Tuesday, November 4, 2008

Sejenak Di Restoran Nasi Kandar

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Dua minggu lalu.
Antara ramai pembekal buku yang sering berurusan denganku, ada seorang pengedar buku yang agak rapat dan pandai mengambil hati guru-guru di sekolah. Rafi namanya. Keturunan India Muslim.
"Salamuleykum,.." tegurnya dengan pelat Tamil ketika aku melangkah keluar dari bilik guru kanan.

"Oh, Rafi, my big brother, .." Aku membalas ucapan klise yang selalu kusebut apabila bertemunya. Kami pun berbual-bual. Seperti India Muslim yang lain, Rafi tidaklah fasih berbahasa Melayu, tetapi dia tidaklah memarahiku yang selalu mengajuk pelat Tamilnya yang tidak begitu lancar.

"Adda baik ka, Rafi?" tanyaku sambil menepuk bahunya.

"Baik, cikgu. Ada senang ka ini minggu?" tanya Rafi kembali.

"Ada apa?"

"Cikgu, senang kalu, ambil ini resit, pigi Restoran DJ, Sitiawan.." kata Rafi, sambil mengunjukkan resit merah jambu yang tertera jumlah RM20.

"Eh, apa ni, Rafi?" Tanyaku, buat-buat tak faham. Mindaku cepat menangkap maksud Rafi.

Rupa-rupanya, Rafi memberiku baucar makan percuma di sebuah restoran nasi kandar milik rakannya. Menurutnya, aku boleh makan sehingga jumlah amaunnya RM20.

"Banyaknya,.."kataku sambil mengucapkan terima kasih.
Dia berlalu untuk urusan lain selepas itu.
Memang begitulah Rafi, tak banyak bercakap tapi kalau urusan perniagaan, jarang dia membuang masa.
Selain aku, Cikgu Hakim, Dollah Busu, Ustaz Amin dan Azmi turut diberi baucar percuma tersebut. Maknanya, bukan semua yang dapat. Hanya orang tertentu yang rapat dengannya. Macam kronilah juga.
(Hehehe.. Macam kroni? Aku,.. kroni Rafi?) ----------------------------------------------------------------------------------------------- Petang tadi, barulah dapat aku ke Restoran Nasi Kandar DJ, bersebelahan Arked MARA Sitiawan. Memang aku diberi makan percuma setelah kuhulurkan resit tersebut.
"Incik, kasi oder, apa mau makan, bole ambik. Tara bayar, tarapa," Kata petugas kaunter di situ. India Muslim juga. Entah datang dari India, atau memang rakyat Malaysia, tidak kupasti.

Aku makan nasi biriyani, berlaukkan ayam dan sotong, daging serta teh ais. Memang sedap. Apatah lagi, percuma...
(Huh, kalau selalu begini, alamatnya cepatlah dapat tiga serangkai..)
Masih berbaki jumlah baucar, aku ditawarkan hidangan istimewa restoran itu.

"
Uncle, apa yang best di sini?" tanyaku kepada seorang lelaki India Muslim yang agak senior di situ. Dari lagak dan caranya melayan pelanggan, dia mungkin pemilik restoran ini.
"Incik, bole cuba roti DJ, roti Taiwan ada, roti Hong Kong ada!" katanya memberi cadangan.

Wah, apa lagi, pucuk dicita, ulam mendatang, aku tak pernah pergi ke Taiwan dan Hong Kong, dapat roti pun, jadilah.

"Ok, saya nak cuba roti tu, bungkus ya!" kataku.

Dia kemudiannya mengarahkan pekerja restoran menyediakan roti tersebut.
Tiga jenis roti itu kubungkus dan kubawa balik sebagai rezeki anak-anak pula.

Semasa kecil, ayah sering bawa kami makan di restoran India Muslim, terutama pada awal bulan. Ketika itu, suasananya tidak seperti sekarang. Sebuah restoran di pekan Sitiawan tempat ayah belanja kami makan ialah Restoran Kenchana.

Sudah berkubur pun restoran itu. Tinggal tapak kedainya saja, di sebelah KFC Sitiawan. Kedai itu kotor, berdebu dan servisnya, lebih teruk dari gerai Melayu waktu itu. Tapi, mi goreng mamak memang menjadi kesukaan ayah. Kami makan sambil mendengar alunan lagu Tamil yang tak difahami maksudnya.
Itu dulu, ketika tahun 80-an.

Apabila kubandingkan dengan Restoran DJ hari ini, aku dapati keadaan sudah berubah.

Aku pasti, restoran India Muslim di tempat lain juga sudah berubah. Lantai marmar beraneka warna, dengan dekorasi dinding yang menarik, menu makanan yang pelbagai dan suasana ceria serta bersih, menggamit kedatangan pelanggan pelbagai kaum. Tidak cukup dengan itu, saluran TV Astro menayangkan filem menarik HBO, dan aksi sukan ESPN. Meja dan kerusinya selesa, dan servisnya cukup pantas. Cubalah pergi, dan anda akan dilayan sebaik sahaja meletak punggung di kerusi. Suasana selesa ditambah dengan kipas besar dan pancutan wap air menyejukkan badan.

Restoran India Muslim hari ini, jauh bezanya dengan yang pernah kusinggah semasa kecil dulu.
Zaman sudah berubah, dunia dah maju. begitulah juga restoran India Muslim yang lebih sinonim dengan nama Restoran Nasi Kandar. Mereka mengubah cara dan gaya, demi survival perniagaan yang telah bertapak lama dahulu.

10 comments:

  1. Sedapnya makan di restoren mamak..hehehe.. Hajat saya nak makan nasi kandar belum dipenuhi lagi oleh suami tercinta... Bukan tak boleh pergi sendiri tapi lagi seronok kalau pergi berdua.. Tunggu hujung minggu ni apabila dia balik dari JB.

    ReplyDelete
  2. Saya kadangkala merasa sedih kerana kita (Melayu)sering dan mencari-cari kedai mamak yang mcm 7elevan 24 jam.

    Kedai Melayu sendiri pun terpinggir dek ketagihan pelanggan singgah di kedai mamak. Kedai mamak juga yang diangkat sebagai peniaga yang baik dan sebagainya.

    Ye saya puji cara mereka bermiaga. Tetapi saya tetap memilih kedai bangsa saya sendiri meskipun tidak ada nasi beriyani,nasi kandar, kerana air tangan masakan Melayu dapat saya bantu keluarga dan perniagaan mereka.

    Kita sudah lali dimomokkan dengan teh tarik mamak yang sedap kononnya, roti canai, kuah dal dan kari, ayam tandoori dan entah apa lagi hidangan kedai mamak yang menggiurkan selera tekak kita. Aspek kebersihan tidak lagi menjadi ukuran, -di tempat saya ada sebuah kedai mamak yang sedang dinaiktaraf tetapi kedai sementaranya masih dipenuhi meskipun terdedah kepada habuk dan debu pembinaan.

    Saya menyeru kepada semua Melayu khasnya-pilihan di tangan kita, baik buruk Melayu kita yang tentukan, turun naik ekonomi Melayu kita juga yang tentukan.

    Tetap singgah dan cari kedai Melayu kerana kepuasan membantu /berjihad menjadi pelanggan mereka. Segala kelemahan dan kekurangan peniaga Melayu adalah datang dari kita sendiri.

    ReplyDelete
  3. Tirana,
    Saya bukanlah pengunjung tetap Restoran Nasi Kandar, tetapi saya respect cara mereka berniaga. Cekap dan berkesan.

    Tekak saya sebenarnya tetap tekak Melayu. Lebih tepat lagi, masakan isteri lebih sesuai untuk saya. Tapi sekali sekali, tiada salahnya mempelbagaikan selera. Asal halal.

    ReplyDelete
  4. Rahisam saudaraku,

    Falsafah perniagaan di Restoran Nasi Kandar harus jadi teladan bangsa kita. Hakikatnya, mereka maju dan berjaya kerana tiada hasad dengki. Mereka membantu sesama sendiri, tidak pernah saya dengar kisah santau dan busuk hati dalam kalangan mereka.
    Cuba tengok pekerja mereka, pakaian seragam, biar pun mungkin tidak sehebat KFC atau McD...
    Selera saya sebenarnya, tetap tekak Melayu. Tawaran percuma tempoh hari, tak saya lepaskan kerana bukan berdosa menikmatinya.
    Saya lebih suka masakan isteri, yang sesuai dengan selera sendiri.
    Entah bila lagi saya akan berkunjung ke restoran nasi kandar.. tunggu Rafi beri baucar lagi lah agaknya... Bukan tak mampu, tapi saya ada banyak pilihan lain..:-)

    ReplyDelete
  5. Cikgu Izzudin..

    Suami saya ni ada darah keturunan sebelah ibunya dan lagi dia berasal dari Pulau Pinang. Seleranya memang selera mamak. Tapi buka selalu kami pergi makan di kedai mamak.. Sesekali saja kerana most of the time, saya masak sendiri..terpaksa belajar masakan style mamak untuk suami tercinta kerana itu yang dia suka...

    ReplyDelete
  6. Ketika saya tinggal di Pulau Pinang. Memang hari-hari makan kedai mamak. Apatah lagi isteri saya anak 'mami' :). Tapi selepas mendengar macam-macam 'cerita' tentang kedai mamak ni. Saya dah jarang sangat ke kedai mamak. Di Terengganu ni, kedai 'mamak' tak banyak sangat. Malah selepas hampir tiga tahun saya menetap di Terengganu belum sekali lagi saya berniat nak makan dikedai'mamak' ni.

    ReplyDelete
  7. wah! marvellous. utk persaingan.

    tapi sekali-sekala elok hati-hati, saya pernah terkena, ayam dihidang dah basi. :(

    ReplyDelete
  8. Salam Izzuddinali-Saya berasa lapang dada kiranya kita semua masih kekal dengan selera melayu.

    Bukan cemburu dengan restoran semaju nasi kandar atai beriyani gum tetapi berilah peluang juga pada peniaga melayu kita ni dah la tak seberapa hebat tetapi sekurang-kurangnya masih boleh berniaga di bumi bertuah ini.

    ReplyDelete
  9. Selera masing-masing tidak sama. Saya pun selalu juga makan nasi kandar mamak walaupun masakan Melayu saya tak tinggalkan. Perniagaan mamak boleh diangkat ibu jari kerana kecekapannya. Pelayannya pun ramai, masakannya sentiasa panas dan kedainya agak bersih.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan