Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.Keputusan UPSR yang baru-baru ini diumumkan, mencetuskan kenangan terhadap zaman persekolahanku dahulu.
Pada tahun 70-an, kampungku tiada tadika. Benar. Tak ada. Ketika itu, tak boleh membaca ketika darjah satu, adalah perkara biasa. Sekarang, budak yang daftar darjah 1, jika tak tahu membaca, sudah ketinggalanlah mereka.
Aku menumpang Pakcik Endan ke Kg, Bharu, kerana di situlah ada tadika KEMAS, dekat dengan klinik desa. Setiap pagi, aku jalan beriringan dengan Abang Joey, Salleh dan dua tiga orang kawan sekampung. Aku hanya pulang ke rumah pada hujung minggu dengan menumpang motor Honda lampu bulat, ehsan Pakcik Endan yang masih bujang ketika itu.
Sebenarnya, idea maklah ni. Arwah mak memang ambil berat pendidikan anak-anak. Mak mahu aku pandai membaca sebelum masuk darjah 1. (
Ya Allah, Kau Masukkanlah roh mak dan ayahku ke dalam kumpulan orang yang beriman.)
Apabila masuk Darjah 1, aku dan Yong dihantar ke Sekolah Kebangsaan Teluk Muroh, jaraknya 15 km dari rumah. Kami pergi naik bas seawal jam 6 pagi. Maknanya, kena bangun awal, sekurang-kurang 5.30 pagi. Setiap hari, begitulah. Tapi jumlah pelajar lain seperti kami ramai. Taklah bimbang keluar awal pagi.
"Ein,....Ein,... bangun Ein," Itulah cara ayah membangunkan aku setiap awal pagi. Rumah kami taklah terlalu besar, tapi selesalah untuk kami sekeluarga.
Rumah 'pemberian' kerajaan, kerana kami menyerahkan kampung asal kepada Tentera Laut Diraja Malaysia untuk dibuat pangkalan tentera. (Hanya selepas 80-an, barulah aku tau pangkalan TLDM Lumut adalah yang terbesar di Malaysia)
Dahulu, pelajar lelaki berseluar pendek, perkara biasa. Pelajar perempuan berskirt paras lutut. Kini, pelajar lelaki berseluar panjang. Kalau ada yang berseluar pendek, mungkin pelajar di SJK Cina atau SJK Tamil. Pelajar perempuan hari ini pun berbaju kurung dan bertudung. Zaman aku bersekolah dahulu, cikgu pun tak bertudung, apatah lagi murid.
Arwah mak akan bekalkan nasi, dan lauk sebagai tambahan kepada belanja yang tak seberapa. Duit belanja aku dahulu 30 sen, cukup untuk beli nasi, sebiji kuih dan air sirap segelas. Cuba perhatikan hari ini, berapa ramai pelajar yang bawa bekal? Anak aku pun tak nak bawa. Tau tak sebabnya? Mereka malu. (
Malu? Aku tak rasa pun malu dulu, tapi bangga...) Rupanya, mentaliti pelajar menganggap bawa bekal ke sekolah untuk orang tak ada duit.
Dulu, makan nasi bertelur goreng dan kicap, sudah cukup membuka selera. Aku, arwah Fuad, Man Chodin, Azam dan Safarin akan makan di bawah pokok. Makan ramai-ramai memang seronok. Ada masa, kami akan bermain getah, konda kondi dan polisentri.
Aku cukup takut dengan cikgu Halimah. Garang, tapi selalunya dia mencubit. Itupun dah cukup memberi kesan.
"Izzuddin, kamu ni, adik Azaliah ke?" tanyanya ketika mendenda aku berdiri di atas bangku. Waktu itu, seingat aku, kami didenda kerana tak buat kerja sekolah. Aku mengangguk.
"Kamu, boleh duduk, yang lain, berdiri sampai waktu rehat." Kata cikgu Halimah.
Aku tersengih-sengih melihat kawan-kawan lain yang masih berdiri. Khabarnya cikgu Halimah pun dah pencen sekarang.
Berkasut getah tahun 70-an, adalah perkara biasa. Kasut itu biasanya digunakan pekerja ladang. Warnanya putih, dan mudah dicuci. Sekarang mungkin tiada lagi dijual. Kalau balik sekolah pada waktu tengah hari, kaki boleh jadi kecut, sebab peluh tak dapat keluar. Bau? Huh, jangan dikenanglah. memang melantung bau kaki. Bau cekam...
Biasanya yang berkasut kain jenama BATA, adalah anak-anak orang kaya. Ayah pun ada kalanya beli juga untuk kami, sebab dia mahu anak-anaknya dapat seperti anak orang lain. (
Ya Allah, besarnya pengorbanan mak dan ayahku). Kebiasaannya, kami tak kisah sangat, sebab rata-rata kawan sekolah aku dulu, semuanya taraf sama macam kami.
Sekarang, budak-budak sekolah rendah pun tahu pasal jenama. Nak beli baju berjenama, kasut pun hebat. Semuanya nak hebat. Kekadang, perbelanjaan hujung tahun untuk membeli pakaian seragam sekolah anak-anak hari ini mencecah ratusan, atau mungkin seribu ringgit.
Zaman aku, beli baju sekolah pun di Pekan Khamis (
taraf Pasar Malam jer..), atau kedai
Union dekat simpang empat Sitiawan. Kalau boleh guna baju tahun lepas, lagi baik. Boleh menjimatkan.
Iyalah, aku anak buruh majlis bandaran, mak suri rumah sepenuh masa. Keadaan ekonomi ayah tidaklah kukuh. Itu sebabnya mak akan cuba mengelakkan perbelanjaan keluarga kami meningkat.
Mak tanam serai dan ulam-ulaman di tepi rumah. Nangka madu yang dah masak, akan dijual. Biasanya dicucuk dengan lidi, macam sate. Siapa lagi yang akan jual, kalau bukan aku. Aku akan naik basikal dan bawa raga di belakang. Mula-mula dulu, memang malu, tapi sebab aku anak lelaki sulung, aku mesti tolong mak dan ayah. Mak pun selalu nasihat, supaya aku tak pentingkan diri sendiri.
Mak ternak itik serati dan ayam kampung. Kami akan tolong jaga. Pernah satu hari, Oun adikku, terpukul kepala ibu itik serati yang mematuk anak ayam mak. Mati ibu itik tu. Mak sedih sebab ibu itik tu ada anak yang masih kecil.
Bahagian yang paling menyeronokkan ialah apabila ada pemborong ayam (biasanya nyonya tua kampung kami) datang dengan basikalnya. Mak akan jual ayam yang sudah matang. Siapa lagi tukang kejar ayam, kalau bukan aku, Sani dan Oun.
Bukan senang nak tangkap ayam kampung, kena bijak buat perangkap. Tapi, biasanya aku, Sani dan Oun lebih suka kejar ayam hingga letih, lebih mudah menangkapnya. (
Tapi penatlah sikit)
Pada akhir sesi jual beli, kami akan dapat upah sekupang dua kerana menolong mak menangkap ayam, hasil jualan ayam kepada pemborong. Seronoknya dapat upah.
Dengan duit upah itulah aku beli ais kepal, atau beli gula-gula. Kebiasaannya, mak akan suruh masukkan di tabung tembikar yang ayah beli. Seingat aku, tabung aku bentuk ayam, Sani ada tabung gajah, Oun pun, bentuk binatang, tapi aku tak ingat.
Bila aku fikirkan semula zaman dulu, aku rasa anak-anak hari ini sangat bertuah.