Friday, November 14, 2008

Beza Bersekolah Dahulu, Dan Sekarang.

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.
Keputusan UPSR yang baru-baru ini diumumkan, mencetuskan kenangan terhadap zaman persekolahanku dahulu.

Pada tahun 70-an, kampungku tiada tadika. Benar. Tak ada. Ketika itu, tak boleh membaca ketika darjah satu, adalah perkara biasa. Sekarang, budak yang daftar darjah 1, jika tak tahu membaca, sudah ketinggalanlah mereka.

Aku menumpang Pakcik Endan ke Kg, Bharu, kerana di situlah ada tadika KEMAS, dekat dengan klinik desa. Setiap pagi, aku jalan beriringan dengan Abang Joey, Salleh dan dua tiga orang kawan sekampung. Aku hanya pulang ke rumah pada hujung minggu dengan menumpang motor Honda lampu bulat, ehsan Pakcik Endan yang masih bujang ketika itu.

Sebenarnya, idea maklah ni. Arwah mak memang ambil berat pendidikan anak-anak. Mak mahu aku pandai membaca sebelum masuk darjah 1. (Ya Allah, Kau Masukkanlah roh mak dan ayahku ke dalam kumpulan orang yang beriman.)

Apabila masuk Darjah 1, aku dan Yong dihantar ke Sekolah Kebangsaan Teluk Muroh, jaraknya 15 km dari rumah. Kami pergi naik bas seawal jam 6 pagi. Maknanya, kena bangun awal, sekurang-kurang 5.30 pagi. Setiap hari, begitulah. Tapi jumlah pelajar lain seperti kami ramai. Taklah bimbang keluar awal pagi.

"Ein,....Ein,... bangun Ein," Itulah cara ayah membangunkan aku setiap awal pagi. Rumah kami taklah terlalu besar, tapi selesalah untuk kami sekeluarga. Rumah 'pemberian' kerajaan, kerana kami menyerahkan kampung asal kepada Tentera Laut Diraja Malaysia untuk dibuat pangkalan tentera. (Hanya selepas 80-an, barulah aku tau pangkalan TLDM Lumut adalah yang terbesar di Malaysia)

Dahulu, pelajar lelaki berseluar pendek, perkara biasa. Pelajar perempuan berskirt paras lutut. Kini, pelajar lelaki berseluar panjang. Kalau ada yang berseluar pendek, mungkin pelajar di SJK Cina atau SJK Tamil. Pelajar perempuan hari ini pun berbaju kurung dan bertudung. Zaman aku bersekolah dahulu, cikgu pun tak bertudung, apatah lagi murid.

Arwah mak akan bekalkan nasi, dan lauk sebagai tambahan kepada belanja yang tak seberapa. Duit belanja aku dahulu 30 sen, cukup untuk beli nasi, sebiji kuih dan air sirap segelas. Cuba perhatikan hari ini, berapa ramai pelajar yang bawa bekal? Anak aku pun tak nak bawa. Tau tak sebabnya? Mereka malu. (Malu? Aku tak rasa pun malu dulu, tapi bangga...) Rupanya, mentaliti pelajar menganggap bawa bekal ke sekolah untuk orang tak ada duit.

Dulu, makan nasi bertelur goreng dan kicap, sudah cukup membuka selera. Aku, arwah Fuad, Man Chodin, Azam dan Safarin akan makan di bawah pokok. Makan ramai-ramai memang seronok. Ada masa, kami akan bermain getah, konda kondi dan polisentri.

Aku cukup takut dengan cikgu Halimah. Garang, tapi selalunya dia mencubit. Itupun dah cukup memberi kesan.

"Izzuddin, kamu ni, adik Azaliah ke?" tanyanya ketika mendenda aku berdiri di atas bangku. Waktu itu, seingat aku, kami didenda kerana tak buat kerja sekolah. Aku mengangguk.

"Kamu, boleh duduk, yang lain, berdiri sampai waktu rehat." Kata cikgu Halimah.

Aku tersengih-sengih melihat kawan-kawan lain yang masih berdiri. Khabarnya cikgu Halimah pun dah pencen sekarang.

Berkasut getah tahun 70-an, adalah perkara biasa. Kasut itu biasanya digunakan pekerja ladang. Warnanya putih, dan mudah dicuci. Sekarang mungkin tiada lagi dijual. Kalau balik sekolah pada waktu tengah hari, kaki boleh jadi kecut, sebab peluh tak dapat keluar. Bau? Huh, jangan dikenanglah. memang melantung bau kaki. Bau cekam...

Biasanya yang berkasut kain jenama BATA, adalah anak-anak orang kaya. Ayah pun ada kalanya beli juga untuk kami, sebab dia mahu anak-anaknya dapat seperti anak orang lain. (Ya Allah, besarnya pengorbanan mak dan ayahku). Kebiasaannya, kami tak kisah sangat, sebab rata-rata kawan sekolah aku dulu, semuanya taraf sama macam kami.

Sekarang, budak-budak sekolah rendah pun tahu pasal jenama. Nak beli baju berjenama, kasut pun hebat. Semuanya nak hebat. Kekadang, perbelanjaan hujung tahun untuk membeli pakaian seragam sekolah anak-anak hari ini mencecah ratusan, atau mungkin seribu ringgit.

Zaman aku, beli baju sekolah pun di Pekan Khamis (taraf Pasar Malam jer..), atau kedai Union dekat simpang empat Sitiawan. Kalau boleh guna baju tahun lepas, lagi baik. Boleh menjimatkan.

Iyalah, aku anak buruh majlis bandaran, mak suri rumah sepenuh masa. Keadaan ekonomi ayah tidaklah kukuh. Itu sebabnya mak akan cuba mengelakkan perbelanjaan keluarga kami meningkat.

Mak tanam serai dan ulam-ulaman di tepi rumah. Nangka madu yang dah masak, akan dijual. Biasanya dicucuk dengan lidi, macam sate. Siapa lagi yang akan jual, kalau bukan aku. Aku akan naik basikal dan bawa raga di belakang. Mula-mula dulu, memang malu, tapi sebab aku anak lelaki sulung, aku mesti tolong mak dan ayah. Mak pun selalu nasihat, supaya aku tak pentingkan diri sendiri.

Mak ternak itik serati dan ayam kampung. Kami akan tolong jaga. Pernah satu hari, Oun adikku, terpukul kepala ibu itik serati yang mematuk anak ayam mak. Mati ibu itik tu. Mak sedih sebab ibu itik tu ada anak yang masih kecil.

Bahagian yang paling menyeronokkan ialah apabila ada pemborong ayam (biasanya nyonya tua kampung kami) datang dengan basikalnya. Mak akan jual ayam yang sudah matang. Siapa lagi tukang kejar ayam, kalau bukan aku, Sani dan Oun.

Bukan senang nak tangkap ayam kampung, kena bijak buat perangkap. Tapi, biasanya aku, Sani dan Oun lebih suka kejar ayam hingga letih, lebih mudah menangkapnya. (Tapi penatlah sikit)

Pada akhir sesi jual beli, kami akan dapat upah sekupang dua kerana menolong mak menangkap ayam, hasil jualan ayam kepada pemborong. Seronoknya dapat upah.

Dengan duit upah itulah aku beli ais kepal, atau beli gula-gula. Kebiasaannya, mak akan suruh masukkan di tabung tembikar yang ayah beli. Seingat aku, tabung aku bentuk ayam, Sani ada tabung gajah, Oun pun, bentuk binatang, tapi aku tak ingat.

Bila aku fikirkan semula zaman dulu, aku rasa anak-anak hari ini sangat bertuah.

12 comments:

  1. Salam cikgu Izzuddin,

    Cerita cikgu zaman sekolah dulu sama macam cerita saya...cerita budak kampung. Anak-anak kita sekarang memang beruntung. Tapi itulah.. bila senang dapat, mereka tak berapa pandai nak menghargai.. Kita dulu, nak dapat sekotak warna pensel cukup susah tapi bila dapat, kita sayang, jaga elok-elok supaya tahan untuk setahun tapi anak-anak kita sekarang (anak saya la tu), setahun entah berapa kota warna pensel yang diorang dapat..pensel usah dikira, getah pemadam lagi..tak pandai jaga...hilang selalu.. Kadang-kadang saya perli jugak anak-anak saya..( biar mama gantung getah pemadam tu kat leher supaya tak hilang..hehehe). Senang dapat, senang hilang. Kita dulu payah sangat nak dapat sesuatu tapi bila dapat jaga macam ianya bernilai sungguh..

    ReplyDelete
  2. cgu : cerita kita sama - tapi dalam bab kasut getah tu saya nak tambah . disebab hari raya biasa hujung tahun - kasut raya meranggap kasut sekolah...teringat cgu2 lama SK Sg Jejawi ( cgu abeh - cgu abbas sebenarnya )....terima kasih semuanya.sepatutnya SK Sg Jejawi berbangga dengan saya hari ini........

    ReplyDelete
  3. tajuk entry 'beza sekolah dulu sekarang', tapi banyak citer kat rumah je cikgu..hehe

    tapi mcm tu la cikgu kan? bersusah2 dulu, senang2 kemudian. yg penting ada usaha..

    saya juga org susah. anak2 lain di kota sambut hari jadi, tiup lilin dlm majlis. hari jadi sy yg ke 8, ayah kemalangan dan meninggal. beberapa tahun lepas tu baru kami perasan akan tarikh tu...

    lepas kemalangan tu..tuhan saja yg tahu siksanya hidup. hmm...

    ReplyDelete
  4. Tirana,
    Kita serupa. Masalahnya anak-anak sekarang terlalu manja. Ada masanya saya latih juga budak-budak ni guna duit tabung beli pensel warna. Kalau tidak, memang pemberian saya dan isteri tak dihargai..

    ReplyDelete
  5. Bro Jinggo,

    Agaknya keadaan Bro Jinggo dulu lebih 'azab' daripada saya. (agaknya lah)

    Saya tumpang bangga mike dah berjaya. Apa pun kerja kita, kita mesti ada kendiri positif, hargai diri sendiri.

    ReplyDelete
  6. Razor,

    Itulah kelebihan cikgu, lain yang nak cerita, lain yang disampaikan. Tapi, saya seronok kongsi cerita dengan blogger lain.

    Saya simpati dengan kehilangan ayah Razor pada usia muda. Pasti berat tanggungjawab mak Razor. Jangan lupakan itu.

    ReplyDelete
  7. maksu tak tadika. tapi kakak maksu siap buatkan buku2 dan macam2 bantuan pelajaran utk maksu, ala-ala school at home ler. tima kasih kat dia. :)

    ReplyDelete
  8. Salam cikgu..ohh gitew yer..seronoks baca citer cikgu ini..macam cikgu Jue dan cikgi-cikgi lain ceriternyer best-best..part yang saya teringats pasal ayams yang cikgu citer tu..terkenang kena kejar ayams sekampong..utk. buat lauk nak gi rombongans sekolah ke Melaka..ye lah dulu syusah kan sekarang daah senang, aper puns salam kenals dan.. boleh Eek habiha69 singgah kat sini pas tu nak links sekali yekk...Jazakallahu khairan kathira.

    ReplyDelete
  9. cikgu ein..

    teman tukar nama manja sikit hehehe..

    zaman berubah.. keperluan juga berubah.. anak2 zaman sekarang memang dah mudah dan senang lenang.. tapi kadang2 saya terfikir pula mereka juga harungi kesusahan dalam bentuk yang berbeza.. kalau ikutkan cabaran mereka dalam pendidikan juga lebih payah dan sukar.. lebih banyak yang kena belajar.. lebih stress yelah math n sains kena belajar in english.. pastu kena study gile2 sebab nak kena skor exam..

    Zaman kita study tekanan agak kurang.. walaupun tidaklah sesukar skrg.. silibusnya lebih mudah dan ringkas berbanding skrg..

    namun cikgu ein.. kenangan dulu itulah yang terindah kan

    ReplyDelete
  10. habiha69,

    Terima kasih sudi tinggalkan jejak, tapi saya tak dapat akese ke blog puan. Dah try tak dapat, nape?

    ReplyDelete
  11. Iina,

    Kekadang kita paksa budak-budak belajar macam orang dewasa, sehingga dia korbankan keindahan zaman kanak-kanaknya. Saya rasa kita kejam, kalau kita fikirkan kecemerlangan akademik sahaja.

    Sudahnya, anak-anak jadi ulat buku yang tak tahu dunia luar.

    Tak baguslah begitu...

    ReplyDelete
  12. dulu saya tak masuk tadika pun. cuma nasib saya mungkin baik sebab saya masuk mrsm, maka jalan tu mudah sampai ke u. alhamdulillah.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan