Tuesday, November 22, 2011

Tahniah Skuad Harimau Muda dan Rakyat Malaysia!

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya puas dengan kemenangan skuad Harimau ke atas skuad Garuda dalam penentuan pingat emas penuh debaran semalam.  Jika kita membaca berita kemenangan itu, pasti rasa bangga menyelinap di dada. Hakikatnya, perlawanan 120 minit itu bukan mudah dihadapi oleh skuad Harimau di bawah kendalian Ong Kim Swee. Bermula minit pertama lagi, debaran demi debaran memuncak. Apabila skuad Indonesia mendapat gol pada minit ke-5 perlawanan, spontan saya menutup TV di dapur. Anak dan isteri yang menonton TV di ruang tamu pelik dengan sikap saya. 
Sebenarnya ia bukanlah sikap sebenar saya, cuma saya rasa seolah-olah putus harap dengan situasi ketinggalan satu gol. Bagaimanapun, isteri dan anak-anak terus menonton dan memberi sokongan. Saya pun kembali ke dapur dan membuka semula TV kecil tersebut. Kelakar rasanya apabila mengenangkan sikap tersebut. Jika pemain muda kita bersikap seperti saya, tentulah pintu gol Malaysia bolos lagi. 

Selepas 15 minit perlawanan, pasukan negara mula menyerap tekanan dan bermain dengan baik. Cuma peluang yang datang tidak dizahirkan dengan sempurna oleh Fakri Shaarani. Pelbagai kutukan dilemparkan kepadanya di fb. Tak keterlaluan jika dikatakan itu adalah reaksi spontan melihat kegagalan penyerang negara gagal menerobos gawang lawan. 
Akhirnya, gol yang dicari muncul melalui tandukan lemah Asraruddin yang mendapat umpanan Baddrol Bakhtiar. Ia sudah cukup untuk menyemarakkan smangat seluruh negara. Apa tidaknya, di rumah saya sahaja, ia gegak gempita kerana kami menjerit-jerit keseronokan. Isteri yang tidak pernah ambil tahu tentang bola sepak turut memberi ulasan selari yang kekadang melucukan. 

Anak-anak lelaki saya semuanya bergembira dengan gol penyamaan tersebut. Kami menonton aksi perlawanan dengan penuh debaran. Apabila penyerang Indonesia membawa bola ke dalam kotak penalti, debaran memuncak. Doa dan segala ayat lazim dibacakan anak-anak menyebabkan saya sedikit geli hati. Apabila tendangan sudut diambil oleh penyerang lawan, kami berdoa dengan harapan tiada gol dihasilkan. 

Pengadil juga tidak terlepas daripada kutukan. Pengadil kayu, bodoh dan rasuah, pasti dilemparkan terutama ketika pemain negara dibentes secara kasar. Ketika perlawanan menuju ke minit-minit akhir, Indonesia terus mengasak tetapi barisan pemain negara tenang mengawal, biarpun ada ketikanya kami cuak juga dengan 'gol offside' yang mujur tidak dikira.

Selepas masa tambahan, sampai waktunya penentuan kemenangan melalui sepakan penalti. Saya memang ada keyakinan Apek mampu mengawal gawang. Ketika Gunawan, pemain pertahanan Garuda gagal membolosi pintu gol, kami bersorak kegembiraan. Ada peluang untuk mendapat emas. Pun begitu, ketika Fakhri gagal menyempurnakan sepakannya, saya berkata kepada anak-anak, "Kalau kita kalah pun, kita kalah bermaruah. Pemain kita menunjukkan semangat yang hebat.."

Anak-anak yang turut berdebar hanya kumat kamit membaca doa. Ada rasa kecewa tetapi kami terus menunggu sepakan seterusnya dilakukan. Tiba giliran Ferdinand menendang bola, ramalan Apek tepat dan berjaya menghalang sepakan tersebut. Ketika itulah, kami menjerit lagi, sedangkan waktu itu, suasana Gelora Bung Karno seakan dilanda kebimbangan maha dahsyat. Penonton terpaku dengan kegagalan pemain mereka manakala TV menayangkan aksi Fadhli Shas dan Asraruddin yang mula terlompat-lompat kegembiraan. 

Ketika Baddrol Bakhtiar mengambil sepakan, kami berdoa dan sangat berharap tendangannya sempurna. Degup jantung sama lajunya dengan gerakan sepakan Baddrol yang ditampan oleh Kurniawan Miega, penjaga gol pasukan Indonesia. Tampanan itu bagaimanapun tidak kemas, menyebabkan ia perlahan-lahan masuk ke gawang dan melepasi garisan gol. Ketika itu juga, suasana di rumah saya gegak gempita sekali lagi. Saya yakin seluruh negara meraikan kejayaan sepakan Baddrol seperti mana keluarga kami.

Tahniah skuad Harimau Muda. Anda berjaya membuktikan kepada masyarakat Indonesia bahawa kita bukannya menang kerana nasib semata-mata, malah usaha yang berterusan menjadikan perlawanan tersebut sangat dramatik.

2 comments:

  1. Memang dahsyat game tue.. seronok rasenyer nampak Malaysia menang dan mempertahankan pingat emas 2 tahun lalu, Mai dan kawan-kawan di Unimas tak habis-habis menjerit sepanjang game tu library sampai nyaris nak kena halau dengan jaga sebab bising sangat..mereka kat rumah pun bila telefon lepas menang penalti tu tengah menjerit jugak.

    ReplyDelete
  2. Salam Along.
    Begitulah impak bola dalam masyrkt kita. Skuad Harimau bjaya leburkan ego pemain Indon dan penonton yang biadab.. Tahniah Kim Swee dan anak buahnya.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...