Sunday, October 23, 2011

Pelajar Kelas Belakang Sering Dipinggirkan

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ramai orang beranggapan tugas guru mudah. hakikatnya, hanya guru yang memahami tanggungjawab untuk meng'insan'kan manusia. Bukan mudah menjadi 'jurutera kemanusiaan' berbanding jurutera permotoran. Secebis kisah yang ingin saya kongsikan di sini adalah kelompok pelajar yang sering diabaikan.
Dalam tempoh hari-hari terakhir menjelang SPM 2011, pelbagai usaha dilakukan oleh guru untuk memastikan pelajar dapat menjawab soalan dengan sebaik mungkin. Impaknya tentulah keputusan peperiksaan yang lebih baik. 

Di sekolah, panitia Bahasa Melayu melaksanakan Klinik Intensif Mampu Lulus (KLIMS) yang bertujuan membantu calon SPM kelas belakang menjawab soalan subjek teras tersebut. Istilah 'kelas belakang' merujuk kepada kumpulan pelajar yang lemah dari segi kemampuan akademik, tiada motivasi dan sering dilabel dari sudut negatif sahaja oleh segelintir guru.

Kelas KLIMS ini sudah sering saya kendalikan mengikut jadual. hanya sekali seminggu sejak awal Oktober. Selebihnya mereka ikut jadual P&P seperti biasa. Semuanya pelajar lelaki. Ada sesetengahnya tidak mampu membaca. Itu tak boleh dinafikan, sebab kelemahan daripada sistem peperiksaan PMR membolehkan mereka yang tidak mampu membaca naik ke tingkatan 4. Hasrat KPM untuk mengurangkan keciciran pelajar pada usia remaja dilihat tidak mampu menyelesaikan lambakan pelajar 'kelas belakang'. 

Saya bertekad mengubah pandangan mereka terhadap kelas KLIMS, lalu membawa mereka ke Makmal Bahasa. Makmal Bahasa adalah kelas khas yang mempunyai pendingin hawa, Projektor LCD dan skrin besar seperti panggung wayang.

"Inilah Makmal Bahasa," Kata saya kepada mereka yang nampak seronok masuk ke situ.

"Sepanjang tahun ini, dah berapa kali kamu masuk  ke sini?" Saya bertanya mereka.

Semuanya terkebil-kebil memandang saya dengan pandangan yang penuh makna. Kemudian, seorang daripadanya menjawab, "Ini kali pertama, cikgu."

Kasihan. Mereka pun berhak untuk mendapat kualiti dalam P&P sebenarnya. Cuma, tak ramai guru yang sanggup melayan karenah sesetengah pelajar ini.

Alhamdulillah, sepanjang bersama saya di makmal tersebut, respons mereka amat memberangsangkan. Saya bertekad membawa mereka ke sini lagi dengan pendekatan yang lebih mesra demi memastikan mereka mampu menjawab soalan Bahasa Melayu dengan lebih berkesan.

3 comments:

  1. Amat membanggakan kalau murid kelas hujung ini mahu dibantu dan mencari bantuan. Kesedaran mereka itu menambah semangat guru. Semoga berjaya cikgu!


    ***Maaf cikgu. 'Pendingin hawa' tu....
    :D

    ReplyDelete
  2. Semangat seorang guru!

    http://dcj-online.blogspot.com

    ReplyDelete
  3. Cklah, makaseh bebanyak betulkan, saya tak perasan pun.. Memang saya akui kesilapan tu.

    Daddy cool,.. Insya-Allah..

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...