Monday, September 2, 2013

Kenaikan Harga Minyak: Mengulangi Kesilapan Paklah? (UPDATE)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

gambar hiasan: Stesen minyak Petronas, kebanggan negara.
Ketika coretan ini saya titipkan, perbincangan di laman sosial (lebih tepatnya luahan rasa geram dan marah) sedang rancak dengan pelbagai pandangan pro dan kontra. Kenaikan harga minyak petrol yang merupakan bahan api penting di negara ini, sudah sahih apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak  mengumumkannya dalam berita di media elektronik pukul 8 malam. Harga minyak dinaikkan dari RM1.90 sen kepada RM2.10 sen seliter mulai 12 tengah malam.

Sepanjang malam ini, stesen minyak sibuk dengan jumlah kenderaan luar biasa yang niatnya sama; mengisi tangki sepenuh mungkin sebelum 12 malam. Bagi saya, jika keputusan menaikkan harga minyak sudah dibuat, lambat laun kita terpaksa juga membeli minyak dengan harga baharu. Kenaikan 20 sen seliter tidaklah dapat membeli jumlah minyak dengan kuantiti yang sama pada harga RM1.90 seliter. Ringkasnya, dengan harga RM50, saya masih boleh membeli minyak tetapi jumlahnya sedikit berbanding harga sebelumnya.

Saya masih ingat, pada Februari tahun 2006, dua tahun sebelum PRU12, Perdana Menteri Datuk Seri (Tun) Abdullah Ahmad Badawi membuat pengumuman kenaikan harga minyak kepada RM1.92 sen daripada RM1.62 sen. Selepas itu, pada Jun 2008, ia dinaikkan lagi sebanyak 78 sen kepada RM2.70/liter. Ketika itu saya sekeluarga bercuti di Langkawi. Respons masyarakat kelihatan sukar menerima, malahan rata-rata merungut dengan kenaikan harga yang tinggi. Saya sendiri berasakan kenaikan itu agak tinggi dan membebankan rakyat biasa seperti saya.

Pelbagai pihak memberi pandangan termasuk FOMCA tetapi kerajaan tetap bertegas menyatakan harga minyak perlu dinaikkan kerana ketika itu harga minyak global memang naik akibat krisis di Timur Tengah dan kekurangan bekalan bahan api. 

Rakyat menerima kenaikan tersebut dalam perasaan yang berbelah bahagi. Tidak seperti masyarakat negara luar seperti Indonesia yang menunjukkan bantahan secara terbuka, masyarakat kita sudah diajar bersopan dan menerima keputusan itu.

Natijahnya, pada PRU12, kerajaan BN pimpinan Paklah hilang kuasa majoriti 2/3. BN hilang kuasa di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, manakala gagal mengambil semula Kelantan dari tangan PAS.Satu daripada isu yang dimainkan oleh pembangkang adalah kenaikan harga minyak yang dianggap satu tindakan kerajaan yang kurang bijak

Umum mengetahui minyak adalah sumber asas untuk bahan api yang menjadi penentu Indeks Harga Pengguna (IHP). Ini kerana minyak digunakan untuk menggerakkan kenderaan. Sudah tentulah kenaikannya memberi tekanan kepada kos pengangkutan. Kos pengangkutan barangan pasti menyebabkan kenaikan harga keperluan harian termasuklah sayur, daging, ikan dan seumpamanya. Ini sekaligus menaikkan harga makanan dan keperluan lain. Kesan berantai ini tidak terhenti setakat itu, malah boleh menjerumuskan negara dalam suasana tidak stabil apabila rakyat berasakan pemerintah tidak memegang pada janji sebelum PRU.

Secara langsung, kenaikan harga minyak memberi kesan besar kepada pendapatan isi rumah. Pada waktu pendapatan wang kekal dan malar pada kedudukan yang sama, pendapatan benar terutama rakyat berpendapatan rendah semakin mengurang. Akhirnya rakyat miskin akan kekal berada di paras kemiskinan, manakala golongan marhaen semakin terhimpit dek desakan ekonomi yang bersifat kapitalisme.

Pada zaman Dr. Mahathir Mohamad, beliau membuat keputusan kenaikan harga minyak pada kadar tidak melebihi 10 sen. Tujuannya bagi mengelakkan rakyat terbeban dengan kenaikan harga minyak tersebut. Kerajaan pimpinannya cuba menyerap sebanyak mungkin bebanan yang ditanggung oleh rakyat melalui subsidi dan pengurangan cukai. 

Pengumuman DS Najib malam ini, pada hemat saya mengulang skrip 2006. Najib, PM yang sah dilantik selepas PRU13, dilihat kurang memahami aspirasi akar umbi di bawah sana. Jika tiada satu usaha prolifik dilakukan untuk mengurangkan tekanan rakyat berdepan kenaikan harga minyak ini, ia pasti menjejaskan sokongan rakyat kepada beliau pada PRU akan datang.Rakyat sedang menunggu apakah tindakan beliau dalam mengurangkan tekanan inflasi dan masalah ekonomi berhubung kenaikan 20 sen ini.

Persoalannya, berapa ramai Menteri yang sanggup membayar harga minyak daripada duit poket sendiri, dan sejauh mana ahli politik turut merasai keperitan bersama rakyat marhaen?

Usaha mengekang kenaikan harga barang dilihat agak retorik, biarpun ada Akta Anti Pencatutan. Ini kerana para peniaga akan mengambil kesempatan menaikkan harga barang dengan alasan kenaikan harga minyak. Akhirnya, rakyat juga menanggung padahnya.

Apa yang dicanang oleh pembangkang tampak benar, biarpun saya tidak bersetuju dengan dakwaan mereka. Kononnya kerajaan bertindak tidak serupa bikin.

Tidak mustahil, Najib akan mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri terakhir Barisan Nasional. Pujian harus diberikan kepada Tun Dr Mahathir yang masih saya anggap sebagai Perdana Menteri terbaik setakat ini.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...