Thursday, July 22, 2010

PERPADUAN PERLU DIPERKASAKAN

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama. Setiap individu memainkan peranan agar perpaduan antara kaum dapat dipupuk secara mapan. Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi titik tolak ke arah pembinaan perpaduan kaum yang lebih kukuh seiring dengan kemajuan negara. Melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB), kerajaan berjaya merapatkan jurang perbezaan masyarakat luar bandar dan bandar, khususnya dalam kegiatan berorientasikan ekonomi.
Beberapa tindakan perlu dilaksanakan dalam usaha memupuk persefahaman rakyat pelbagai keturunan agar lebih memahami aspirasi negara. Kerajaan telah mewujudkan Program Latihan Khidmat Negara atau PLKN bermula pada tahun 2003, yang antara lain bertujuan membentuk jati diri remaja yang berwibawa dan terampil. Melalui program ini, khidmat masyarakat, malam kebudayaan dan aktiviti berkumpulan akan memupuk perpaduan, di samping mengeratkan hubungan remaja yang menyertai kem ini. Malam kebudayaan misalnya, dapat member ruang kepada peserta memahami keunikan budaya kaum lain.
Selain itu, sambutan rumah terbuka pada musim perayaan juga dapat mewujudkan suasana harmoni dan muhibah antara ahli masyarakat. Malah, rakyat dapat meraikan bersama perayaan seperti Hari Raya. Tahun Baru Cina dan Deepavali tanpa prasangka atau prejudis terhadap kaum yang berbeza budaya. Ini sekaligus mengukuhkan ikatan hidup berjiran antara satu sama lain.
Antara faktor lain yang boleh diberi penekanan ialah aktiviti sukan. Kewujudan sukan seperti Liga Malaysia untuk sukan bola sepak, hoki dan bola keranjang dapat merapatkan jurang antara kaum. Sukan tidak seharusnya menjadi milik kaum tertentu. Contohnya, bola sepak dan sepak takraw sering dikaitkan dengan masyarakat Melayu, manakala remaja Cina lebih berminat dengan sukan bola tampar dan bola keranjang. Tembok perbezaan ini harus diruntuhkan supaya penglibatan masyarakat dalam bidang sukan tidak dikelaskan mengikut entiti kaum semata-mata. Natijahnya, kita harus bekerjasama menaikkan nama negara dalam bidang sukan seperti kata pepatah,”sepakat membawa berkat”. Dengan kata lain, sukan mampu menjadi medium untuk merapatkan hubungan rakyat pelbagai keturunan dan budaya.
Kerjasama masyarakat juga boleh dipupuk melalui aktiviti kejiranan seperti bergotong royong atau ‘berderau’. Masyarakat Malaysia terkenal dengan sifat peramah dan mudah membantu. Ini dapat menjadi kunci dalam memupuk semangat kejiranan sama ada di bandar mahupun luar bandar. Kita haruslah membantu mereka yang memerlukan pertolongan, tidak kira warna kulit dan keturunan kerana hakikatnya kita adalah rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, setiap ahli masyarakat perlu bersatu padu untuk memastikan kedaulatan negara terpelihara.
Konklusinya, setiap individu memainkan peranan yang penting dalam menjayakan hasrat dan gagasan 1Malaysia, seperti yang dicanangkan oleh Perdana Menteri. Melalui perpaduan yang kukuh, kita akan dapat membina negara bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang bak kata pepatah, “perpaduan asas kejayaan.”

2 comments:

  1. salam ukhwah.. blog hopping.. ada masa, jemput ziarah blog hamba jika berminat nak baca TRAVELOGUES IN 45 COUNTRIES.. :)

    ReplyDelete
  2. wah, blog dah cantek :)

    sy sokong bab sukan, dan perhaps kebudayaan boleh jadi jambatan juga :)

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan