Monday, December 26, 2016

SAYA PINDAH SEKOLAH SEBAB 'KENA PUKUL'?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pagi tadi, ketika singgah di pasar Sungai Tiram, saya ditegur oleh seorang bapa pelajar.
"Cikgu dah pindah?"
"Ya, sejak 2014.."
"Betul ke cikgu pindah sebab kena pukul dengan waris pelajar?" Tanya dia lagi.
Pertanyaan itu benar-benar mengundang kejutan di hati saya. 
"Mana tau?" Saya cuba mengorek jawapan. Sebenarnya, berita ini pernah saya dengar sebelum ini, tapi saya tak sangka ia masih bertebaran dan 'dipercayai'.
"Ramai yang kata, cikgu pindah sebab ada waris pelajar pukul cikgu dalam masjid.."
Kata-katanya menyebabkan saya ketawa kecil. 
"Cikgu jangan nak selindung,..  kalau betul, bagitau saya. Biar saya ajar orang tu." Katanya dengan wajah serius. 
"Siapa yang pukul saya?" Saya tanya dia semula.
"Habis tu, cikgu tak kenal?" 
"Bukan tak kenal, tapi saya sendiri tak tahu cerita ni.. Jangan percayalah bang." Kata saya lagi.

Saya menenangkan dia, lalu menceritakan sepanjang saya bertugas di Lekir hampir 20 tahun, memang saya ada ambil tindakan keras kepada pelajar yang melangar peraturan sekolah, namun tidak pernah sekalipun waris pelajar memukul saya seperti yang didengarnya. 

Seingat saya, ada dua peristiwa saya didatangi oleh waris pelajar kerana mengambil  tindakan disiplin terhadap anak mereka. Pertama, seorang ibu pelajar memarahi saya kerana merampas telefon bimbit anaknya.  Dia datang dan meninggikan suaranya di bilik guru. Saya terpaksa meninggikan suara dan menggertaknya supaya tinggalkan kawasan sekolah kerana cubaan mengugut. Sebenarnya kalau permintaan dibuat dengan beradab, saya pasti akan pulangkan telefon tersebut. Telefon itu kami simpan hingga hujung tahun, dan ia tidak dituntut oleh ibu tersebut sehinggalah saya berpindah dari sekolah tersebut. 
.Kedua, seorang bapa, bekas banduan yang tidak puas hati kerana anak lelakinya dirotan di punggung. Kesalahan anaknya agak berat, iaitu meraba tubuh pelajar perempuan. Malangnya, si bapa tidak mahu mendengar penjelasan saya. Dia hanya mengulang ayat bahawa dia tak takut dipenjarakan, dan mempersoalkan tindakan yang diambil oleh pihak sekolah terhadap anaknya. Bagi meredakan keadaan, saya memujuknya duduk dan bersembang bagaikan kawan. Akhirnya saya tahu bahawa dia memang kaki samseng. Saya tak berurusan dengannya lagi kerana selepas itu anaknya dibuang sekolah sebab kerap tidak hadir.

Tapi, apabila mendengar kisah 'kononnya' saya dipindahkan ke sekolah lain kerana 'dipukul oleh waris pelajar', saya rasa geli hati dan sedikit lucu. Mana tidaknya, saya sendiri tak tahu yang saya 'telah dipukul oleh waris pelajar'. Setahu saya, komuniti Lekir rata-rata amat baik dan mesra dengan saya. Saya sendiri sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat Lekir sejak 1998. 

Saya pindah pun selepas pihak PPD Manjung berasakan tempoh perkhidmatan hampir 20 tahun di sekolah yang sama adalah terlalu lama bagi seorang guru seperti saya. Saya juga redha dengan perpindahan ini kerana saya perlukan suasana baharu yang dapat menjana idea baharu di tempat baharu. 

Apa yang saya pelajari daripada kisah ini, adalah khabar angin akan sentiasa dimainkan oleh golongan yang suka memanipulasikan spekulasi, dan mereka yang tidak menyaisat mudah terpedaya dengan momokan seperti ini. 

3 comments:

Jejak yang ditinggalkan