Monday, July 23, 2012

Perpaduan Melayu Hanya Utopia

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Perpecahan orang Melayu dalam politik kepartian tidak boleh dipandang ringan. Hari ini, perpaduan orang Melayu umpama utopia. Mana tidaknya, daripada pemimpin hinggalah ke akar umbi, bibit perpecahan didedahkan di dada akhbar, laman sembang dan media cetak.

Sudah terang lagi bersuluh, jika anda orang Melayu yang menyokong UMNO, bersedialah menghadapi kecaman daripada Melayu PAS. Jika ada teguran berkaitan dua parti politik ini, maka ia boleh disusuli dengan maki hamun dan kata nista yang merendahkan akhlak sesama bangsa. Baik UMNO mahupun PAS, kedua-duanya mempunyai khalayak penyokong yang bukan sedikit. UMNO, dengan sejarah perjuangan yang panjang, tentulah mempunyai golongan akar umbi yang kuat dan menyeluruh. PAS, yang bertunjangkan kemasukan beramai-ramai golongan muda dan profesional, mempunyai pengaruh yang bukan sedikit.

Amatlah malang, apabila persoalan survival bangsa kita diketepikan hanya kerana politik sempit yang beridealisme kepada dendam kesumat dan pandangan semberono. Saya tidak terkecuali menghadapi konflik ini, apabila  usaha menyatukan dan menyeragamkan pandangan politik antara dua puak ini dianggap tidak lebih daripada usaha 'kafir'. Berderau darah saya apabila dituduh sebegitu. Cukup menyakitkan, malah amat memedihkan hati dan jiwa saya. Pertama, ketika bertemu seorang rakan dalam satu majlis rasmi. Dia lantas menyapa saya seperti biasa, sebelum menempelak saya di khalayak.
"Aku dengar, hang dah ubah hala.." Dia memandang sinis ke arah saya.
"Ubah hala apa, bang?"
"Dalam facebook, hang hentam belah sini. Hang jaga-jaga sikit.." Dia seolah-olah mengugut.
"Yang betul, saya sokong, yang salah saya tetap tak terima, walaupun malaikat yang bercakap.." Kata saya.
"Hang toksah cakap yang bukan-bukan,.. Nanti aku nak 'basuh' otak hang bagi paham pasai perjuangan negara Islam.." Dia membebel. Saya bersyukur kerana selepas itu tidak lagi bertemu dengannya sepanjang majlis tersebut berlangsung.
Dalam kejadian kedua, saya bertemu seorang anak muda yang gagal dalam temuduga PTD. Kesan daripada kegagalan itu barangkali, dia bersikap lebih terbuka dalam mempertahankan pandangan politiknya. Apabila saya mempertikaikan beberapa perkara berkaitan hal agama, dia terus mencelah.
"Cikgu tak pergi masjid, tak dengar kuliah, itu sebab cikgu tak tahu tentang politik.." Katanya. Dia bingkas memberi buah tuju yang pedih untuk saya terima, apabila saya mempertikaikan hala tuju parti dokongannya. Hakikat yang dia lupa adalah, saya pernah memberi undi dan menyokong parti tersebut, kerana keyakinan saya ketika itu.
Hari ini, parti dokongannya saya nilaikan tak lebih daripada Pandir yang dipermain-mainkan. Parti yang disokongnya akhir-akhir ini tampak bagai hilang arah dan tujuan dalam perjuangan.
"Kamu tengoklah apa yang berlaku (apa)bila bangsa kita berbalah. MCA, DAP dan GERAKAN, perjuangan untuk memartabatkan bangsa tetap diutamakan." Kata saya cuba berhujah lembut.
"Sekarang ni, orang nak hapuskan rasuah. Cikgu tau, rasuah dah berakar umbi di negara kita? Sebabnya kerajaan kita sendiri amalkan rasuah. Cikgu nak sokong kerajaan rasuah?" Dia meninggikan suara. Matanya seakan terjegil memandang saya. Perbincangan yang mulanya terkawal kelihatan seakan bakal berakhir dengan tragedi. Begitulah tampaknya.

Saya sendiri terperangkap dengan suasana panas itu, tanpa saya sedari mungkin boleh membahayakan saya. Anak muda itu kelihatannya sudah tidak sabar untuk mengajak saya 'berbincang' dengan cara lain.

Akhirnya saya hanya membiarkan dia menuduh saya kafir. Entah apa lagi tuduhannya kepada saya. Begitulah mudahnya dia membuat tuduhan. Saya tidaklah terkejut dengan tuduhan itu sebab mungkin pimpinan atasannya sudah biasa begitu. Cuma yang saya sedih, dia tidak menghormati saya sebagai seorang yang lebih tua daripadanya. Pendekatannya itu pada saya tidak lebih daripada provokasi, sama seperti yang dibuat oleh penyokong dan perusuh BERSIH pada APRIL lalu.

Apa yang tidak disedarinya adalah, saya semakin yakin dengan pendirian saya kini.


No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...