Wednesday, January 6, 2016

NASIB BAPA MUDA YANG STROK

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pengalaman sebagai guru, ingin saya kongsikan di sini hari ini. Pagi tadi, ketika memantau kedatangan pelajar di pintu pagar, saya tertarik melihat seorang pelajar lelaki tingkatan 4, yang baharu menampakkan dirinya selepas hari ketiga persekolahan 2016. Dengan baju lusuh dan seluar yang pudar warnanya, dia termangu-mangu bagai rusa masuk kampung. 

Hari suai kenal dan agihan kelas tingkatan 4 sudah pun selesai, tapi dia tercangak-cangak mencari kelasnya. Disebabkan itu, pihak sekolah ingin penjelasan daripadanya mengapa tidak hadir pada Isnin dan Selasa lalu.

"Ayah saya kena strok (angin ahmar), cikgu.." katanya dengan riak sedih. 

Biasalah, pelajar kadang kala memberi alasan yang pelbagai untuk escapisme. Begitulah juga dengan dia, fikir saya. Saya sudah lali dengan alasan demi alasan yang diberikan oleh pelajar untuk melepaskan diri daripada kesalahan. 

"Kalau begitu, saya nak tengok ayah kamu," Kata saya mengugutnya. 

"Tunjukkan jalan ke rumah kamu, saya nak jumpa ayah kamu dan dapatkan salinan keputusan PT3 kamu." 

Dia akur dengan arahan saya. Sepanjang perjalanan ke rumahnya, dia menjawab dengan baik apa yang saya tanya. Kebetulan ada kuih pau seketul yang tak sempat saya makan pagi tadi, saya berikan kepadanya. Dia makan dengan begitu berselera. 

Dalam hati kecil saya, terasa simpati pula kepada pelajar ini. Sebaik tiba di rumahnya, hanya emaknya yang menyambut kami. Emaknya begitu sopan terhadap saya.

Saya dibawa ke bilik bertemu ayahnya. Kelihatan susuk tubuh lelaki berusia awal 40-an, sedang duduk di katil tanpa berbaju. Wajahnya yang dirundung duka lara, tetap melimpahkan senyuman menyambut saya.

"Masuklah, cikgu." Katanya lemah. 

Kami bersalam dan hati saya terus dipaut sebak melihat keadaannya. Dia mendapat serangan angin ahmar minggu lalu, kerana tekanan memikirkan sikap anak-anaknya, seramai 3 orang. Dua orang anaknya 'lari'dari rumah, manakala yang bongsu pula tidak bermotivasi untuk ke sekolah. Dia terlalu memikirkan masalah anak-anaknya sehingga tekanan darahnya naik. 

"Maaflah, cikgu, bilik saya bersepah." Katanya tersekat-sekat. Serangan angin ahmar membataskan pergerakannya. Kepalanya sering sakit bagai ditoreh paku tajam, manakala anggota sebelah kiri badannya lemah. Dia tak boleh berdiri, malah perlu dibantu jika ingin keluar dari bilik. Dia juga memerlukan bantuan isteri dan anak jika mahu ke tandas. Pada usia semuda  42 tahun, dia diuji begitu. Dia pasrah dengan apa yang berlaku, cuma dia perlukan sokongan moral yang berterusan.

Melihatkan keadaannya, boleh katakan dia tergolong dalam kategori kemiskinan bandar. Mujurlah dia ada rumah sendiri yang tak perlu disewa. Pekerjaannya sebagai kakitangan rendah dalam sektor awam memberikan pendapatan tetap kepadanya, cukup untuk hidup bersederhana. Isterinya pula berniaga nasi lemak bagi meringankan beban kewangan suaminya. Kereta dan rumah batu bukan ukuran kekayaan, sebaliknya ia adalah satu keperluan pada masa sekarang.

Banyak yang kami bualkan, dan saya berikan semangat kepadanya. Nasibnya lebih baik daripada seorang rakan saya yang diserang strok sehingga hilang daya ingatan. Ada juga kenalan saya yang mendapat serangan strok hingga membawa kepada kematian. 

Saya memahami kesukaran pesakit angin ahmar, kerana pengalaman menjaga ayah pada tahun 2007 lalu, mengajar saya banyak perkara tentang sukarnya berdepan dengan penyakit ini.  

Hari ini, mendidik anak remaja tidak sama seperti 30 tahun lalu. Saya hairan melihat ada anak-anak remaja sanggup membiarkan ibu bapa susah hati kerana sikap mereka. Ingatlah, apa yang dilakukan kepada ibu bapa, tidak mustahil akan terjadi kepada kita pula satu hari nanti. 



No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...