Wednesday, September 18, 2013

Pelbagai Jenis Gaya Bahasa Kita (siri 2)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
(sambungan daripada siri 1)

c       Gaya Bahasa Penegasan
Gaya bahasa penegasan merupakan satu gaya yang cuba memberi penegasan atau penekanan kepada sesuatu yang hendak disampaikan. Gaya bahasa ini terbahagi kepada beberapa jenis seperti berikut:

c.1   Pleonasma:
Merupakan satu gaya yang cuba memberi penegasan kepada kata-kata sebelumnya dengan berasaskan kepada sifat-sifat kata itu sendiri, meskipun kata-kata tersebut tidak perlu diulang sebut lagi. Gaya ini juga disebut sebagai gaya bahasa berlebihan. Misalnya:
a. “ Ia turun ke bawah” (dalam ayat ini, perkataan turun sudah menggambarkan ke bawah. Takkanlah turun ke atas. Di sinilah yang dapat dilihat bahawa perkataan turun itulah yang hendak ditegaskan, iaitu turun ke bawah), 
b. “ Pak Mat sudah naik ke atas”.
            c.2   Repitisi:
Iaitu mengulang sepatah perkataan beberapa kali dalam satu-satu ayat. 
Contohnya: 
a. “selama nafas masih ada, selama nadi masih berdenyut, selama darah masih mengalir, selama itulah aku terus berjuang”, 

b. “apa yang diharapkan, apa yang diimpikan, apa yang dicita-citakan oleh ayahnya ialah kebahagiaan anaknya di hari depan”, 

c. “saat  yang paling romantis, saat yang tak dapat dilupakan dan saat dikejar seribu ranjau-ranjau, ialah ketika atau saat dilamun cinta”.

c.3 Paralelisma:
Pengulangan sesetengah perkataan beberapa kali pada tempat yang sama. Sekiranya pengulangan dibuat di awal kalimat, disebut sebagai anafora, dan sekiranya di sebut di akhir kalimat dikenal sebagi epifora. Contohnya seperti berikut:

(i)            Anafora                                                        
apatah kekal                                                                        
apatah tetap                                                     
apatah tidak                                                 

(ii)          Epifora                                  
Ia datang
Selalu datang
Tidak datang

c.4   Tautologi:
Mengulang secara berturut-turut satu-satu perkataan dalam kalimat, sedangkan pengulangannya tidak perlu, kerana sudah jelas maknanya dengan satu perkataan sahaja. Mislanya, 
a. “Ia datang, datang dari serata ceruk ceruk rantau, datang dari serata daerah dan datang dari pelbagai ragam latar belakang hidup”.
b. "Miskin sungguh dia. Miskin harta, miskin maruah, miskin anak, miskin ilmu.

c.5   Klimaks/Bahasa Naik:
Satu gaya yang cuba menerangkan atau mengemukakan sesuatu benda atau perkara secara berturut-turut dengan cara kronologi. Misalnya: 
a. “Sejak dari kecil, besar, dewasa, sampailah ke tuanya, dia tidak pernah merasai kesenangan
b. “Upacara yang membazir itu berlangsung dari pagi, petang hinggalah ke malam, masih tak habis-habis”.

c.6   Anti Klimaks/ Bahasa Turun:
Iaitu satu gaya bahasa yang berlawanan dengan gaya klimaks, kerana penerangannya  bermula dari yang tinggi kepada yang rendah, dari yang besar kepada yang kecil. Misalnya: 
a. “Dalam majlis persandingan Diraja tersebut, Perdana Menteri, Menteri-Menteri,
Timbalan Menteri, Exco-Exco, Wakil-Wakil Rakyat, Penghulu, Ketua-Ketua Kampung, dan rakyat jelata turut hadir sama”. 
b. “Kebiasaan itu telah diamalkan sejak dari turun temurun lagi, dari datuk, nenek, bapa, anak hinggalah ke cucu cicit ciatnya” dan seumpamanya.
c.7   Inversi/Songsang:
Ia merupakan gaya bahasa pembalikan penyusunan kata dalam satu-satu kalimat. Bahagian yang penting (predikat) mendahului cerita. Dalam istilah lama (istilah Zaaba), ia dikenali sebagai “ayat kena buat” atau ayat pasif. Misalnya:
a. “Air itu saya minum”, 
b. “Buku tadi dibeli oleh ibuku”, 
c. "Bergerak laju bas itu".

c.8   Ellipsi:
Satu gaya yang menghilangkan sebahagian dari kalimat, sama ada kalimat utama ataupun sebutannya. Contohnya: 
a. “Pokok itu dibunuh” (ini bermaksud: pokok-pokok yang tak berguna itu telah dibunuh dengan racun), 
b. “Habis dimakannya” (bermaksud: nasi yang terhidang di atas meja itu habis semua sekali dimakan olehnya).

c.9   Retorik:
Ialah gaya bahasa berupa pertanyaan yang tidak memerlukan jawapan, kerana di dalam pertanyaan itu sendiri secara tidak langsung, sudah ada jawapannya. Misalnya:
a. “Miskinkah dia dengan rumah besar dan harta benda yang banyak?”, 
b. “Laparkah mereka dengan jawatan dan kedudukan yang diberi?”,
c. “Penakutlah dia berdepan dengan musuh yang sedikit itu?.

c.10 Koreksio:
Iaitu satu gaya bahasa yang pada mulanya tersalah sebut atau sengaja disebut kurang tepat dan tidak betul, lalu dalam masa juga ianya tidak betul, lalu dalam masa yang sama juga ianya diperbetulkan. Contohnya: 
a. “Kerajaan zalim, oh maaf, sebenarnya kerajaan adil”, 
b. “Dalam kelam kabut itu, dia terkena kemalangan, maksud saya, ia terkena jerangkap samar dan cedera parah”.
c.11 Asindenton
Merupakan kata-kata dalam ayat atau ayat-ayat yang sepatutnya menggunakan kata-kata penyambung, tetapi tidak atau sengaja tidak digunakan, sebagai satu cara dan menjimatkan penggunaan kata. Misalnya: 
a. “Di dalam bilik itu terdapat meja, kerusi, almari dan bangku yang rosak”, 
b. “Kereta, bas, motosikal, lori, van dan ambulans telah memiruk-pikukkan lagi suasana di jalan yang sesak itu”.

c.12 Polisindeton:
Merupakan gaya bahasa lama, iaitu penggunaan perkataan-perkataan yang kadangkala tidak memberi erti yang tepat, seperti perkataan maka, alkian, alkisah, adapun, shahdan dan lain-lain lagi. Ayat-ayatnya pula, jika sepatutnya ada menggunakan kata-kata penyambung, akan digunakan sepenuhnya (Ini adalah berlawanan dengan asindenton). Contohnya: 
a. “Sungguhpun Terengganu itu daripada bahagian atau jumlah negeri yang terlebih muda sekali termasuk ke bawah naungan negeri yang terlebih muda sekali  termasuk ke bawah naungan Kerajaan Ingeris, tetapi adalah harapan kita pada masa kini jika kita tidak mengambil penngenalan dan pengetahuan daripada gerak-geri orang-orang besarnya yang bersungguh-sungguh menjaga dan memelihara pintu-pintu bahagia dan anak-anak jenisnya sendiri, dan berikhtiar bagi menutup lubang kecil dan besarnya, dan berdahulu-huluan tiap-tiap daripada mereka itu memasukkan dan menambahkan kepada negerinya cohtoh tauladan yang baik-baik dari luar”.

c.13 Interupsi:
Merupakan gaya bahasa yang menggunakan kata atau sebahagian kalimat yang disisip, ditambah sesudah kalimat asal (pokok) dengan tujuan untuk menjelaskan erti asal atau pokok tadi dengan lebih luas lagi. Penjelasan itu dibuat dengan menggunakan tanda-tanda “koma”, “sengkang” atau pun “kurungan”. Misalnya, “nama pokok itu (iaitu pokok Melaka) telah dijadikan sebagai nama negeri Melaka”, “Ayahnya (yang bernama Daud, iaitu adik kepada emak saudaranya) telah pergi ke seberang laut pada tahun lepas lagi) dan lain-lain lagi.
c.14  Eksklamasi:
Merupakan gaya bahasa yang memakai kata-kata seru, untuk menegaskan maksud ataupun untuk disesuaikan dengan nada erti yang dikatakan. Contohnya: “Aduh!pedihnya luka ini”. (tidak boleh dikata, aduh sedapnya makanan ini), “Wah!cantiknya baju awak” dan lain-lain lagi.

c.15   Enumerasia:
Iaitu satu corak gaya bahasa yang bersifat penghuraian sesuatu peristiwa yang sengaja dipisah-pisahkan. Ianya digambarkan satu persatu agar lebih hidup dan lebih nyata. Umpamanya: “Malam gelap. Langit tak berbintang. Lorong-lorong sudah sepi. Lampu jalan sudah dimatikan. Sayup-sayup kedengaran anjing menyalak”.

c.16 Praetorito:
Merupakan satu gaya yang seolah-olah atau seakan-akan pengarang mahu menyembunyikan sesuatu perkara yang dilukiskan, atau penulis membuat andaian bahawa apa yang hendak atau tak hendak diberitahu olehnya sudahpun diketahui oleh orang lain (orang ramai). Contohnya: “Siapakah orangnya, tak perlulah saya sebutkan, sebab saya rasa anda sendiri sudah pun mengetahuinya” dan lain-lain lagi.

d       Gaya Bahasa Pertentangan
Gaya bahasa pertentangan adalah merupakan satu gaya yang memperlihatkan kebertentangan erti atau makna dalam satu-satu ayat. Mahu bertentangan dengan tak mahu, ya bertentangan dengan tidak dan sebagainya. Gaya bahasa pertentangan ini terdiri dari beberapa jenis, iaitu:

d.1   Pradoks:
Ialah satu corak gaya yang mempertentangkan kata-kata atau erti dalam satu kalimat, misalnya, “Senyum dalam tangisan” (biasanya atatu sepatutnya orang yang senyum tak boleh menangis atau pun orang yang menangis tak boleh senyum), “Dia kaya, tetapi hidupnya melarat”, “Bangkai bernyawa”, “Marah dalam sayang”, “Benci tapi rindu”, “Tidur dalam jaga”, dan lain-lain lagi.

d.2   Antithese:
Merupakan gaya yang mempertentangkan paduan dua patah perkataan yang berlawanan ertinya, contohnya, “tua muda”, “kecil besar”, “kaya miskin”, “cantik hodoh”, “hitam putih”, “lelaki perempuan” dan lain-lain lagi.

d.3   Occupasi:
Ialah gaya bahasa yang mengandungi suatu bantahan, yang tak dipersetujui, tetapi dicuba membentangkannya juga sebagai untuk pengetahuan umum. Walaupun boleh jadi semua orang suda tahu. Ini ditimbulkan semata-mata untuk menimbulkan kepuasan. Contohnya: “Merokok membahayakan kesihatan. Amaran oleh Kerajaan Malaysia. Pun begitu ada orang yang tak boleh bekerja kalau tak merokok”, “Berjudi adalah haram tetapi ada orang yang terus berjudi sebagai salah satu dara untuk menjadi kaya dengan cepat” dan lain-lain lagi.

d.4   Kontradiksio:
Ialah satu gaya yang memperlihatkan pertentangan dengan apa yang sudah dikata atau ditegaskan terlebih dahulu. Misalnya, “Dia nampak alim tetapi sebenarnya jahil”, “Kamar itu sunyi sepi, hanya detikan jam yang berbunyi”, “Matanya pejam,tetapi masih kelihatan berkelip-kelip” dan lain-lain lagi.

Begitulah sedikit perkongsian untuk kita kongsikan bersama. Moga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...