Sunday, June 25, 2017

TETAMU ALLAH MUSIM HAJI 2017 (UPDATE)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Surat Tawaran jadi Tetamu Allah telah kami terima pada raya ke-4

     Siapa yang tak mahu jadi tetamu Allah? Semua umat Islam mengimpikannya sebelum menutup mata buat selam-lamanya. Saya dan isteri sudah mendaftar sejak 2008, dan kami dijangka mendapat giliran pada tahun 2019 atau 2020. Pada akhir tahun 2014, kami berpeluang mengerjakan ibadah umrah bersama mertua. Semasa di hadapan Kaabah, saya berdoa agar dapat menjejakkan kaki lagi ke sana sebagai tetamu Allah pada musim haji. 

     Saya memang memasang angan angan untuk menunaikan haji sebelum usia 50. Tekad saya, biarlah saya masih bertenaga dan mampu menjalani rukun ibadah haji dengan sempurna. Impian saya, biarlah saya masih mampu bertawaf dan saei dengan kesihatan yang baik. Itulah hasrat hati saya, kerana saya bernafas, hidup dan bernyawa semuanya kerana kemurahanNya. 

     Saya tidak pun menaruh harapan menjadi tetamu Allah pada musim haji 2017. Saya jangka, saya akan dapat peluang ini pada 2018 atau 2019. Namun, siapa kita untuk menolak ketentuan Allah? Semasa dalam perjalanan balik raya ke Terengganu, saya menerima panggilan daripada pejabat TH, memaklumkan nama saya dan isteri tersenarai dalam jemaah musim haji 2017. Kami mendapat tempat melalui kuota tambahan yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia pada akhir Mei lalu. Menurut sumber tersebut, surat akan menyusul nanti. Perbualan pendek itu cukup bermakna, dan memberi kejutan yang besar kepada kami.

   Subhanallah, Maha Suci Allah. Saya bersyukur dengan perancangan Allah. Moga Allah berikan kesihatan yang baik kepada kami untuk ke sana. Insya-Allah, dengan izin-Mu, kami akan ke sana. 

        Ada rakan yang bertanya bagaimana kami boleh dapat tawaran ini pada usia bawah 50 tahun. Jawapan saya, banyakkan berdoa dan usaha. Kami merayu sejak 2013. Kami juga pergi kursus haji (kali terakhir Januari hingga April 2017) walaupun tahu kami mungkin tak dijemput. Paling penting, yakinlah bahawa Allah yang menjemput kita ke sana, dan jangan tolak jemputan ini kerana belum tentu lagi kita berpeluang menerimanya pada masa hadapan.

Labbaikallah hummalabbaik... Labbaikallahu syarikalakalabbaik...    

2 comments:

  1. Assalamualaikum Cikgu Izzudin, Tahniah atas tawaran jemputan ke tanah suci Mekah tahun 2017. Semoga beroleh haji yang mabrur, amiin2. Doakan saya akan ke sana tahun depan, Insha Allah.

    ReplyDelete
  2. Saya doakan Dr Chemah dan suami juga dapat menunaikan ibadah haji secepat mungkin. Aminnn..

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...