Friday, July 19, 2013

KETAKUTAN SEMASA KECIL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Perasaan takut atau fobia terhadap sesuatu, tidak dapat dipisahkan dalam jiwa setiap insan. Ketakutan boleh mendorong kita bersikap positif atau sebaliknya. Perasaan takut adalah normal bagi manusia, khususnya kanak-kanak. Semasa kecil, saya pernah mengalami perasaan takut kesan daripada menonton sebuah filem Melayu di TV. 

Saya masih ingat lagi, ketika itu saya masih bersekolah rendah. Filem tersebut bertajuk PUAKA. Ia dibintangi oleh Ed Osmera dan diarahkan oleh Omar Rojik. Filem ini mengisahkan Tok Demang yang tidak mahu menggunakan perkhidmatan Mak Esah, seorang bidan yang terkenal, untuk anaknya Mayang yang sedang mengandung. Oleh kerana tidak puas hati, Mak Esah meminta tolong anak saudaranya, Hitam, untuk menggunakan ilmu hitamnya bagi mengganggu keluarga Tok Demang. Hitam mencipta sejenis hantu dengan memotong kepala sahabat baiknya, Singkuang. Hantu Singkuang terus mengganggu Tok Demang, isterinya, anaknya Mayang serta suaminya Indera. Dengan bantuan ayah Indera, seorang bomoh, hantu itu berjaya dimusnahkan. Perkara itu tidak memuaskan hati Hitam, lalu Hitam membunuh ayah Indera. Tidak lama kemudian, Indera pula membalas dendam di atas kematian ayahnya dengan membunuh Hitam dan Mak Esah. Selepas peristiwa itu, kampung Tok Demang kembali aman.

Selepas tamat rancangan tersebut, saya terbayang-bayang hantu berkenaan. Ketakutan saya mula mencengkam apabila dua orang adik lelaki yang sekelambu dengan saya diulit mimpi. Rumah sudah menjadi senyap sunyi, tetapi mata saya masih belum mahu terlelap. Apabila saya memejamkan mata, hantu tersebut terbayang di fikiran. Berkali-kali ia berlaku dan saya menjadi resah. Akhirnya, saya menjerit meminta ayah membantu saya. Ayah pada mulanya 'bengang' kerana tidurnya diganggu. Tetapi perlahan-lahan dia memujuk saya supaya tidur. Malah, ayah tertidur di sisi saya dalam kelambu kami yang agak sempit.  

Apabila dewasa, saya ketawa sendirian menonton filem tersebut buat kali kedua, tanpa ada rasa takut pun. Sebabnya, saya dapati kosmetik untuk 'hantu' filem PUAKA amatlah ringkas dan tidaklah mencerminkan realiti hantu yang sebenarnya. Hantu tersebut digambarkan tinggal rangka dengan wajah buruk berambut panjang. Rupanya, rangka tersebut hanyalah baju hitam dengan ilustrasi tulang di hadapan dan belakang baju. Apabila hantu tersebut muncul pada waktu gelap malam, memanglah kelihatan menggelikan hati kerana penipuan tersebut sudah boleh dibaca oleh pemikiran orang dewasa. Wajahnya pula hanyalah tompok-tompok putih (mungkin cat atau tepung) yang ditempelkan di wajah pelakon tersebut, dengan rambut palsu yang berserongoi.

Namun, semasa zaman kanak-kanak, filem itulah yang menjadikan saya tidak tidur malam. Mengenangkannya kembali, saya boleh memahami betapa sayangnya ayah kepada saya. 

Alfatihah kepada arwah ayah dan emak. Moga Allah merahmati roh kedua-duanya.

3 comments:

  1. Salam ada tak salinan filem ini pada saudara.. Boleh upload ke youtube utk sama2 kita tonton. tq

    ReplyDelete
  2. Salam, saya dari singapura dan juga yang ade tak saudara masih simpan lagi tak filem tersebut itu atau di video tape dan tolong upload di youtube

    ReplyDelete
  3. Assalam mu alaikumm kepada tuan, masih kah tuan menyimpan atau yang mempunyai filem puaka lakonan mak esah...itu lagi?.... saya benar benar nak menontoni... kalau ada boleh share video nyer di sini atau uploadkan?

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...