Monday, March 25, 2013

Pakcik Endan Dalam Kenangan

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
 

Dinihari ketika diulit mimpi, saya dikejutkan panggilan yang memaklumkan pakcik saya, Khairi Md Husin, 60 tahun telah kembali ke rahmatullah. Beliau meninggal dunia di sisi anak isterinya, setelah mengadu sesak nafas. Bekas pengurus Pos Malaysia ini meninggalkan seorang isteri, 4 orang anak dan dua orang cucu pada Sabtu malam, dan dikebumikan pada Ahad, 24 hb MAC 2013 di Tanah Perkuburan Kg. Bharu, tempat kelahirannya.
Pakcik Endan bersemangat bercerita

Antara 3 orang bapa saudara, arwah sering dijadikan ‘jurucakap’ majlis pertunangan anak-anak saudaranya termasuklah saya sendiri. Bukan sahaja petah berkata-kata, Pakcik Endan (panggilan mesra kami kepadanya) seorang yang ramah. 

Semasa kecil dahulu, saya menumpangnya menaiki motor ke sekolah TADIKA di Kg. Bharu, Lumut. Apabila melalui jalan sunyi, dia meminta saya memeluknya kuat-kuat, sebab bimbang kalau-kalau saya terjatuh atau tertidur.

Foto ini dirakamkan pada Januari 2013-Pakcik, Abang Joey dan Abang Hashim
Ketika berita kematian pakcik, anak lelakinya Mohd Nur Hidayatuddin masih di UTEM Terengganu. Dia bergegas pulang ke kampung dengan memandu sendirian menempuh perjalanan 9 jam melalui jalan raya Timur Barat. Setibanya di rumah, saya melihat Hidayatuddin lemah longlai menahan sebak, melihat sekujur tubuh terbaring di tengah rumah. Tangisan pilunya menambah kepiluan dalam suasana yang sudah hiba. Tetapi, dia masih boleh memberi khidmat akhirnya kepada ayah tersayang dengan memandikan jenazah dan turut sama mengkafankan dan menyolatinya.

Jenazah pakcik Endan disembahyangkan di Masjid Cangkat Cermin, kira-kira 2 km daripada pekan Ayer Tawar dan disemadikan bersebelahan pusara bondanya (opah saya) selepas solat Zohor.

Mohd Nur Hidayatuddin, berkopiah putih, masih belum hilang penat memandu 9 jam.

Makcik Kiah menyiram air di pusara selepas pengebumian selesai
ALFATIHAH UNTUK PAKCIK ENDAN, 1 hb Julai 1953- 24 hb Mac 2013


No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...