Thursday, June 9, 2016

DEMAM SEBELUM KE IAB MINGGU TERAKHIR KURSUS NPQEL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Setelah melalui 2 fasa sebelum ini, perjuangan menempuhi kursus NPQEL (Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan) sudah sampai ke penghujung. Hanya satu minggu sahaja lagi kami perlu berada di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands. Ini juga bermakna, saat perpisahan keluarga SMG3 juga makin dekat. Bagaimanapun minggu terakhir ini penuh dengan cabaran. Pertamanya, ia betul-betul bermula pada 1 Ramadhan. Saat orang lain sibuk bertarawikh dengan keluarga pada awal Ramadhan, saya terpaksa berjauhan dengan anak isteri. 

Keduanya, untuk membuat perjalanan ke IAB Genting pada Ahad, 5 Jun 2016, cukup mencabar, Saya demam teruk dan tidak bermaya untuk memandu ke sana, yang jaraknya melebihi 200km. Buntu memikirkan Kakyong juga perlu kembali ke UiTM Dengkil selepas tamat tempoh cuti. Dia pula baharu mendaftar dan tidak betah untuk menaiki ETS atau bas. Isteri pula memang tidak biasa memandu jarak jauh tanpa saya di sisi. Semua kebimbangan itu menambahkan kekusutan. Syukurlah semua tugasan NPQEL dapat disiapkan lebih awal. 

Saat itu pertolongan Allah tiba seperti yang dirancangNya. Adik kesayangan yang bertugas jauh di IPG Tawau Sabah balik bercuti, bersedia menghantar saya ke IAB dan anak saudaranya ke Dengkil. Alhamdulillah, perjalanan kami selamat dan segalanya dipermudahkan oleh Allah. Menjelang maghrib kami tiba di IAB. Terima kasih Sani!

Isteri tersayang turut mengiringi saya memberikan semangat. Sebelum pulang masih sempat dia memberikan kata perangsang, dan pelukan kasihnya sebelum mereka bertolak ke Dengkil menyebabkan saya terharu. Terima kasih Ma!

Walaupun saya agak lesu dan tidak bertenaga hingga pada awalnya saya sudah bertekad tidak hadir ke IAB, akhirnya saya meneruskan minggu terakhir yang mempunyai dua agenda penting dalam melengkapkan kursus NPQEL. Pertama, kami menduduki peperiksan akhir dan kedua, pembentangan laporan sandaran dalam kolokium yang dinilai oleh pensyarah.   Pada Isnin, demam saya tidak menampakkan tanda surut, dengan bantuan rakan seperjuangan, dia menghantar saya ke klinik dan doktor mengesahkan saya saya demam akibat jangkitan tonsil yang membengkak di dalam tekak, bukannya denggi. Terima kasih Encik Mohamad Saad, rakan yang selalu susah senang bersama sepanjang kursus ini.

Saya telah pulih daripada demam itu pada hari kedua Ramadhan, dan dapat menduduki peperiksaan tanpa masalah besar. Syukur Allah. Kau Maha Mendengar segala keluh resah hambaMu yang banyak dosa ini. 


Tuesday, May 24, 2016

Bermula Era Baharu Untuk Kakyong

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tawaran Asasi UiTM Kampus Dengkil diterima dengan rasa syukur. Memang itulah kehendak Kakyong, Dia sendiri sudah bersedia untuk berjauhan sekali lagi daripada keluarga. Dari segi mental dan fizikal, rasanya dia tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu. Pengalaman 2 tahun di SMK Bainun menjadikannya matang. Sekurang-kurangnya, itulah yang kami fikirkan. 

Sebagai ibu bapa, tentunya kami mengharapkan dia dapat belajar dengan baik. Esok, kami akan menghantarnya ke Kampus Dengkil, sesuatu yang baharu buatnya, dan kami juga!

Moga Allah permudahkan urusan kami esok.

Wednesday, May 11, 2016

CORETAN PENGALAMAN SEBAGAI GURU (SEMPENA HARI GURU 2016)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Bukan semua orang ditakdirkan menjadi guru. Saya bersyukur kerana memiliki kerjaya ini dan saya akan jaga ia sebaik-baiknya. Kerjaya guru tidak menjadikan seseorang itu jutawan dunia, tapi dia boleh menjadi jutawan akhirat jika benar-benar menghayati falsafah tugas seorang guru. Guru,  sama seperti kerjaya lain menuntut komitmen yang tinggi. Adakalanya pedih juga telinga apabila mendengar suara sinis masyarakat yang menganggap kerjaya guru mudah dan banyak cuti. 

      Saya ingin bercerita kisah yang saya fikir seronok untuk dikongsikan di sini. Ia berkisar tentang kisah rokok. Saya memang tidak merokok. Memang arwah ayah mendidik kami anak-anak lelaki agar tidak merokok. Malah, ipar kami juga tidak merokok. Arwah mak cukup menyampah dan tidak redha jika kami adik beradik merokok. Alhamdulillah, berkat doa mak saya agaknya, hingga ke hari ini saya tidak merokok. Bukan tak pernah cuba, tapi dada saya seakan memberontak apabila saya cuba masukkan asap rokok ketika awal remaja dahulu. 


        Apabila ada pelajar saya yang merokok, saya menasihati mereka agar menjauhi tabiat ini. Selain daripada merosakkan kesihatan, ia juga perbuatan yang membazir. Malah, kebanyak perokok tidak menghormati privasi orang lain, Bagaimanapun, saya tidak ada masalah untuk berkawan dengan perokok, asalkan mereka menghormati pendirian saya. Inilah yang saya sentiasa ingatkan kepada pelajar. Satu hari, saya seperti biasa masuk ke sebuah kelas lalu menceritakan keburukan merokok sebelum memberi tugasan karangan. Saya tahu beberapa orang daripada mereka memang merokok. 

         "Perokok ni, bodoh.." Saya membuat provokasi kepada mereka .
         
        Ada yang tercengang mendengar ayat sinis itu. Ada juga yang tersenyum sumbing memandang rakan-rakan. Tidak kurang juga yang buat tidak kisah. 
         
         "Kamu tahu kenapa cikgu kata perokok ni bodoh?" Saya tanya kembali mereka.
         
          Semua diam, kalau ada pun yang bercakap antara dengar dengan tidak sahaja. 
         
          "Siapa tahu, mengapa cikgu kata perokok ni bodoh?"
      
      Kedengaran beberapa suara memberi pendapat. Antaranya adalah ia menghabiskan wang. Merokok membahayakan kesihatan dan seumpamanya. Memang itulah jawapannya. Memang itu juga yang saya inginkan. 

           " Apa yang kamu sebutkan tadi tu betul, Memang tepat dan tidak boleh dipertikaikan. Malah, Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1995 dah fatwakan bahawa merokok ini haram." Saya memberi hujah. Mereka berminat untuk mendengarnya. 

            "Manusia ini diberi akal untuk berfikir. Tapi perokok merosakkan akal mereka dengan memasukkan asap beracun ke dalam paru-paru."

Pelbagai hujah saya senaraikan dan ada juga sumbang saran daripada pelajar yang dijadikan isi karangan untuk tajuk pada hari tersebut, sempena Hari Tanpa Tembakau. Tetapi, merokok adalah satu tabiat buruk yang sukar dibuang. Cukuplah sekadar tidak merokok di sekolah. Itu pun satu kejayaan kepada kami untuk memberi teladan yang baik kepada pelajar. 





Monday, May 2, 2016

Hari Terakhir Ustazah Nafizah Rejab

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian ini. Kisah ini adalah detik akhir seorang guru yang juga saya anggap seseorang kakak. 

Ustazah Nafizah Rejab, atau lebih dikenali sebagai Kak Fizah, seorang guru pendidikan Islam yang tinggi lampai, dan kulitnya kuning langsat. Seorang guru yang baik budi dan amat mengambil berat keadaan pelajar. Hasil perkongsian hidup dengan suaminya ustaz Roslin Om, pegawai agama daerah Manjung, mereka dikurniakan 4 orang cahaya mata.
Saat bahagia Kak Fizah bersama keluarganya

       Pada 7 April 2016, dia menghantar mesej cuti sakit. Sebagai pentadbir, saya perlu sediakan jadual ganti untuknya supaya kelas yang ditinggalkan tidak terbiar. Minggu berikutnya, pada 12 April, dia terpaksa cuti sakit lagi. untuk dapatkan kepastian tempoh cutinya, saya bertanya kepadanya. Alangkah terkejutnya saya mendapat jawapannya. Dia masih dirawat di KPJ Manjung, dan doktor tidak dapat mengesan punca platelet dan darah putihnya 0. 
Mesej terakhir bersamanya

        Ada rakan yang menziarahinya di wad dan perkhabaran yang kami terima, keadaannya lemah tetapi stabil. Dia mengambil keputusan pulang ke rumah selepas tidak setuju cadangan doktor mengambil sampel air tulang belakang. Rawatan alternatif seperti perubatan Islam diambil sebagai susulan. Selepas sambutan Hari Anugerah 2016 pada Sabtu 16 April, ramai rakan-rakan guru wanita yang menziarahinya, kerana lokasi rumah Kak Fizah hanya berdekatan sekolah. Pada pagi 19 April, kami dimaklumkan Kak Fizah dibawa ke hospital Seri Manjung dalam keadaan tidak  sedarkan diri. Badannya terlalu lemah. Pengetua dan beberapa orang guru turut melawatnya pada waktu tengah hari. Saya berkesempatan menziarahinya pada petang tersebut. 

       Melihat keadaannya yang tidak sedarkan diri di wad 9, HSM, kami yang menziarahinya dipagut rasa pilu. Matanya tertutup rapat, dengan saluran pernafasan berselirat di mulutnya. Ada darah kering di mulutnya. Ramai yang membacakan surah Yaasin sebagai pemberi semangat dan kekuatan kepadanya. Dalam keadaan itu, saya lihat suaminya ustaz Roslin Om, begitu tenang dan pasrah. Ketika saya memeluknya, saya pula yang berasa kepiluan yang tidak tertahan, sedangkan dia tampak bersedia dengan apa jua kemungkinan. 
       
        "Saya cuba usahakan anak sulung yang berada di Peranchis dapat pulang. Doktor kata kena sedia apa juga kemungkinan malam ini," bisiknya dengan suara perlahan. 

      Anak sulungnya, masih di Eropah untuk program pertukaran pelajar. Saya tak dapat bayangkan bagaimana perasaannya mendapat berita ibunya nazak. Tiga lagi anaknya sudah berada di sisi keluarga, sementara sanak saudara terdekat sudah pun dimaklumkan dan datang menziarahinya. 

         Menjelang maghrib, saya pulang ke rumah. Jauh di sudut hati, saya memujuk hati bahawa keajaiban kuasa Allah mengatasi segalanya. Keadaannya tidak memberikan sebarang harapan, dan itulah hakikatnya. Saya hanya berdoa agar Allah permudahkan segala urusan Kak Fizah. 

Jam 10.35 malam, saya mendapat panggilan daripada kaunselor, Nor Zahariah bt Abdul, yang juga adik sepupu saya dalam esak tangis yang terputus-putus.

"Kak Fizah dah tak ada.... Jam 10.22 malam tadi," Katanya sambil memaklumkan berita itu sahih daripada ustaz Roslin sendiri. 

Saya menerima berita itu dengan rasa sedih, tetapi kehidupan perlu diteruskan. Esoknya, kami membaca Yaasin di tapak perhimpunan dan memberikan peluang semua pelajar sesi pagi menziarahi jenazahnya buat kali terakhir. 

Allah juga yang kekal. Kematian pasti datang menjemput kita. Hanya masa yang menentukannya. Moga Allah mengampuni Kak Fizah, dan ditempatkan rohnya bersama orang yang beriman dan para solehin, Amin.

Allah menyayangi Ustazah Nafizah. 




Wednesday, April 27, 2016

KEMBALI MENYERTAI JMFR 2016

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Akhir tahun  2015, saya dan anak lelaki saya, Afif membuat keputusan untuk menyertai JanaManjung Fun Ride (JFMR). Daripada promo JMFR di media sosial,   jaraknya 130 km, meliputi laluan yang bermula di Teluk Rubiah dan merentasi Air  Tawar, pekan Parit di Perak Tengah ke Beruas dan balik ke Manjung.   Sudah  tentulah jarak tersebut mencabar fizikal dan mental peserta. Kami membuat  persediaan sekadar yang mampu. Latihan berkayuh hanya sekitar  Lekir dalam jarak 20  km.

Pada   tarikh keramat 24 April 2016, kami bergerak ke Teuk Rubiah selepas solat subuh. Sejak petang kelmarin, jentera GIANT dan  EXITWAY sudah diservis sebaiknya. Walaupun suasana masih gelap, kawasan permulaan sudah dibanjiri para peserta JMFR  yang datang dari jauh dan dekat. Kami nekad untuk  menamatkan kayuhan ini tanpa perlu menaiki lori.

kami di  tapak permulaan JMFR 2016
Berjumpa Adhwa,bekas pelajar saya yang menjadi marshal ronda
 
Bersama rakan-rakan dari MCT yang kuat semangat
Akhirnya berjaya tamatkan kayuhan 136km
Alhamdulillah, akhirnya  kami berjaya juga tamatkan kayuhan.  Saya tiba 1.45 petang, lewat 25 minit daripada Afif  Wajdiy yang  tiba lebih awal. Kami puas  hati dengan penganjuran yang dibuat oleh TNB JanaManjung. Ada 3 'Water Station'dengan polis trafik yang membantu melancarkan kayuhan peloton.
Bersama jentera kami  yang setia sepanjang 136 km

TAHNIAH, JUMPA LAGI TAHUN  HADAPAN! INSYA-ALLAH

Friday, March 4, 2016

Cik Embun dan SPM 2015

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Program  Sekolah Penandaarasan yang perlu diikuti bagi melengkapkan kursus NPQEL saya lalui selama dua minggu bermula 22 hb Februari hingga 4 hb Mac 2016. Dalam tempoh tersebut, saya perlu berada di SMK Batu Sepuluh, Lekir dan menyiapkan laporan yang berkaitan. Pada minggu terakhir, saya berasa tekanan yang tinggi, terutama apabila laporan penandaarasan perlu disiapkan ikut jadual. 
Pada Khamis 3 hb Mac, ia bukan sahaja hari kelahiran ke 48 kekanda saya, Nor Azaliah bt Ali Hassan, malah ia hari mendebarkan terutama kepada puteri sulung, saya, Qatrunnada atau panggilan manjanya Kakyong. Qatrunnada bermaksud 'titisan embun', lahir 18 tahun lalu. Kini, dia sudah semakin dewasa, dan keputusan SPM 2015 yang bakal diumumkan, tentulah menyebabkan dia berasa resah, bimbang dan penuh debaran. Kakyong seorang daripada 488,000 orang calon SPM yang akan mengambil keputusannya di SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Selama dua tahun menimba ilmu di sana, sebagai anak sulung tentulah harapan ibu bapa amat tinggi kepadanya. 
Kami bertolak dari rumah kira-kira 8.45 pagi dan melalui jalan Seberang Perak-Kg. Gajah-Gopeng-Ipoh untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. Jika melalui Sitiawan- Air Tawar-Seri Iskandar, saya bakal menempuh 38 buah lampu isyarat. Saya juga yakin perjalanan ikut laluan Kg. Gajah lebih lengang dan tidak sibuk. Alhamdulillah, perjalanan kami lancar dan tiba kira-kira pukul 10.15 pagi. Keputusan SPM pun belum diumumkan sementara para guru sibuk membuat persiapan untuk majlis penyerahan slip SPM. Dia bertemu dab berbual mesra dengan rakan sekolahnya, sementara saya duduk termangu di kerusi yang disediakan.
Dalam keadaan yang masih belum ramai tetamu, saya ternampak susuk tubuh ustaz Rusmizi, seorang rakan peserta NPQEL daripada kumpulan saya. Rupanya ustaz Rusmizi membuat penandaarasan di SMKRPB. Dia mengajak saya sarapan dahulu sementara menunggu keputusan diedarkan. Kami juga banyak berbincang hal berkaitan laporan penandaarasan. Secara umumnya, ustaz Rusmizi sudah hampir menyiapkan tugasan, manakala saya masih terkial-kial mencari momentum untuk menyiapkannya. 
Selepas makan, saya kembali ke dewan, dan kakyong mengajak saya menemaninya mengambil keputusan SPM daripada guru kelas 5MIU. Alhamdulillah, akhirnya dia telah menerima keputusan yang dinantikannya. Keputusan tersebut juga lebih baik daripada keputusan Percubaan SPM 2015. Mendapat 7A2B, satu keputusan yang amat baik untuk Kakyong meneruskan peluang belajar ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang yang dia inginkan. 
Alhamdulillah, syukur padaMu, yang memberikan keputusan ini. Saya hubungi isteri dan biarkan kakyong berbual dengan ibunya sebentar. Keadaan agak emosi tetapi jelas dia gembira dengan apa yang dia dapat.Ada juga rakannya yang tidak mendapat keputusan yang lebih baik daripada percubaan SPM. Inilah ketentuan Allah, dan saya percaya ayat Allah yang bermaksud, 'kamu (kita) merancang, Allah juga merancang, dan Allah sebaik-baik perancang..'

Semoga keputusan ini memberi inspirasi kepada adik beradik lain untuk berjaya seperti kakaknya.



Tuesday, February 23, 2016

PENANDAARASAN DI SEKOLAH LAMA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Mengikuti program NPQEL banyak memberi peluang kepada saya menuntut ilmu pengurusan. Saya diletakkan dalam kumpulan SMG3, satu kumpulan yang turut disertai oleh En. Saad (Timbalan PPD Manjung), En. Khairi (Timbalan PPD Kuala Terengganu), Pn. Hamidah (Timbalan PPD Hulu Selangor), Penolong Kanan seperti Pn. Sabariah, Pn. Kasmiyati, Pn. Zalina, Pn. Noriha, Pn. Jee, En. Muhammad, En. Abdul Halim dan ramai lagi. Peluang berinteraksi dengan rakan daripada pelbagai tempat dan jawatan memberi banyak manfaat terutama dalam membentuk personaliti sebagai pentadbir. 

Selepas 4 minggu berkuliah di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, kami perlu menjalani program penandaarasan di sebuah sekolah daerah masing-masing. Memikirkan keperluan logistik dan kemudahan untuk berurusan, saya memilih SMK Batu Sepuluh, Lekir sebagai sekolah penandaarasan. 

Bermula 22 hb Februari hingga 4 hb Mac 2016, saya kembali ke  SMKBS untuk menimba ilmu pengurusan secara praktikal. Tempoh dua minggu memanglah tidak lama, tetapi ia mampu memberi asas kepada saya memahami teori dan ilmu yang dipelajari dalam kuliah. 

Dalam tempoh tersebut, saya perlu menyiapkan log kehadiran, log harian, log kepimpinan dan laporan penandaarasan yang ditetapkan. Ia agak mencabar, tetapi jika orang lain boleh, mengapa tidak saya? 

Moga Allah permudahkan segala urusan ini.

Semut adalah musuh anai-anai

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Semut dan anai anai adalah serangga ...