Tuesday, February 12, 2013

Kenduri Kahwin Di Kg. Repah, Tampin

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Cuti TBC dimanfaatkan untuk membawa anak-anak berkunjung ke Tampin, Negeri Sembilan. Ada majlis kenduri bapa saudara saya di Kampung Repah, kira-kira 7 km daripada pekan Tampin. Bapa saudara saya, Haji Ibrahim merupakan Imam 1 di masjid Kg. Seri Repah dan antara yang rapat dengan kami. Sementelahan, kenduri kahwinj ini melibatkan dua pasangan mempelai, iaitu anak pertamanya, Muhammad Huzaifah dengan Siti Nur Rahmah, serta anak ketiganya, Siti Hajar dengan Abdul Hakim. 
Ayahda dan Cekda menyambut para tetamu yang hadir
Senang dipanggil "Ayahda", kakitangan TNB berusia 56 tahun ini tetap mesra menyambut kami biarpun beliau agak sibuk dengan majlis akad nikah Siti Hajar yang baru berlalu.
Wajah penatnya tidak dapat disembunyikan, tetapi majlis yang lancar tanpa masalah yang besar melegakan hati dan perasaannya. 

YAM Tuanku Besar Tampin segak bergaya ke majlis perkahwinan sepupu
Apatah lagi, Tuanku Besar Tampin turut berangkat ke majlis kendurinya serta beramah mesra makan tengah hari bersama pasangan mempelai. Orangnya sangat 'mesra rakyat' dan tidak terlalu protokol menghadiri majlis seperti ini.

Lihat sarang penyengat yang kosong selepas disembur racun

Tanpa memikirkan kepenatan, keesokannya, Ayahda masih menggunakan tenaga dan kudratnya memanjat pokok pulasan untuk bekalan kami pulang ke Perak. Kami turut disengat penyengat yang bersarang di pokok pulasan belakang rumah. Apa lagi, saya dan anak-anak lelaki yang membantu, memecut laju meninggalkan pokok pulasan, kerana penyengat sudah menggila akibat sarangnya diganggu.


Saya dan abang ipar, Wan Long turut menikmati rambutan gading (kuning kemerahan) yang manis serta lekang isinya. Sebenarnya, di keliling rumah Ayahda, memang ditanam pokok buah-buahan yang memberikan hasil yang bukan sedikit. Benarlah kata orang tua-tua, berbudi kepada tanah, tidak mustahil hasilnya dapat dinikmati kemudian hari.
Saya dan Abang Long menikmati rambutan gading
 
Aktiviti menghalau semut hitam yang bersarang di buah rambutan
Indah dan bertuahnya bumi kita, warisan berzaman yang harus dipertahankan. Pengalaman disengat penyengat menjadi kenangan yang tak mungkin dilupakan oleh anak kedua saya, Afif Wajdiy.


1 comment:

  1. Assalamualaikum...lamanya tak dtg bertandang.

    Apa kabo tuan rumah? Msh satu sekolah dgn Cikgu Liza ke?

    Jemput dtg kembali ke blog sy...huhu. Semangat nk menulis tp tak tahulah panasnya sampai ke petang atau tidak....hehehehe.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan