Saturday, June 20, 2009

Hakikat Kebenaran Yang Patut Difikirkan..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

1. ALAM PERCINTAAN HANYA ILUSI?

Ketika bertemu dengan buah hatinya, seorang wanita menegur pakaian kekasihnya.
“Alahai bang. Saya tak sukalah abang pakai baju merah ini. Abang kan tahu yang saya tak suka warna merah macam ini?”, kata wanita itu kepada kekasihnya.

“Oklah sayang, abang bakar baju ini!”, jawab lelaki itu tanpa ragu-ragu. Bukan sahaja baju itu diketepikan, malah sanggup dibakarnya.

Mudahnya membuat keputusan sebegitu. Mengapa keadaannya begitu?

Mudah sahaja, kerana adanya cinta, hati sentiasa suka disuruh. Suka diperhambakan. Malah lautan api pun sanggup direnangi. Dengan cinta sebegitu, apa pun sanggup dilalui. Malah, kentut si dia pun wangi. Apa juga perbuatannya ketika dalam percintaan, adalah baik belaka. Semuanya nampak elok, benar dan tulus.

Mungkin kerana itu ramai yang sanggup merenangi kemurkaan Allah berupa api neraka, kerana cinta yang buta lagi membutakan. Ya, berilah kasih dan cinta, nescaya apa sahaja kehendak dan kemahuan, akan menjadi perjuangan kekasihnya. Itulah kuasa cinta.

"Pucuk pauh delima batu, anak sembilang di tapak tangan; Biarpun jauh beribu batu, hilang di mata, di hati jangan."

"Nasi lemak buah bidara, sayang selasih saya lurutkan; Buang emak buang saudara, kerana kasih, saya turutkan."

Dua rangkap pantun tersebut sudah cukup menggambarkan betapa 'hebat'nya kuasa cinta. Manusia yang berada dalam alam ini, mudah lupa siapa dirinya. Perkenalan dengan jejaka yang baru 2 bulan dikenali, menyebabkan si gadis lupa kepada ayah dan ibunya yang menatangnya selama 18 tahun. Hebat benar kuasa cinta.

Bagaimanapun, apabila diijabkabulkan, barulah terserlah kelemahan dan kekurangan pasangan. Kepanasan hubungan intim semasa era percintaan sebelum akad tidak diteruskan, dan inilah yang menghantui segelintir pasangan dalam rumah tangga hari ini.

2. KELAHIRAN GENERASI SUNYI.

Kita terperangkap dalam suatu kehidupan yang meragut kita daripada duduk di rumah dengan pasangan dan anak masing-masing. Kita banyak berada di luar, bekerja sampai petang, kadangkala sampai malam. Hanya isteri yang mengurus hal anak, manakala si suami pulang apabila isi rumah diulit mimpi. Ketika mereka masih di kamar, suami bangun lalu bersiap untuk bekerja seperti rutinnya. Cari rezeki untuk dibawa pulang buat orang yang tersayang.

Akibat itu, banyak perkara yang selama ini sangat sinonim dengan ibu dan bapa, terpaksa dipindahkan kepada pihak ketiga. Selalunya, anak-anak ada masakan ibu yang menjadi favourite mereka. Tetapi anak-anak membesar dengan makanan yang dimasak oleh pembantu rumah. Hujung minggu, makan di luar pula. Hubungan suami isteri pula menjadi semakin mahal, malah untuk berintiman pun, boleh dikira jumlahnya.

Bermain-main dengan ayah di waktu petang, memimpin tangan anak-anak memanjat papan gelungsur, adalah imaginasi kita terhadap sebuah keluarga yang ‘normal’. Tetapi hari ini, tangan itu bukan lagi tangan bapa. Ia tangan pembantu rumah, cikgu TASKA, atau bagi yang sudah sedikit remaja, tangan rakan-rakan sebaya.

Imej ayah dan ibu hari ini, adalah dua manusia yang sering tiba di rumah kepenatan, mudah marah dan hanya mampu bertanya khabar dengan acuh dan tidak acuh sahaja perihal anak-anak mereka.

Corak kehidupan seperti ini sudah menjadi kebiasaan. Namun kebiasaan ini sedang memberanakkan satu generasi yang songsang. Generasi itu adalah generasi yang KESUNYIAN.

Kesunyian tidak mendapat kasih sayang ibu bapa, tidak sama dengan kekecewaan anak tidak mendapat patung robot Transformers idamannya. Robot yang diidamkan itu, mudah dilupakan selepas beberapa ketika. Namun kehilangan kasih dan sayang adalah seperti dahaga yang tidak bertemu minum, lapar yang tidak bertemu makan. Fitrah mereka kosong, seperti tanah subur yang terbiar.

Jiwa anak-anak generasi ini mesti dibajak, ditabur dengan benih iman, dan dijaga segala keperluannya. Barulah hasilnya jadi seperti yang sepatutnya. Tanpa itu semua, tanah yang subur akan menumbuhkan lalang dan rumput yang penuh duri.

Jiwa generasi hari ini, adalah jiwa sunyi yang akhirnya akan mencari rakan sebaya untuk menagih perhatian. Akhirnya keupayaan anak-anak untuk mengasihi, berpindah kepada rakan sebaya yang mungkin tidak sebetah sepatutnya, lalu membinasakan mereka dengan dadah, dan segala gejala sosial yang tiada noktahnya.

Walaupun dadah, arak dan seks itu merunsingkan kita, ia bukanlah masalah sebenar. Ia adalah bahasa generasi itu yang mahu memperkatakan sesuatu. Mereka mahu memberitahu kita, bahawa mereka dilahirkan sebagai anak yang perlukan kasih sayang.

Mengajar ABC atau Alif Ba dan Ta, mungkin boleh di’swasta’kan kepada guru. Soal memakaikan lampin dan memandikan anak-anak, mungkin boleh ditugaskan kepada 'bibik'.

Tetapi soal kasih dan sayang, perhatian dan belaian, dari ibu malah bapa, tidak mungkin boleh diganti. Kasih seorang ibu atau bapa itulah yang ditagih oleh anak-anak sebenarnya.

Ibu bapa sering kehairanan, mengapa anak mereka degil dan enggan patuh. Makin bertambah umur, makan berani anak-anak ini mengabaikan do’s and don’ts yang telah digarisi.

Kita barangkali terlupa, bahawa KEPATUHAN adalah buah KASIH SAYANG.

Disesuaikan daripada emel adikku, Ika.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...