Wednesday, December 30, 2015

Ceramah Santai Bekas Paderi Pengampun Dosa Di Masjid Rahmaniah Lekir

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya mendapat pesanan wassaps Haji Zakaria Sharif, pesara guru yang memaklumkan bahawa satu ceramah agama sempena Maulidulrasul, Selasa 29 hb Disember diadakan di masjid Rahmaniah Lekir. Pada hemat saya, ia satu kesempatan yang tidak patut dilepaskan lalu saya membawa bersama 4 orang anak lelaki selepas solat maghrib. Kami sampai ketika Ustaz Ahmad Junaidi, imam bertugas sedang menyampaikan kata aluan. 

Ceramah santai oleh Ustaz Ayub Abdul Rahman 63, yang dahulunya adalah seorang seorang pendeta atau Paderi Besar Kristian yang lebih dikenali sebagai Reverend Anthony Samy Perumal Viagulam. Berasal dari Pulau Pinang, beliau membesar dalam persekitaran masyarakat pelbagai kaum dan hidup berjiran dengan masyarakat Melayu-Islam semasa kecilnya. 

Sememangnya Anthony Samy sangat teruja untuk menjadi seorang paderi, dan taat kepada ajaran Kristian sejak zaman remajanya. Beliau pernah digelar 'Pope' oleh rakan sekolahnya kerana hampir setiap hari, dia akan singgah di sebuah gereja sebelum ke sekolah. 

Selepas tamat SPM, beliau nekad menyambung pengajian Kristianisasi di Jerman. Kewibawaannya diiktiraf apabila diberikan peluang berkhidmat di Gereja St. Augustine of Canterbury, Frankfurt selama hampir 10 tahun. Gereja tersebut atau lebih dikenali sebagai Englische Kirche (Gereja Inggeris) merupakan satu-satunya gereja di Jerman yang menggunakan medium Bahasa Inggeris yang beraliran Anglican Episcopal Church. Ia sering menjadi tumpuan penganut Kristian terutamanya dari Amerika Syarikat dan Britain serta lain-lain negara Eropah.

Anhony Samy menguasai kitab Injil dan mempelajari bahasa Latin sebagai syarat untuk pergi lebih jauh dalam misi menyebarkan Kritian. Dia amat mengetahui semua isi dan selok belok kitab Injil itu. Namun sehebat itu juga pengetahuan dan amalannya, hidayah Allah tidak dapat ditolak, akhirnya dilimpahkan dengan cahaya kebenaran untuk memeluk Islam.

“Saya telah mempunyai kehidupan yang begitu sempurna semasa menjadi paderi.Segala-galanya disediakan dan diberi percuma oleh pihak gereja. Daripada orang yang akan membasuhkan tandas kita sehinggalah pemandu dengan kereta Mercedes mewah untuk membawa saya ke mana sahaja. Beritahu sahaja ke mana destinasi, jika jaraknya jauh, saya akan diberikan tiket penerbangan kelas pertama ke hampir seluruh pelosok dunia."

"Jadi saya tidak ada masalah sepanjang berkhidmat untuk gereja kerana apa sahaja yang dihajati akan segera dipenuhi, malah saya diiktiraf sebagai Biecht-vader iaitu pengampun dosa penganut Kristian antarabangsa.

Sehinggalah pada suatu hari berdasarkan pembacaan kitab Bible, perasaan beliau tidak tenang apabila terkenangkan jiran-jiran Melayunya di Kampung Pelanduk Jatuh, Bukit Mertajam Pulau Pinang. 

“Mereka merupakan jiran yang sangat baik. Sehinggakan saya masih ingat walaupun mereka menjalani ibadat puasa Ramadhan, kami sekeluarga akan menerima juadah berbuka puasa mereka. “Mereka tidak akan berbuka selagi kami tidak menerima juadah tersebut walaupun kami bukannya beragama Islam. Ia memang satu situasi yang mengharukan. “Begitu juga apabila ada ahli keluarga saya sakit dan memerlukan rawatan segera ke hospital, jiran-jiran Melayu saya inilah yang akan bersusah payah menggunakan kenderaan mereka untuk membawa kami ke hospital dan mereka tidak pernah berkira. “Saya kira mereka merupakan jiran terbaik yang pernah saya jumpa” katanya dalam ceramah tersebut.

Apabila mengenangkan kebaikan jiran-jirannya itu dan ajaran Kristian, Anthony begitu terusik kerana kebaikan mereka itu akan berakhir dengan 'masuk ke neraka' kerana menurut ajaran Kristian, hanya mereka yang dibaptiskan sahaja boleh ke syurga..

Disebabkan memiliki kunci pintu gereja, maka pada suatu malam yang sunyi sepi, di hadapan altar Jesus, beliau bercakap dengan Tuhan dan ‘merayu’ supaya jiran-jirannya itu dikecualikan daripada memasuki neraka. Selepas itu beliau tertidur, dan ketika itulah beliau mendengar satu suara menyuruhnya memahami Islam supaya mudah berdakwah kepada jiran-jiran di kampungnya nanti. 

Sebaik terjaga daripada tidur, Anthony dipenuhi semangat yang meluap-luap untuk mengubah akidah umat Islam. Lantas beliau memohon kebenaran pihak gereja untuk mengkaji dan mendalami al-Quran yang bakal dijadikan senjata untuk melumpuh dan melemahkan umat Islam itu sendiri. Permintaan Anthony segera dipenuhi malah pada tahun 1973 beliau dihantar ke Millhill Missionary Institute di utara London bagi membolehkan paderi ini mempelajari Islam sebanyak mana yang beliau mahu.
“Pada mulanya untuk selama tiga bulan, tetapi saya lanjutkan sehingga enam bulan kerana telah direncanakan oleh tuhan, saya tidak menemui apa yang dicari kecuali jika terus mencari apa yang ditemui hanyalah keindahan Islam. Tiada kecacatan langsung mengenai Islam malah kalau ada 10 kitab al-Quran yang didatangkan dari mana-mana negara di hadapan saya. Baik sama ada dari Afrika, Asia malah dari Eropah sendiri, yang saya jumpa hanyalah ayat-ayat yang sama. Kata-kata Allah itu begitu terpelihara dan tidak berubah oleh sebarang tokok tambah dan pengurangan. Berbanding dengan Bible, ia telah diubah dan disesuaikan dengan kehendak gereja. Ini benar-benar mengejutkan saya sehingga saya menjadi lebih takut membandingkan kedua-dua agama ini," sambungnya.
.
Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Al- Imraan: 85)

Menurut Ayub, tidak mudah sebenarnya untuk beliau menerima Islam kerana dirinya sangat berpengetahuan dalam ajaran Injil itu sendiri sehinggakan banyak mengunjungi tempat suci orang Kristian di seluruh dunia. Peluang yang tidak diperolehi oleh penganut lain. “Ditambah dengan persekitaran hidup dalam biara dan sentiasa dipantau oleh pihak gereja sehinggalah oleh pihak Vatican di Itali, saya tak mungkin mudah untuk berubah kepercayaan,” katanya.

Dia berkawan dengan orang Islam dari Afrika Utara, dan mereka memberinya tafsir Al-Quran untuk dibandingkan dengan kitab Bible. Apa yang ditemuinya lebih mengejutkan. Jika Bible menyebut Nabi pilihan Allah, ia juga dinyatakan dalam Quran. Abraham, disebut Ibrahim, Nuh (Noah), dan tiada konsep triniti dalam AlQuran. Dalam Quran, kisah para Nabi yang diceritakan sesuai dengan konsep insan terbaik pilihan Allah, berbanding dalam Bible yang banyak menceritakan kisah Nabi dari sudut negatif. 
 
Kebenaran mula terungkap dan perubahan sikapnya dihidu oleh pihak gereja. Anthony Samy mula mempertikaikan konsep triniti, tetapi tidak mendapat jawapan yang diharapkan. Lebih buruk lagi, dia telah ditahan di hospital mental kerana dianggap tidak kompeten dan diresapi unsur jahat. Dia berjaya pulang ke tanah air setelah melalui pelbagai dugaan.
 
Tanggal 4 September 1978, beliau diIslamkan di bumi Sarawak dibantu oleh Ketua Menteri Sarawak pada masa itu, Tun Patinggi Abdul Rahman Yaacob dengan nama Ayub Abdul Rahman bin Abdullah.

Demi keselamatan dirinya yang mendapat ugutan, Ayub terpaksa menyembunyikan diri di Jeddah, Arab Saudi dan di Tanah Haram, Mekkah Al Mukarramah selama tiga tahun. “Tetapi begitu sekali kekuasaan Allah! Jika tidak kerana persembunyian ini tentulah saya tidak berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Saya benar-benar bersyukur kerana diberikan peluang yang sebegini hebat. “Bagai tidak percaya, baru sehari dua mengucapkan kalimah syahadah di tanah air tetapi Rumah Allah, Kaabah itu kini berada di hadapan mata dan saya tidak mampu menahan air mata yang mengalir. Seumur hidup tidak pernah menangisi diri tetapi saya benar-benar merasakan diri ini begitu kerdil dan hina berbanding nikmat iman yang diberikan oleh-Nya kepada saya,” katanya.
 
Sesungguhnya, hidayah Allah memberikannya peluang mengIslamkan ramai orang, kerana kelebihannya menguasai pelbagai bahasa dan boleh membuat perbandingan agama Islam dan Kristian secara terperinci. 
 
Terima kasih kepada jawatankuasa masjid Rahmaniah Lekir yang mengadakan program yang begitu menarik dan sangat bermakna.   

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...