Thursday, September 22, 2011

PASCA-TRIAL SPM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Peperiksaan percubaan SPM (trial) menuju ke hari terakhirnya. Guru-guru sedang bertungkus lumus menanda skrip jawapan. Ada yang sudah siap, ada juga yang belum, bergantung kepada cara mereka melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan. Yang penting, apabila tiba masanya, semua markah sudah dimasukkan ke lembaran atas talian SAPS.

Pelajar yang bakal mewarisi kepimpinan negara masa hadapan.

Suasana di dewan peperiksaan. Skrip jawapan akan mewakili diri pelajar.

Alhamdulillah, saya sudah pun menyelesaikan penandaan. Keputusannya sederhana, tidaklah begitu baik. Masih jauh daripada sasaran, tetapi ia tidak membimbangkan sebab masih ada ruang untuk dibaiki. Perlu ada penambahbaikan pada subtopik tertentu. Ini akan saya kongsikan dengan pelajar saya, calon SPM 2011 dalam perbincangan pascatrial nanti.
Saya tertarik dengan luahan seorang pelajar saya, Azhar Ahmad. Pelajar ini agak bijak dan suka bertanya. Susuk tubuhnya tegap, sesuai dengan pencapaiannya sebagai atlet peringkat negeri dan kebangsaan. Pada zaman kemuncaknya dalam sukan, beliau pernah mewakili negara di Singapura. Pelajar ini, pada hemat saya sukar dicari ganti.Ciri-ciri peribadinya menarik perhatian saya.

"Cikgu, saya rasa trial ni untuk mengenal pasti kelemahan kami, kan?" Dia bertanya.

"Begitulah,.. Trial ini juga untuk melihat persediaan kamu menghadapi SPM. Mengapa kamu tanya?"

"Begini, cikgu. Saya tak puas hati dengan Cikgu XXX yang marah-marah kami. Prestasi trial untuk subjek XXX kelas saya memang tak baik, kami agak lemah untuk topik tertentu." Katanya meluahkan rasa yang terbuku.

"Habis tu?"

"Cikgu XXX kata kami macam-macam. Saya rasa cikgu XXX tak patut kutuk kami melampau. Kami boleh terima kelemahan tapi, kenalah diajar." Dia bercakap dengan tenang. Nampak jujur kata-katanya.

Saya diam. Tapi jika saya di tempat cikgu XXX, mungkin saya tidak gunakan kata-kata kutukan melampau seperti yang dinyatakan pelajar saya. Hakikatnya, bukan pelajar sahaja yang inginkan markah cemerlang, tetapi guru juga menaruh harapan yang tinggi. Harapan yang tinggi inilah yang menyebabkan guru kecewa jika tidak dapat dicapai oleh pelajar. Kekecewaan itu akan diluahkan melalui kata-kata dan perbuatan. Jika tiada rasa sabar, pelbagai istilah akan dihamburkan oleh guru berkenaan.

Berdepan dengan pelajar, sesuatu yang sukar dilaksanakan oleh semua guru. Ada guru yang cepat hilang pertimbangan apabila pelajar tidak mengikut apa yang diajar. Saya tak nafikan, pengalaman selama belasan tahun sebagai pendidik, mengajar saya menjadi seorang yang tenang menghadapi karenah pelajar. 

Pelajar hari ini tidak sama dengan dahulu. Generasi hari ini kenal telefon bimbit berbanding surat kiriman. Mereka lebih tertarik kepada mainan video berbanding galah panjang atau jengket-jengket. Mereka terdedah kepada gajet ICT seperti pendrive, portable harddisk, bluetooth, wireless dan entah apa istilah lagi yang begitu asing sebelumnya.

Generasi hari ini adalah 'screen generation', iaitu generasi yang hidupnya terdedah kepada skrin: televisyen, video, telefon bimbit, Ipad dan seumpamanya.

2 comments:

  1. Salam...nak tanya kenapa blog smkbt10 tak dikemaskini? Sayang seribu kali sayang...beritanya masih tahun 2010 aje...

    ReplyDelete
  2. Blog tu dah tak aktif..

    Kami tukar tapak ke psssmkbatusepuluhlekir.blogspot.com

    Maaf yer, bang Aji!

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan