Wednesday, May 31, 2017

AMALAN-AMALAN SUNAT KETIKA BERPUASA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ramadhan datang lagi. Bersyukurlah kita masih dapat menikmatinya. Mari kita imbas semula perkara sunat untuk menambahkan pahala semasa berpuasa.

1) Menyegerakan berbuka jika telah yakin matahari telah terbenam. Misalnya, jika sudah berbunyi azan di kawasan kita, jangan dilewatkan. Namun jika dia berasa syak, maka wajib ke atasnya berjaga-jaga dan melewatkan berbuka.

2) Bersahur walaupun dengan seteguk air, walaupun telah kenyang. W
aktu sahur bermula dari tengah malam hingga sebelum subuh. Hikmahnya adalah untuk menguatkan badan dan menyalahi perbuatan ahli kitab yang tidak bersahur.
3) Melambatkan bersahur tetapi tidak terlalu lambat. Dan disunatkan imsak (menahan diri) dari memakan sesuatu sekitar tempoh bacaan 50 ayat (lebih kurang 15 minit) sebelum terbit fajar.
4) Berbuka dengan rutob (kurma basah). Jika tiada, maka dengan busr (kurma segar). Jika tiada, maka dengan tamr (kurma kering) . Jika tiada, maka dengan air zamzam. Jika tiada, memadai dengan makanan manis (tidak disentuh api) seperti madu dan kismis . 

 
5) Membaca doa berikut :
(اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ. ذَهَبَ الظَمَأُ، وَابْتَلَّتْ العُرُوْقُ، وَثَبَتَ الْأجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ.
الْحَمْدُ للهِ الَّذِي أَعَانَنِي فَصُمْتُ وَرَزَقَنِيْ فَأَفْطَرْتُ. اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَلِيْ)
Kemudian, berdoa dengan apa sahaja yang dimahukan.
Ertinya : “Ya Allah! KeranaMu aku berpuasa. DenganMu aku beriman. Dengan rezekiMu aku berbuka. Hilanglah dahaga, basahlah tekak dan tetaplah ganjarannya jika dimahukan Allah. Segala puji bagi Allah yang membantuku hingga aku dapat berpuasa, yang memberiku rezeki hingga aku dapat berbuka. Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu, dengan rahmatMu yang meliputi segala perkara, agar Engkau ampunkanlah aku”.
[ Doa ini diriwayatkan awalnya oleh Abu Daud dan akhirnya oleh Ibnus Sunni ]
6) Menjamu orang berbuka puasa, kerana padanya pahala yang besar.
Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam : 
Barangsiapa yang menjamu orang berbuka puasa, nescaya dia beroleh sama pahala seperti orang yang dijamu itu, tanpa berkurang sedikitpun pahala orang yang berpuasa itu. Riwayat Tirmidzi (dan beliau mentashihkannya), Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban,
7) Mandi janabah (jika ada) sebelum fajar, untuk mengelak dari khilaf yang ada dan supaya dia dapat memulakan puasanya dalam keadaan suci.
8) Mandi setiap malam di Bulan Ramadhan selepas maghrib supaya dia cergas untuk melakukan ibadah qiam.
9) Berterusan melakukan Solat Tarawih dari malam pertama hingga malam terakhir. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam : ((Barangsiapa yang berqiam (mendirikan Solat Tarawih) di Bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan menghitung ganjaran, nescaya diampunkan baginya dosanya yang telah lalu)). Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.
10) Tuntutan yang kuat untuk berterusan melakukan Solat Witr. Solat Witr di Bulan Ramadhan mempunyai 3 keistimewaan berbanding di bulan lain :
10.1 disunatkan berjemaah
10.2 disunatkan untuk menyaringkan bacaan
10.3 disunatkan padanya bacaan Doa Qunut di sebahagian akhir Bulan Ramadhan mengikut pandangan yang muktamad
11) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran sambil bertadabbur (menghayati) maknanya.
Disebut di dalam satu athar : “Ramadhan adalah Bulan Al-Quran”.
12) Memperbanyakkan amalan-amalan sunat, seperti solat rawatib, solat dhuha, solat tasbih dan solat awwabin.
13) Memperbanyakkan amalan-amalan soleh, seperti bersedekah, menyambung talian persaudaraan, menghadiri majlis ilmu, beri’tikaf, melakukan umrah, sentiasa menyedari kewujudan Allah dengan menjaga hati dan anggota badan serta banyak membaca doa-doa yang ma’thur iaitu yang datang daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.
14) Lebih bersungguh dalam beribadat di sepuluh malam terakhir disamping mencari Lailatul, lebih-lebih lagi di malam-malam yang ganjil.
15) Memastikan berbuka puasa dengan santapan yang halal.
16) Melebihkan layanan kepada anak-anak.
17) Meninggalkan perkara sia-sia dan perbuatan memaki-hamun. Sekiranya dia dimaki seseorang, maka hendaklah dia mengingati dihatinya bahawa di sedang berpuasa, agar dia mengelak diri dari mencacatkan puasanya. Dan sunat juga untuk melafazkannya dilidah jika dia tidak takut berlaku riya’, sebagai amaran dan jawapan terbaik kepada musuhnya.
(Kitab Taqrirat Sadidah – m/s 444-446)
Semoga bermanfaat
disesuaikan daripada: Lau Laa Murabbi Maa ‘Araftu Rabbi

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan