Friday, January 2, 2015

UMRAH 2014: PENGALAMAN TERINDAH (UPDATE)



Sebahagian jemaah umrah yang dapat berkumpul sebelum berpisah
Alhamdulillah saya selamat kembali ke tanah air selepas hampir dua minggu berkelana di bumi Haramain mengerjakan ibadah umrah bersama isteri dan mertua. Kami mengikuti program umrah bersama Omega Travel dikendalikan oleh Datin Hajah Che Fatimah. Beliau bertubuh kecil tetapi ramah dan mudah mesra.

Kami di KLIA
Pelbagai peristiwa suka duka dialami bersama, tetapi ia menjadikan kami rapat antara satu sama lain. Saya bertemu dia keluarga Aswadi, yang membawa isteri, dua orang anak dan ibu bapa mertuanya serta ibu saudaranya. Lewat perjalanan barulah saya tahu rupa-rupanya ibu mertua Aswadi menghidap kanser. Moga Allah menguatkan semangatnya.
Keluarga Kak Jamilah juga ada cerita tersendiri. Anak sulungnya meninggal dunia beberapa bulan lalu walaupun awalnya mereka merancang umrah bersama-sama. 
Pakcik Malek, ayah mertua Halim, kehilangan isteri beberapa bulan lalu. Ingatannya masih terkenang arwah isteri yang dikahwini lebih 40 tahun lalu. Saya berdoa agar beliau kuat semangat dan dapat meneruskan kehidupan.


Bersama Halim, rakan yang turut membawa mertuanya

Faizal dan isterinya Lydia, baru berumahtangga dan saya doakan mereka cepat-cepat menimang cahaya mata.
Azaman dan isterinya Halimaton membawa 3 orang anak mereka bersama-sama, manakala Azrin dan Zailani, dengan anak mereka Zahin, antara yang paling banyak membantu urusan kelewatan jadual penerbangan di lapangan terbang kerana berpengalaman dalam urusan tersebut.
Bekas ADUN Gual Ipoh yang mesra dipanggil Ayahku dan Faris, anaknya juga mudah mesra dengan jemaah. Begitu juga ejen takaful, Kak Roslina dan suaminya abang Hanet.
Kekuatan semangat Pakcik Halim dan isterinya makcik Hamidah terserlah tatkala berita kawasan perumahan mereka di Wakaf Che Yeh diberitakan dilanda banjir paling teruk di Kelantan. 
" Seumur hidup saya selama 62 tahun, tak pernah lagi banjir besar begini," Kata Pakcik Halim bercerita tentang untung nasib rumahnya. Dia dan isteri redha dengan ujian ini, dan berdoa anak cucu yang berada di sana selamat dalam peliharaan Allah. 
Datin Hajah Che Fatimah sendiri, pernah mengalami detik kehidupan yang hampir menamatkan riwayatnya tetapi Allah masih memberinya peluang untuk membawa jemaah umrah  kali ini. 
Malah, saya dan isteri pun ada cerita tersendiri (sudah saya ceritakan dalam entri terdahulu)

Teruja melihat Kaabah kali pertama

Berlatarbelakang dataran Masjidilharam selepas solat fardhu
 Dari Jeddah, kami ke Mekah dahulu untuk mengerjakan umrah dengan niat ihram di Qarnul Manazil. Berikutnya, kami berpeluang lagi mengerjakan umrah dengan berniat ihram di Tan'im, Ja'ronah dan Hudaibiyah. Kami juga dapat ke Jabal Rahmah, Muzium Kaabah dan Gua Hirak.

Zamzam Tower di hadapan mata
Di Jabal Rahmah, bukit batu setinggi kira-kira 40 meter menjadi tumpuan pengunjung. Sepasang jemaah Indonesia cuba diperdaya oleh seorang remaja lelaki Arab yang meminta wang melalui perkhidmatan foto segera dengan harga SR60. Mujur juga saya menyamar sebagai anaknya, menyebabkan remaja Arab itu akhirnya tidak jadi meminta wang tersebut.
Jabal Rahmah yang berbatu keras hingga ke puncak
 Gua Hirak di Jabal Nur bukan calang-calang kawasan. Pendakiannya pada waktu malam menyebabkan kami menjangka ia mudah. Hakikatnya, menaiki tangga yang sudah tersedia merupakan satu cabaran yang cukup memenatkan. Bagaimanapun saya dan isteri dapat juga sampai ke pintu gua tersebut setelah pendakian hampir satu jam. Menuruni bukit itu lebih mudah dan cepat. Kami selamat tiba di kaki bukit dan berehat seketika sebelum kembali ke hotel.
Keindahan Zamzam Tower dilihat dari arah Jabal Nur
Peluang beribadah di Mekah kami manfaatkan sebaiknya. Pada Sabtu, kami bergerak ke Madinah untuk ziarah di Makam Rasulullah, Raudah dan kawasan sejarah perkembangan Islam seperti Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Bukit Uhud,  ladang kurma dan seumpamanya.
Panorama payung gergasi menguncup di Masjid Nabawi

Semasa di Masjid Nabawi, kami berkenalan dengan seorang pemuda dari Peranchis bernama Anwar, yang pandai berbahasa Melayu. Beliau pernah ke Malaysia dan bekerja di Muzium Kesenian Islam selama 6 bulan.
Kami bersama Anwar dan Eunus dari Peranchis



Akhirnya kelewatan berakhir juga
Perjalanan pulang ke tanah air lewat daripada yang dijadualkan kerana pesawat yang sepatutnya tiba di Jeddah terpaksa transit di Muscat, Oman atas faktor cuaca. Akhirnya, pada pukul 8 malam, kami berangkat juga meninggalkan bumi Haramain dan transit di Dubai selama 4 jam sebelum tiba di Changi. Pada pukul 8 malam, 31 Disember 2014, kami akhirnya selamat tiba di KLIA. Sesungguhnya, peluang umrah kali ini memberikan banyak manfaat kepada saya. Insya-Allah jika diizinkan Allah kami ingin sekali lagi ke sini mengerjakan ibadah Haji pula.

3 comments:

  1. Alhamdulillah.... tahniah kerana telah berjaya menjadi tetamu Allah...

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

TUN DAIM YANG DERMAWAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Tun Daim Zainuddin, mantan menteri k...