Tuesday, July 17, 2018

JETI NELAYAN LEKIR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Foto hiasan
Pada era 80-an, sebelum wujudnya Jalan Sitiawan - Teluk Intan, jeti Lekir (berdekatan Masjid Rahmaniah) adalah kawasan pelabuhan yang cukup sibuk dan meriah. Di situ, ada penambang ke pekan Teluk Anson (Teluk Intan sekarang) yang berulang alik merentasi Sungai Perak. Jalan kecil di situ menghubungkan Pasir Pandak, Sungai Limau, Pasir Panjang Laut hingga ke Kampung Permatang, dan terus ke kampung saya, iaitu Kampung Datuk Seri Kamaruddin.

Hubungan masyarakat sekitar laluan itu pada era tersebut amat rapat, dan bolehlah dikatakan ada hubungan persaudaraan. Hari ini, jeti Lekir sudah menyimpan sejarah kegemilangannya. Tiada lagi hiruk-pikuk dan kebisingan penjual dan pembeli kerana jeti kawasan itu sudah semakin sunyi. 

Perahu dan bot nelayan tempatan masih berlabuh tetapi jumlahnya juga semakin berkurangan. Kebanyakannya nelayan pantai yang mencari rezeki di kawasan perairan sekitar Sungai Perak hingga ke Pulau Sembilan. Kebanyakan mereka sudah dimamah usia, kerana kerjaya nelayan bukan pilihan majoriti anak anak muda yang banyak bekerja di pelabuhan Lumut atau di kilang sekitar Manjung, juga di luar daerah ini.  

Baru-baru ini, saya berpeluang membeli ikan kembung segar di jeti Lekir, dengan harga RM7/kilo. Harganya jauh lebih murah berbanding di pasar Senawi atau pekan Kampung Koh. Ikannya pula segar. Bagi masyarakat sekitar Lekir, jeti ini masih menjadi tumpuan mereka mendapatkan ikan pada harga yang mampu dibayar.

Selagi ada sampan nelayan berlabuh di sini, nyawa jeti Lekir ini tampak masih hidup, biarpun sedikit lesu. Beberapa buah rumah penduduk keturunan Tionghua, kedai kopi dan sepohon pokok jejawi yang besar, menjadi saksi betapa kawasan ini dahulunya sangat sibuk dan menjadi nadi utama masyarakat awal 80-an. Pastinya, sejarah tidak berulang.


No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...