Thursday, July 30, 2009

Bahayanya Sijil Halal Dipermain-mainkan

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Terkedu apabila membaca berita tentang beberapa syarikat dikesan oleh MAINPP, bertindak mengeluarkan sijil halal sendiri.

PULAU PINANG 30 Julai — Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengesan empat syarikat swasta tempatan mengeluarkan sijil perakuan halal kepada beberapa pengusaha produk makanan.

Yang Dipertua MAINPP Shabudin Yahaya berkata siasatan mendapati syarikat berkenaan mengeluarkan sijil perakuan halal kepada pengusaha yang mempunyai premis yang kotor dan pernah gagal dalam permohonan mendapatkan sijil berkenaan daripada MAINPP.

“MAINPP tidak pernah melantik mana-mana syarikat untuk mengeluarkan sijil halal itu dan kita tidak mengiktiraf sijil berkenaan. Kita juga sedang mengkaji peruntukan undang-undang yang ada untuk mengambil tindakan terhadap syarikat berkenaan yang dipercayai telah beroperasi hampir setahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shabudin berkata sijil perakuan halal hanya dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di peringkat pusat dan Majlis-majlis Agama Islam di peringkat negeri.

Beliau berkata kebersihan dan kesucian produk makanan seperti mee kuning, mee sanggul dan kuetiau keluaran pengusaha terbabit diragui kerana terdedah kepada najis burung serta berisiko mengandungi bahan pengawet yang dilarang yang membahayakan kesihatan.

Beliau berharap sijil perakuan halal diseragamkan dan dikeluarkan oleh satu pihak sahaja iaitu kerajaan persekutuan bagi mengelakkan kekeliruan dan disalahgunakan oleh pihak tertentu.

“Dengan cara ini, ia bukan sahaja memudahkan pemantauan terhadap pemegang sijil pengesahan halal itu malahan menggalakkan pengusaha memohon pengesahan daripada badan yang mempunyai kuasa sahaja,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan logo halal yang bukan dikeluarkan oleh JAKIM atau Majlis Agama Islam.


Sebelum ini, kita resah membaca berita kisah ayam disembelih tak mengikut syariat, makanan meragukan di hotel-hotel terkemuka dan seumpamanya.

Makanan halal pasti menjadi pilihan orang Islam, tapi bagaimana jika 'halal' itu dipertikaikan. Kita bukannya tahu. Asal ada tanda halal, masuk ke perut, jadi darah daging.

Berhati-hati dengan makanan yang disediakan di hotel dan restoran. Jika kita ambil mudah, nanti kita juga yang jadi mangsa.

1 comment:

  1. cikgu...saya setuju sangat dengan perkara nie... dulu saya pun selalu memandang remeh perkara halal di Malaysia. Selalu membuat andaian, di Malaysia kalau bukan restoran orang cina atau india, makanan halal. Kita bertuah kerana ada badan yang ditugaskan untuk memastikan barang makanan ditanggung halal. Tetapi, tak semua barang makanan ditapis oleh badan ini, terutama sekali restoran-restoran dan kedai-kedai. Sijil halal pun kadang-kadang susah kita nampak di restoran-restoran terkemuka dan di hotel-hotel.

    Bila merantau nie, kami amat berhati-hati bila membeli barang-barang makanan, bahan2nya ditelek satu persatu. Kerana tiada jaminan halal. Walaupun ada badan yang tentukan halal di sini, tetapi makanan yang ditapis adalah sedikit, dan kebanyakannya adalah untuk dieksport. Pendek kata nak makan aiskrim pun, kami tanya bahan-bahan supaya jelas. Dan mengejutkan juga, ada barang makanan yang diterdapat di Malaysia (import) yang sebelum nie kami guna/makan, tapi apabila kami jadi peka untuk telek bahan2 kat sini, rupanya ada bahan yang haram di dalamnya.

    Punya la dulu kami take things for granted, sebab ingat di Malaysia, semuanya jamin halal.

    Ohh... utk maklumat halal, dan senarai restoran/kedai/produk halal, ada website Jakim kita boleh rujuk.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan