Tuesday, May 19, 2020

RAMADHAN 1441 DALAM SUASANA PKPB

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Hari ini, Selasa 19 Mei 2020, bersamaan  26 Ramadhan 1441. Ini bermakna, Ramadhan sudah ke penghujung. Entah bila kita dapat bertemu lagi dengan Ramadhan, tapi sama-samalah kita berdoa, agar kita dapat bertemu dengan Ramadhan tahun tahun berikutnya.

Ramadhan kali ini begitu berbeza dengan sebelumnya. Ini juga Ramadhan pertama selepas Sani, adik kandung saya pergi buat selama-lamanya pada 18 Disember lalu. Sayu dan pilu mengenangkan kami pernah menikmati kehidupan bersama, membesar dan melalui kehidupan sebagai adik beradik yang penuh suka duka.

Ramadhan kali ini juga tiada solat jemaah di masjid dan surau. Tiada majlis iftar setiap maghrib di surau Taman Wazir atau Masjid Batu 10 Lekir. Ibadah solat dan berbuka puasa dibuat di rumah masing masing, selaras dengan arahan pihak kerajaan kepada rakyat seluruh negara, demi mengekang penularan wabak Covid-19.

Covid-19 yang melanda dunia sejak hujung 2019 lalu, kini mencatat 4,801,943 kes seluruh dunia dengan 318,481 kematian. Data daripada Universiti John Hopkins turut mengesahkan Amerika Syarikat mendahului carta kes dan kematian berbanding negara lain dengan lebih 1.5 juta kes dan 90 ribu nyawa rakyatnya melayang akibat virus tersebut. Ia diikuti oleh Rusia, Brazil, United Kingdom, Spain Itali dan Peranchis. (sehingga tarikh 18/5/2020)

Di negara kita, normal baharu dijadikan rutin dalam kehidupan. Antaranya, penjarakan sosial sekurang kurangnya 1 meter, elakkan berada di tempat sesak dan memakai topeng mulut jika berada di luar rumah. Rakyat juga diingatkan mencuci tangan, dan luangkan masa bersama keluarga di rumah jika tiada keperluan di luar. 

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sudah menggariskan bahawa sambutan aidilfitri dihadkan hanya pada hari raya pertama, dengan tiada kunjung mengunjung seperti tradisi kebiasaan kita. Malah, pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan sama sekali. Satu kereta hanya boleh memuatkan 4 orang penumpang  
termasuk pemandu daripada satu keluarga. 

Biarpun sambutan Ramadhan dan Syawal kali ini berbeza daripada sebelumnya, kemeriahannya tetap terasa. Semua ini ada hikmah yang tersembunyi. Namun ia perlu dinikmati dan bukan dibenci. Mungkin inilah sambutan perayaan paling unik dan tidak berulang pada masa hadapan.   

1 comment:

  1. ramadan dah hampir ke penghujung.
    Mudah2an kita ketemui lagi ramadan2 yang mendatang

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...