Saturday, December 3, 2011

Kedai Rakyat 1 Malaysia: Satu Penilaian Positif

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Jika  kita kaji semula sirah Rasulullah s.a.w, ada cerita menarik untuk dikongsikan berkaitan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M). Semasa Perjanjian Aqabah ditandatangani, Nabi dimaklumkan oleh puak Aus dan Kahzraj bahawa ekonomi di Madinah dikuasai oleh orang Yahudi. Setibanya Nabi dari Mekah ke Madinah, baginda mendapati kebenarannya, apabila semua bidang ekonomi termasuk pemilikan telaga dimonopoli oleh orang Yahudi. 

Telaga amat penting untuk kelangsungan hidup masyarakat Madinah ketika itu. Ia membekalkan sumber air bersih bagi keperluan asas masyarakat. Malangnya, orang Yahudi mengenakan harga air yang amat mahal. Pun begitu, masyarakat terpaksa membeli air kerana tiada pilihan. Nabi Muhammad s.a.w melihat keadaan itu dan mencari penyelesaian terbaik untuk ummah.

Apakah yang dilakukan oleh Nabi? Baginda telah mengumpulkan wang daripada semua para sahabat dari kumpulan Ansar dan Muhajirin. Nabi berjaya memujuk seorang pemilik telaga Yahudi untuk menjualkan telaganya. Harga yang ditawarkannya tidak munasabah, dan sangat mahal. Pemilik telaga itu bercadang menjualkannya kerana mengikut perkiraannya, telaga usang itu sudah tidak mampu membekalkan air yang banyak. Walaupun harga telaga usang itu mahal, Nabi Muhammad s.a.w tetap membelinya.

Foto hiasan: Telaga merupakan sumber air bawah tanah
Dengan izin Allah, telaga usang yang dibeli itu mampu membekalkan air yang mencukupi. Nabi mengarahkan para sahabat menjualkan air dengan harga yang rendah dan mampu dibayar oleh masyarakat Madinah tanpa mengira lapisan masyarakat, baik Islam mahupun bukan Islam. 

Dalam masa yang singkat, telaga yang usang itu menjadi tumpuan masyarakat, manakala telaga lain milik orang Yahudi, tidak lagi menjadi pilihan. Ini kerana harga air yang ditawarkan berkali ganda lebih rendah berbanding telaga milik orang Yahudi. Walhal, kualiti air adalah sama.

KR1M: Lebih baik menyokong daripada menghentam. Rasional dalam bertindak
Akhirnya, orang Yahudi menyedari kesilapan mereka dan menurunkan harga air di telaga milik mereka. Jika tidak berbuat demikian, telaga mereka tidak dikunjungi oleh masyarakat.

Kesimpulannya, usaha yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w ada persamaan dengan cara kerajaan menangani inflasi. Kita harus melihat KR1M dari sudut yang positif. Jika ia mampu menawarkan harga barang keperluan yang lebih rendah daripada kedai biasa, mengapa tidak kita memberi sokongan, berbanding mengkritiknya semberono?

2 comments:

  1. mengkritik untuk meningkatkan keberkesanannya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mengkritik pada masa yang sama membantu tak?

      Delete

Jejak yang ditinggalkan