Thursday, December 3, 2015

SATIRA POLITIK: HIKAYAT BENDAHARA BEBAL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan persinggahan anda di sini.

Sahibul hikayat, maka diceriterakan orang, ada sebuah negeri antah berantah, jauhnya sepurnama berjalan ke arah matahari terbit, maka negeri itu pun diperintah oleh seorang bendahara, terlalu baik parasnya, ibarat bagai pauh dilayang, bagai bulan di pagar bintang. Hatta, diperisterikannya seorang puteri yang tidak kalah rupanya, sekonyong-konyong dikatakan orang mirip pelakon Saadiah juga adanya.

Adapun bendahara itu, tidaklah sepintar almarhum ayahandanya, yang juga memerintah negeri antah berantah itu. Hatta, setelah kemangkatan ayahandanya, lalu dinobatkan ia sebagai ganti, kerana rakyat negeri itu sudah terhutang budi dengan jasa ayahandanya dahulu.Sudah menjadi adat negeri antah berantah, pemerintah akan digantikan dengan keturunannya, kerana barang dipercaya oleh kebanyakan orang, rakyat negeri itu tidak ada yang layak memerintah, melainkan keturunan bendahara juga adanya.

Maka bendahara yang muda itu pun memerintah negeri antah berantah, mengikut kebijaksanaannya.Setelah lama ia memerintah, maka bendahara mulalah lupa akan dirinya. Maka, selalulah ia berfoya-foya, mabuk dengan harta dunia sehingga ia lupa akan rakyat jelata yang setia kepadanya.
Lalu, dibandingkan orang dengan pemerintahan ayahandanya, maka kata seorang daripadanya, "tidaklah hamba melihat bendahara itu lebih baik daripada ayahandanya," Lalu dikhabarkan orang kata-kata itu kepada dia, Maka bendahara itu pun murka seraya berkata," Siapakah yang telah menghina beta, membandingkan beta dengan ayahanda beta yang sudah tiada? Hadapkan ia ke istana, biar beta ajarkan dia, bersopan dengan bendahara ternama."

Maka sejak daripada itu, rakyat mulalah rasa gundah gulana, barangsiapa tidak sependapat dengan bendahara, hukuman sudah pasti ada. Hatta, bendahara pula semakin alpa, tidak terkira harta negara, diambil digunakan setiap masa. Cukai yang ada dinaikkan hinga terkejutlah rakyat jelata, menghimpit kehidupan marhaen jadi papa kedana. Kepada rakyat, bendahara menunjukkan muka selamba, berjalan ke sana ke mari bagaikan tidak berdosa, diberikan sekupang dua, supaya rakyat senyap tak berkata apa-apa.

Maka sampailah perkhabaran kepada rakyat, entah mana datangnya berita, kononnya bendahara ada menerima derma, yang jumlahnya banyaklah juga. Ketika rakyatnya hidup sederhana, bendahara itu berbelanja sakan lagaknya, seolah negeri antah berantah itu, miliknya sahaja. Cukai kepala dan tambang pengangkutan awam dinaikkan berganda, maka diciptakannya alasan yang berjela-jela.

Barangsiapa yang menongkah, pasti hukuman pancunglah jawapannya. Rakyat menjadi susah dan amarah mula bernyala. Sampailah berita kepada Datuk Temenggung, timbalannya, lalu berbisiklah temenggung mengkhabarkan rakyat sudah tidak suka akan perilaku bendahara yang suka berfoya-foya. 
" Wahai Datuk Bendahara, sudah cukuplah berfoya-foya, rakyat kita semakin celik akalnya, jangan pula kita dihinakan bila tiba masanya," pujuk datuk temenggung kepada bendahara.
Maka, murkalah datuk bendahara, kerana temenggung yang selama ini menyokongnya, sudah berpaling arah mengkritik kepimpinannya. Maka kata datuk temenggung lagi, rakyat bertanya apakah derma yang banyak kepada bendahara, siapakah yang memberinya?
Lalu bertambah murkalah bendahara, kerana dihina sedemikian rupa. Tidaklah dapat dijawab siapa pemberi derma kepadanya, melainkan kononnya daripada jutawan Arab kaya yang tidak diketahui namanya.
Diceritakan orang, datuk temenggung yang selama itu menjadi penasihatnya, tidak lagi diumpamakan bagai bangsawan ternama, di mana dia berada, datuk temenggung diludah dinista oleh juak-juak bendahara, kononnya ingin merampas kuasa, lalu dituduhlah datuk temenggung bermukah hingga hilanglah maruah dan harga diri datuk temenggung itu.
Lalu, ke mana sahaja pergi datuk temenggung itu, tidaklah lagi diberi hormat oleh rakyat jelata, jika ada pun sedikit sahaja yang tahu akan cerita di sebalik tuduhan nista itu.
"Barulah puas hati beta, datuk temenggung ingin menunjukkan bijaksananya, tak padan dengan rupa, sudahlah hodoh, hitamlah pula," kata bendahara bersama permaisuri yang menjadi penasihatnya sekian lama.  
Hatta, setelah beberapa lama, rakyat antah berantah semakin meluat bertambah bencilah kepada bendahara. Barang apa dikatanya, sudah tidak lagi dipercaya, maka gundahlah hati bendahara, hendak diletak jawatan, penggantinya bodoh-bodoh belaka. 
Apakah kelak nasibnya tatkala banyak lagi khazanah negeri antah berantah tidak dibelanjakannya.
Lalu diciptakannya skim pemberian subsidi kepada rakyat, kononnya hendak dikongsikan khazanah negara, diberikan beberapa keping syiling perak kepada rakyat jelata, tetapi selebihnya, wang emas berkoyan-koyan masuk ke poket bendahara. 
Lalu makin beranilah bendahara mengutip hasil masyghul negeri antah berantah itu. 
Sekonyong-konyong, datanglah seorang lelaki, elok parasnya, menyapanya pagi hari, ketika datuk bendahara sedang mengira wang emas dalam tempayan di bilik tidurnya. Entah daripada mana datangnya lelaki itu, lalu terkejutlah bendahara lalu bertanya, "siapakah gerangan tuan hamba, datang tidak memberi salam, muncul secara tiba-tiba?"
Lalu dijawab oleh lelaki itu, "akulah malaikat maut, yang ditugaskan mencabut nyawamu." 
Menangislah bendahara, maka berjurailah air matanya, merayu diberikan sedikit masa, untuk dia menyimpan khazanah negeri antah berantah supaya dapat digunakan keluarganya. 
" Barang diberikan masa untuk hamba membuat wasiat kepada anak cucu hamba supaya tidaklah mereka berebut harta hamba sesudah hamba .....," katanya seraya berlakon mengesat-ngesat air matanya. 
Tidak sempat dia menghabiskan ayatnya, maka tercabutlah nyawa daripada badannya. 
Maka terkangkanglah bendahara, mati di mahligai miliknya, tanpa sempat meninggalkan wasiat kepada anak cucunya. 

CERITA INI TIADA KENA MENGENA DENGAN MANA-MANA PIHAK JUGA ADANYA...

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...