Koloni
serangga kecil seperti semut, adalah satu contoh kejayaan dalam sebuah organisasi.
Kepentingan aspek kepimpinan dalam koloni semut diterajui oleh permaisuri,
semut tentera dan semut pekerja. Pertahanan sarang diuruskan oleh semut
tentera, manakala semut pekerja mencari makanan dan menyediakan keperluan
domestik. Setiap ekor semut mengamalkan kerja berpasukan bagi memastikan kelangsungan
hidup koloni mereka. Permaisuri pula berperanan menghasilkan telur yang memberi
survival kepada generasi semut baharu bagi meneruskan kelangsungan baka semut.
Dengan
mengambil kira koloni semut, begitulah juga kemenjadian sesebuah organisasi. Bagi
pentadbir sekolah, kerja berpasukan merupakan kunci ke arah kejayaan dalam
pengurusan. Seorang pengetua, mestilah mempunyai upaya dan daya mengawal
organisasi, sama ada guru, staf sokongan dan murid (Khuzaimah Sulaiman, 2015). Ini
membuktikan pengetua atau guru besar yang kompeten akan merangsang organisasi
membentuk satu pasukan yang kuat.
Sekiranya
ketua gagal memastikan pengurusan organisasi berjalan lancar, ia memberi kesan
langsung kepada organisasi. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, Wan Zahid
(1994, dalam Nota Kuliah IAB, NPQEL
Ambilan 1/2016) telah menekankan untuk merealisasikan Wawasan Pendidikan
Negara sejajar dengan Wawasan 2020, pemimpin pendidikan perlu mempunyai ilmu
pengetahuan yang luas, sahsiah dan akhlak yang baik, serta keberanian mencuba
dan mengambil risiko. Ini bermakna kejayaan sesebuah sekolah berkait rapat
dengan tingkah laku kepemimpinan pengetua. Kerjasama daripada kakitangan yang
bertanggungjawab amat bergantung kepada interaksi positif antara pengetua
dengan kakitangan sekolah. Ini bertepatan dengan kenyataan bahawa hubungan
positif antara pengetua dengan guru-guru telah memberi impak yang besar kepada
prestasi, kepuasan kerja dan komitmen guru di sesebuah sekolah.
Rumusannya, kemahiran kerja berpasukan melibatkan kebolehan
untuk bekerjasama dengan orang lain daripada pelbagai latar belakang
sosiobudaya untuk mencapai matlamat yang sama. Aspek pembinaan hubungan baik, dan bekerja secara
efektif bersama mereka untuk mencapai objektif yang sama, mengenali dan menghormati
sikap, kelakuan dan kepercayaan orang lain, memberi sumbangan kepada
perancangan dan menyelaraskan hasil usaha kumpulan, adalah manifestasi rasa bertanggungjawab
terhadap kepentingan pasukan.
HALANGAN KERJA BERPASUKAN
Dalam sesebuah organisasi, kerja
sepasukan adalah kunci kepada kemantapan organisasi. Hubungan muafakat antara
ketua jabatan dan staf bawahan membentuk kerja sepasukan yang kukuh. Antara
halangan yang menggagalkan kerja sepasukan adalah percanggahan idea. Pasukan cuba menangani tugasan
pekerjaan dengan mencadangkan idea-idea. Bagaimanapun percanggahan idea yang
tidak dikendali dengan baik, ia akan melumpuhkan kerja berpasukan. Perhubungan
antara pasukan akan terjejas jika percanggahan pandangan dibiarkan
berlarutan. Jika pasukan terlebih fokus
untuk mendapatkan persetujuan semua, pasukan mungkin akan memilih jalan atau
cara terbaik untuk menyelesaikan masalah atau pekerjaan. Ini akan menimbulkan
masalah di kemudian hari. Fasa ini amat penting
terutama jika pasukan tersebut mempunyai pemimpin yang boleh menjalankan
tugas dengan teguh dan berkeyakinan tinggi.
Faktor seterusnya adalah norma
atau peraturan. Dalam fasa ini ahli pasukan bergerak ke arah bekerja secara
harmoni, dan bersetuju terhadap nilai dan peraturan pasukan. Dalam situasi yang
terbaik, pasukan boleh bertindak supaya ahli pasukan mengambil tanggungjawab
terhadap risiko yang mungkin terjadi.
Jika norma dan peraturan lama menjadi panduan, pasukan mungkin menjadi
santai dan mereka kehilangan daya kreativiti serta daya usaha yang akhirnya
menggagalkan matlamat organisasi.
Faktor berikutnya adalah pelaksanaan.
Tidak semua pasukan akan mencapai tahap pelaksanaan yang sempurna. Pasukan yang
berjaya menjalankan tugas adalah
organisasi yang mempunyai keupayaan bekerja sendiri, bermotivasi, berilmu dan
berdaya saing. Keputusan dibuat secara kolektif tanpa tekanan dan sikap
bertoleransi diamalkan kerana wujud sikap saling hormat menghormati dalam
komunikasi antara ahli pasukan. Pelaksanaan yang sempurna hanya berlaku apabila
ada pemantauan berterusan daripada pentadbir. Tanpa elemen pemantauan, program
yang baik pun tidak akan berjaya mencapai matlamat dalam organisasi.
FASA MEMBENTUK PASUKAN BEKERJA
Ada beberapa
fasa dalam membentuk pasukan bekerja yang berkesan. Ini adalah sebagai satu
panduan seperti yang dinyatakan oleh Bruce Tuckman (1965).
1. FORMING/
MEMBENTUK
Pada peringkat ini, kebanyakan ahli pasukan
bersikap positif dan sopan. Ada yang merasa cemas, kerana mereka belum
sepenuhnya memahami apa yang akan dilakukan oleh pasukan. Yang lain hanya
gembira dengan tugas yang akan datang.
Sebagai pemimpin, PGB memainkan peranan yang
dominan pada tahap ini, kerana peranan dan tanggungjawab anggota pasukan tidak
jelas. Tahap ini dapat berlangsung selama beberapa waktu, ketika ahli pasukan mulai
bekerja sama, dan ketika mereka berusaha untuk mengenali rakan baru mereka.
Mesyuarat pengurusan dan mesyuarat panitia, mampu membantu mempercepatkan
proses ini.
2.
STORMING/MENCAMBAH
Pasukan cuba menangani tugasan pekerjaan dengan
mencadangkan idea-idea. Akan tetapi percanggahan idea akan berlaku pada
peringkat ini. Jika fasa ini tidak dikendali dengan baik, ia akan melumpuhkan
kerja berpasukan. Perhubungan antara pasukan akan terbentuk atau menjadi
renggang dalam fasa ini.
Jika
pasukan terlebih fokus untuk mendapatkan persetujuan semua, pasukan mungkin
akan memilih jalan atau cara terbaik untuk menyelesaikan masalah atau
pekerjaan. Amatlah penting jika pada fasa ini, pasukan mempunyai pemimpin yang
boleh menjalankan pekerjaan dengan teguh dan kuat. Konflik gaya kerja semula
jadi ahli pasukan boleh menjadi alasan kepada kegagalan kerja berpasukan, malah mereka mungkin akan kecewa. Sebagai contoh,
ahli pasukan boleh mencabar kewibawaan kita sebagai pemimpin untuk melobi kedudukan.
Ada juga yang berasa terbeban dengan tugas
atau mungkin tidak selesa dengan pendekatan yang digunakan oleh ketua.
3.
NORMING/NORMA
Dalam fasa ini ahli pasukan bergerak ke arah
bekerja secara harmoni. Dalam situasi yang terbaik, pasukan boleh bertindak
tegas supaya ahli pasukan lebih bertanggungjawab. Risiko yang mungkin berlaku adalah
pasukan mungkin menjadi tenang dan kehilangan daya kreativiti. Ini memerlukan
inspirasi berterusan melalui usaha menyelesaikan perbezaan pandangan,
menghargai kekuatan rakan sekerja, dan menghormati kewibawaan anda sebagai
pemimpin.
4.
PERFORMING/MENJALANKAN
Tidak semua pasukan akan mencapai tahap ini.
Pasukan dapat menjalankan tugas jika
mereka ada keupayaan bekerja sendiri, bermotivasi, berilmu dan berdaya boleh.
Keputusan dibuat secara kolaboratif dan sikap bertoleransi diamalkan kerana
wujud sikap saling hormat menghormati dalam komunikasi berkesan wujud antara ahli pasukan.
5.
ADJOURNING & TRANSFORMING/ PENAMATAN
Ini adalah fasa terakhir yang ditambah oleh
Tuckman untuk meliputi penamatan projek dan pembubaran kerja berpasukan.
Pasukan boleh kembali ke mana-mana fasa dalam model ini jika mereka mengalami
perubahan seperti melihat semula matlamat projek atau perubahan ahli pasukan.
Dalam pasukan yang berjaya, apabila seseorang ahli pasukan meninggalkan pasukan
dan ahli baru masuk, pasukan biasanya akan ke fasa forming (pembentukan) semula.
KESIMPULAN
Kesimpulannya,
kepimpinan PGB memainkan peranan penting menjayakan pasukan bekerja di sekolah.
Pasukan pengurusan yang terdiri daripada pengetua, penolong kanan dan guru
kanan harus mempunyai hala tuju dan tindakan secara bersama. Pemimpin
pertengahan lain seperti ketua panitia, setiausaha unit dan seumpamanya
berperanan menyokong dasar sekolah dan bersatu memastikan matlamat sekolah dapat dicapai.
RUJUKAN
Abd.
Ghafar Mahmud. (2011). Haluan Kerja
Pendidikan Merealisasi Agenda Transformasi Negara. Selangor: Cepat Cetak
Sdn Bhd.
Ainon
Mohd. (2007).Teori dan Teknik Kepimpinan,
Panduan Aplikasi Di Tempat Kerja. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Institut
Aminuddin Baki. (2013). Buku Panduan PrOD.
Institut Aminuddin Baki: Genting Highlands
Institut
Aminuddin Baki. (2016). Nota kuliah modul
1. Institut Aminuddin Baki: Genting Highlands
Khuzaimah
Sulaiman. (2015). Guru Biasa Yang Luar
Biasa. Bangi. Nuun Creative Books
Artikel ini dipilih untuk dimuatkan dalam Buletin MPSM sempena Persidangan MPSM Perak di Putrajaya pada -7 Oktober 2020