Thursday, July 9, 2009

Syukur...PPSMI dimansuhkan 2012

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kerajaan telah pun memutuskan PPSMI tidak diteruskan selepas 2012. Apa lagi yang boleh aku katakan? Hanya kesyukuran dan munajat, moga perkara ini memberi kebaikan kepada semua rakyat.

Sebagai golongan paling hampir dengan murid, kami lebih mengetahui perit jerih melaksanakan PPSMI, dan syukur sekali lagi kerana keprihatinan kerajaan mendaulatkan kembali bahasa Melayu.

PPSMI dimansuh, Sains dan Matematik dalam BM, bahasa ibunda pada 2012 (Mstaronline)

PUTRAJAYA: Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia manakala di SJK Cina dan Tamil akan dikendalikan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pelaksanaan tersebut akan mula dikuat kuasa pada 2012.

"Pelaksanaan akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat di sekolah menengah bermula tahun 2012.

"Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi," katanya pada sidang media khas di Kementerian Pelajaran hari ini.

Jelas Muhyiddin, Kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Katanya, strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003.

"Untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan pembelajaran untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwibahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014," katanya.

Beliau berkata, kerajaan mengambil keputusan itu setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti mana yang dihasratkan.

"Apa ysng dilaksanakan ialah PPSMI/BM iaitu guru-guru mengajar pelajaran Sains dan Matematik dalam dwibahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia," katanya.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata, kerajaan memutuskan agar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan dimantapkan dengan memperkenalkan beberapa langkah antaranya seperti berikut:

- Menambah bilangan guru Bahasa Inggeris seramai 13,933. Jumlah itu termasuk 1,000 orang guru luar negara, 6,000 orang guru bersara dan 12,333 guru tambahan daripada IPGM, IPTA dan IPTS.

- Peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi sekolah kebangsaan Tahap I ditambah sebanyak 90 minit daripada 240 minit menjadi 330 minit seminggu. Manakala bagi Tahap II ditambah sebanayk 90 minit daripada 210 minit menjadi 300 minit seminggu.

- Peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi SJK Cina dan Tamil Tahap I ditambah seratus peratus iaitu daripada 60 minit menjadi 120 minit seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 30 minit daripada 90 minit menjadi 120 minit seminggu.

- Peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi Tingkatan Satu hingga Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 200 minit menjadi 280 minit seminggu.

- Peruntukan waktu bagi MUET untuk Tingkatan Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 320 minit menjadi 400 minit seminggu.

- Peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi matrikulasi ditambah seratus peratus iaitu daripada tiga jam menjadi enam jam seminggu.

Tambah Muhyiddin, pemantauan kementerian pada tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik.

"Secara purata, peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

"Selain itu hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun lalu mencapai tahap profisiensi," katanya.

Menurut beliau, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran sains dalam UPSR tahun lalu telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

"Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

"Malah jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan," katanya.

Sesiapa pun tak menafikan kepentingan bahasa Inggeris. Tapi, jangan korbankan Sains dan Matematik. Anak-anak luar bandar yang merana kerana semakin membenci subjek berkenaan. Sebabnya? Mereka tidak faham apa yang disampaikan oleh guru.

Kini, semua boleh menarik nafas lega. Ayuh. Kembali perkasakan BM, tapi dalam masa yang sama, hargailah dan tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, kerana ia menjadikan kita lebih berdaya saing.


3 comments:

  1. kita harap semua yg dizahirkan ini: datang dari keihlasan - sebab belum apa2 dah ada cerita yg macam2yob...
    dalam bab tak mahu komen....

    kita yakin apa yg berlaku ini akan menguntungkan kita....

    ReplyDelete
  2. Bang Jinggo,

    Tun (Dr. M) kata ini satu kesilapan. Prof Diraja Ungku Aziz anggap ini satu tindakan tepat.

    Tun wajar berkata begitu, sebab dia yang cetuskan polemik ini.

    Tapi pengumuman Muhyidin mematahkan langsung hujah Hishamuddin sebelum ini, yang beria-ia mempertahankan PPSMI.

    Nampak macam ada hubungan dengan Manik Urai... Stuju?

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan