Monday, December 26, 2016

SAYA PINDAH SEKOLAH SEBAB 'KENA PUKUL'?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pagi tadi, ketika singgah di pasar Sungai Tiram, saya ditegur oleh seorang bapa pelajar.
"Cikgu dah pindah?"
"Ya, sejak 2014.."
"Betul ke cikgu pindah sebab kena pukul dengan waris pelajar?" Tanya dia lagi.
Pertanyaan itu benar-benar mengundang kejutan di hati saya. 
"Mana tau?" Saya cuba mengorek jawapan. Sebenarnya, berita ini pernah saya dengar sebelum ini, tapi saya tak sangka ia masih bertebaran dan 'dipercayai'.
"Ramai yang kata, cikgu pindah sebab ada waris pelajar pukul cikgu dalam masjid.."
Kata-katanya menyebabkan saya ketawa kecil. 
"Cikgu jangan nak selindung,..  kalau betul, bagitau saya. Biar saya ajar orang tu." Katanya dengan wajah serius. 
"Siapa yang pukul saya?" Saya tanya dia semula.
"Habis tu, cikgu tak kenal?" 
"Bukan tak kenal, tapi saya sendiri tak tahu cerita ni.. Jangan percayalah bang." Kata saya lagi.

Saya menenangkan dia, lalu menceritakan sepanjang saya bertugas di Lekir hampir 20 tahun, memang saya ada ambil tindakan keras kepada pelajar yang melangar peraturan sekolah, namun tidak pernah sekalipun waris pelajar memukul saya seperti yang didengarnya. 

Seingat saya, ada dua peristiwa saya didatangi oleh waris pelajar kerana mengambil  tindakan disiplin terhadap anak mereka. Pertama, seorang ibu pelajar memarahi saya kerana merampas telefon bimbit anaknya.  Dia datang dan meninggikan suaranya di bilik guru. Saya terpaksa meninggikan suara dan menggertaknya supaya tinggalkan kawasan sekolah kerana cubaan mengugut. Sebenarnya kalau permintaan dibuat dengan beradab, saya pasti akan pulangkan telefon tersebut. Telefon itu kami simpan hingga hujung tahun, dan ia tidak dituntut oleh ibu tersebut sehinggalah saya berpindah dari sekolah tersebut. 
.Kedua, seorang bapa, bekas banduan yang tidak puas hati kerana anak lelakinya dirotan di punggung. Kesalahan anaknya agak berat, iaitu meraba tubuh pelajar perempuan. Malangnya, si bapa tidak mahu mendengar penjelasan saya. Dia hanya mengulang ayat bahawa dia tak takut dipenjarakan, dan mempersoalkan tindakan yang diambil oleh pihak sekolah terhadap anaknya. Bagi meredakan keadaan, saya memujuknya duduk dan bersembang bagaikan kawan. Akhirnya saya tahu bahawa dia memang kaki samseng. Saya tak berurusan dengannya lagi kerana selepas itu anaknya dibuang sekolah sebab kerap tidak hadir.

Tapi, apabila mendengar kisah 'kononnya' saya dipindahkan ke sekolah lain kerana 'dipukul oleh waris pelajar', saya rasa geli hati dan sedikit lucu. Mana tidaknya, saya sendiri tak tahu yang saya 'telah dipukul oleh waris pelajar'. Setahu saya, komuniti Lekir rata-rata amat baik dan mesra dengan saya. Saya sendiri sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat Lekir sejak 1998. 

Saya pindah pun selepas pihak PPD Manjung berasakan tempoh perkhidmatan hampir 20 tahun di sekolah yang sama adalah terlalu lama bagi seorang guru seperti saya. Saya juga redha dengan perpindahan ini kerana saya perlukan suasana baharu yang dapat menjana idea baharu di tempat baharu. 

Apa yang saya pelajari daripada kisah ini, adalah khabar angin akan sentiasa dimainkan oleh golongan yang suka memanipulasikan spekulasi, dan mereka yang tidak menyaisat mudah terpedaya dengan momokan seperti ini. 

Wednesday, December 21, 2016

DAMAILAH DI SANA, CIKGU ZUL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya mendapat perkhabaran kematian empunya nama Ahmad Zulkiply Mohd Yassin, atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Zul melalui aplikasi whatsapps yang dihantar oleh rakan. Cikgu Zul dikatakan meninggal dunia dalam pesawat ketika penerbangan ke Poland menziarahi anaknya di sana.  

Ingatan saya terus menerpa memori kami bersama-sama mengajar di SMK Batu Sepuluh, Lekir, Sitiawan kira-kira 20 tahun lalu. Saya mula-mula melapor diri pada tanggal 3 Julai 1995, dengan perasaan gemuruh dan bimbang. Sebagai guru muda yang baharu 'posting', tentulah saya mempunyai perasaan sedemikian. Selepas pertemuan dengan pengetua, Cikgu Mohd Shukor Shariff, Cikgu Zul adalah orang kedua yang saya temui. Dia banyak memberikan kata-kata nasihat dan sedikit sebanyak tips yang diberikannya memberi keyakinan kepada saya untuk mendidik anak bangsa yang rata-ratanya masyarakat luar bandar. 

Sejak itu, saya jadikan Cikgu Zul sebagai mentor dan pakar rujuk saya dalam urusan kerja. Ini kerana hubungan Cikgu Zul dengan masyarakat setempat agak baik. Biarpun kelihatannya tegas, beliau amat dihormati pelajar. Kelab bola sepak kegemarannya Leeds United, iaitu tempatnya belajar TESL selama dua tahun. Ada dia tunjukkan foto dan baju kelab tersebut kepada saya. Hubungan kami tidak lama kerana pada tahun 1999, Cikgu Zul mendapat tawaran menjadi pensyarah di IPG Perlis. Sejak itu, kami jarang sangat berhubung, dan dia juga jarang pulang ke Manjung kerana bermastautin di negeri tersebut. 

Pada 2013, Cikgu Zul datang ke sekolah kerana rindu pada rakan lama, katanya. Saat itu saya melihat badannya semakin kurus, kesan daripada diabetes yang dihidapi. Namun dia tetap ceria berbual dengan kami dan mengimbau pengalaman semasa kami sama-sama menghadapi kes pelajar histeria pada tahun 1995-1996.  

Apabila menerima berita kematiannya dalam pesawat, ia serentak dengan berita kematian Khir Adnan, staf sokongan SMKBS yang sama-sama bertugas dengannya dahulu. Bagai telah berjanji, kematian mereka pada tarikh yang sama, tetapi di tempat yang berbeza. Saya sempat menziarahi jenazah Encik Khir di Pasir Panjang, manakala jenazah Cikgu Zul diberitakan dibawa pulang dari Poland pada hari Khamis atau Jumaat minggu ini. Segala urusan dibuat oleh Kedutaan Malaysia dan jenazah dijangka tiba ke tanah air selepas penerbangan selama 17 jam. 

Kematian itu sudah pasti, dan tidak akan dilewat atau dipercepatkan oleh Allah Yang Maha Berkuasa. Damailah kau di sana, kekanda Ahmad Zulkiply Mohd Yassin. 
Alfatihah.   

Saturday, December 10, 2016

Tindakan Profesionalisme Pekerja TNB Wajar Dipuji.

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

      Awal pagi Jumaat, 9 Disember 2016, saya terjaga daripada tidur. Kipas dan lampu di bilik utama tidak berfungsi. Selepas menunaikan solat tahajud, saya memeriksa keadaan. Rupanya ada beberapa lampu tidak bernyala. Agak pelik juga kerana lampu jalan di hadapan rumah turut mengalami keadaan yang sama, sedangkan lampu dan peralatan elektrik lain berfungsi dengan baik.  Seorang jiran dalam grup whatapps mencadangkan saya menghubungi talian Careline TNB 15454. Saya menghubungi talian tersebut dan mendapat layanan yang baik daripada petugas wanita yang menyambut panggilan saya.

      "Encik guna '3 phase' ke?" Dia bertanya. 

      Saya mengiyakan, dan beberapa maklumat tambahan diperlukan untuk tindakan lanjut pihaknya.

    "Masalah encik saya maklumkan kepada pihak TNB Seri Manjung. Nanti mereka akan uruskan selebihnya." Katanya sebelum menamatkan panggilan.

     Tidak lama selepas itu,  saya dihubungi oleh seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai petugas TNB Seri Manjung, bertanyakan masalah yang saya hadapi. Saya memaklumkan keadaan yang sama dan memberi kedudukan rumah serta nombor tiang lampu sebagai rujukan. 

      Tidak lama kemudian, pekerja TNB datang untuk menyelesaikan masalah talian elektrik yang saya hadapi. Rupanya sistem 3 phase di rumah saya mengalami gangguan mungkin akibat hujan lebat pada malam tadi.

      Saya kagum dengan pihak TNB yang amat prihatin dengan masalah saya. Terima kasih TNB. Pekerja anda menunjukkan sikap profesionalisme yang tinggi. 


MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...