui pelbagai cabaran untuk mendirikan sebuah negara yang bebas dan bermaruah. Hakikatnya, kedatangan buruh India dari selatan benua kecil itu memang ada benarnya. British membawa masuk buruh kasta rendah ke Tanah Melayu melalui sistem Kangani dan Sistem Kontrak. Apakah hanya kerana perkataan paria, maka pegawai-pegawai tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia dengan mudah menidakkan kemampuan novel itu mengangkat mesej yang lebih besar, iaitu soal perpaduan? 
Saya bersetuju dengan pandangan SN Abdullah Hussain, bacalah sebelum menilai karya ini. Jika tidak, pemikiran anda juga akan jadi paria (rendah) biarpun anda berpangkat besar dan menjadi politikus yang oportunis.

3 comments:

  1. Salam buat Pokli,

    Saya tidak berminat membacanya sebelum ini, sebab bukan Zon yang mewajibkan guru membedahnya. Zon kami menggunakan teks Kembara Amira. Tapi setelah polemik yang berlaku, saya membacanya dan mengupasnya dari sudut pandangan saya sendiri.

    ReplyDelete
  2. Salah satu perkara yang menggembirakan SN AH, lebih ramai yang membaca novel Interlok, bila isu ni timbul.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan