Wednesday, December 21, 2016

DAMAILAH DI SANA, CIKGU ZUL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya mendapat perkhabaran kematian empunya nama Ahmad Zulkiply Mohd Yassin, atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Zul melalui aplikasi whatsapps yang dihantar oleh rakan. Cikgu Zul dikatakan meninggal dunia dalam pesawat ketika penerbangan ke Poland menziarahi anaknya di sana.  

Ingatan saya terus menerpa memori kami bersama-sama mengajar di SMK Batu Sepuluh, Lekir, Sitiawan kira-kira 20 tahun lalu. Saya mula-mula melapor diri pada tanggal 3 Julai 1995, dengan perasaan gemuruh dan bimbang. Sebagai guru muda yang baharu 'posting', tentulah saya mempunyai perasaan sedemikian. Selepas pertemuan dengan pengetua, Cikgu Mohd Shukor Shariff, Cikgu Zul adalah orang kedua yang saya temui. Dia banyak memberikan kata-kata nasihat dan sedikit sebanyak tips yang diberikannya memberi keyakinan kepada saya untuk mendidik anak bangsa yang rata-ratanya masyarakat luar bandar. 

Sejak itu, saya jadikan Cikgu Zul sebagai mentor dan pakar rujuk saya dalam urusan kerja. Ini kerana hubungan Cikgu Zul dengan masyarakat setempat agak baik. Biarpun kelihatannya tegas, beliau amat dihormati pelajar. Kelab bola sepak kegemarannya Leeds United, iaitu tempatnya belajar TESL selama dua tahun. Ada dia tunjukkan foto dan baju kelab tersebut kepada saya. Hubungan kami tidak lama kerana pada tahun 1999, Cikgu Zul mendapat tawaran menjadi pensyarah di IPG Perlis. Sejak itu, kami jarang sangat berhubung, dan dia juga jarang pulang ke Manjung kerana bermastautin di negeri tersebut. 

Pada 2013, Cikgu Zul datang ke sekolah kerana rindu pada rakan lama, katanya. Saat itu saya melihat badannya semakin kurus, kesan daripada diabetes yang dihidapi. Namun dia tetap ceria berbual dengan kami dan mengimbau pengalaman semasa kami sama-sama menghadapi kes pelajar histeria pada tahun 1995-1996.  

Apabila menerima berita kematiannya dalam pesawat, ia serentak dengan berita kematian Khir Adnan, staf sokongan SMKBS yang sama-sama bertugas dengannya dahulu. Bagai telah berjanji, kematian mereka pada tarikh yang sama, tetapi di tempat yang berbeza. Saya sempat menziarahi jenazah Encik Khir di Pasir Panjang, manakala jenazah Cikgu Zul diberitakan dibawa pulang dari Poland pada hari Khamis atau Jumaat minggu ini. Segala urusan dibuat oleh Kedutaan Malaysia dan jenazah dijangka tiba ke tanah air selepas penerbangan selama 17 jam. 

Kematian itu sudah pasti, dan tidak akan dilewat atau dipercepatkan oleh Allah Yang Maha Berkuasa. Damailah kau di sana, kekanda Ahmad Zulkiply Mohd Yassin. 
Alfatihah.   

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...