Monday, February 20, 2017

TRAGEDI REMAJA BERBASIKAL MAUT DIREMPUH: INSAFKAH KITA?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Negara dikejutkan dengan tragedi kematian 8 orang remaja yang dirempuh sebuah kereta ketika berbasikal beramai-ramai pada pukul 3 pagi, di Johor malam Sabtu lalu. 

     Akhbar Sinar Harian dipetik sebagai melaporkan, kejadian remaja yang suka berpeleseran dengan basikal pada awal pagi sebenarnya sudah lama berlaku. Ia seolah-olah satu kebiasaan di beberapa lokasi jalan termasuk di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru.  

        Kebanyakan remaja tersebut daripada golongan keluarga yang berpendapatan sederhana; ada ibu bapa yang bekerja sebagai pembantu kedai, pengawal keselamatan dan pekerja kilang. Kejadian ini membuka mata pelbagai pihak, apatah lagi ia melibatkan golongan remaja yang sedang meningkat dewasa.

       Kita sedih dengan tragedi ini, kerana selain meragut banyak nyawa, ia sebenarnya boleh dielakkan jika anak remaja tersebut tidak terlibat dengan tabiat keluar awal pagi melepak bersama rakan sebaya. 

      Mungkin untuk sementara, peristiwa ini akan menyebabkan jalan raya yang selalunya meriah sebagai tempat melepak, menjadi lengang seketika. Pihak polis diberitakan akan mengambil tindakan menyuraikan mana-mana kumpulan remaja berbasikal yang tidak diawasi oleh golongan dewasa, manakala ada cadangan perintah berkurung dilaksanakan kepada remaja daripada pukul 12 malam hingga 6 pagi. Para ibu bapa harus memastikan anak-anak remaja berada di rumah pada masa yang sepatutnya. 

      Kalau diimbas zaman remaja dahulu, saya pasti akan di'balun' kalau balik menjelang maghrib, dan pada sebelah malam, kami tidak akan keluar rumah kerana padahnya cukup berat jika melanggar 'peraturan'. Aktiviti mengaji quran atau mengulangkaji pelajaran sahajalah yang boleh dilakukan. Hari ini, ibu bapa berdepan dengan anak-anak yang terdedah dengan kecanggihan teknologi maklumat. Melayan anak remaja seperti ini juga memerlukan kebijaksanaan, supaya anak remaja tidak rasa dikongkong, dalam masa yang sama, hasrat membentuk jati diri insan yang positif dapat dicapai.  


No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...