Sunday, May 31, 2009

Chin Peng Wajar Dibicarakan?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Sejak akhir-akhir ini, nama samaran Ong Boon Hwa, iaitu Chin Peng kerap mengisi dada akhbar nasional negara berikutan cadangan oleh Gerakan, sebuah komponen Barisan Nasional agar bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu dibenarkan kembali ke tanah air.

Chin Peng ketika muda

Mungkin ramai yang tidak mengenali siapa Chin Peng. Beliau adalah seorang Cina Kantonis yang dilahirkan di sebuah kedai kecil dua tingkat menjual basikal , di No. 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan. Malah, kedai basikal tersebut masih ada sehingga hari ini.

Pada tahun 1940, Chin Peng diterima untuk menyertai Parti Komunis Malaya iaitu sebuah pertubuhan yang diharamkan oleh British. Sebelum itu, dia turut menyertai pasukan bersenjata MPAJA yang ditubuhkan oleh perisik British bagi menentang Jepun di Tanah Melayu. Ketika itu umurnya baru sahaja 18 tahun.

Chin Peng memimpin MPAJA atau Malayan People Anti Japanese Army, sebuah pasukan gerila yang majoritinya disertai kaum Cina bagi menentang Jepun. Tentera British (Pasukan Special Air Services dan MI6) yang diterjunkan di hutan Perak, telah memberi pelbagai senjata, kewangan, latihan dan pelbagai peralatan lain bagi memperlengkapkan Force 136 dan MPAJA. berikutan itu, tentera MPAJA berjaya menyerang tentera Jepun di Sungai Perak pada 1942.

Selepas Perang Dunia Kedua, kumpulan radikal dalam MPAJA telah bertindak membunuh dan menyeksa mereka yang bersubahat dengan tentera Jepun dan tali barut British. Mereka turut membunuh pemimpin tempatan seperti para Penghulu dan para Imam kampung sebagai taktik memantapkan penguasaan mereka. Tindakan bermaharajalela MPAJA membunuh dan menyeksa penduduk telah mencetuskan kebencian masyarakat, terutama orang Melayu terhadap para pemimpin MPAJA. MPAJA kemudiannya dipengaruhi fahaman komunis dan berpecah kepada kumpulan serpihan iaitu Bintang Tiga.

Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan pihak Bintang Tiga hanya berjaya 'memerintah' selama dua minggu. Akibat kegagalan Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api di samping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.

Atas jasanya terhadap perjuangan penentangan pendudukan Jepun, Chin Peng dijemput ke London untuk menerima medal 'Order of the British Empire ' kerana sumbangannya yang besar memimpin MPAJA dan Force 136 menentang Jepun. Tapi tekadnya untuk menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Melayu dan menyingkirkan British tetap membuak-buak.

Chin Peng kini, tua dan uzur

Chin Peng turut terlibat dalam peristiwa bersejarah Rundingan Baling antara Tunku Abdul Rahman yang mewakili kerajaan kolonial British dan PKM pada tahun 1955. Rundingan diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putera, Baling itu gagal apabila Chin Peng enggan menerima syarat pembubaran PKM dan enggan menyertai pilihan raya secara sah sebagai syarat pengampunan. Ini kerana TAR bertekad mahu PKM dibubarkan manakala parti baru ditubuhkan, tetapi Chin Peng pula sebaliknya.

Tentera Malaysia mempunyai pengalaman pahit yang amat panjang dengan tokoh PKM ini. Begitu ramai tentera kita yang cedera, malah ada yang terbunuh semasa memerangi pengganas komunis pimpinan Chin Peng. Tanyalah mana-mana tentera, pasti mereka mencemuh dan benci akan tokoh yang dianggap petualang ini.

Malah, ada bekas tentera yang bertekad menamatkan riwayatnya jika dia memijak bumi bertuah ini.

Jika benar Chin Peng ingin pulang, wajarkah dia dibicarakan? Jika dibicarakan, mahukah bekas tentera kita menjadi saksi kekejamannya?

Lebih penting lagi, bagaimana generasi muda melihat lelaki ini? Adakah mereka akan melihatnya sebagai seorang tua yang tiada upaya, atau penjenayah perang seperti Radovan Karadzic yang terlibat dalam perang di Bosnia?

Friday, May 29, 2009

Banyaknya Jemputan Kenduri!

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Musim cuti sekolah sudah sinonim dengan kenduri-kendara. Biasanya, bakal pengantin juga akan memilih tarikh perkahwinan dalam minggu-minggu cuti sekolah. Mungkin ada baiknya, sebab musim cuti sekolah memudahkan saudara mara dan ipar duai yang tinggal jauh untuk bertemu dengan keluarga pengantin.

Kalau terlalu banyak jemputan kenduri, bagaimana pula? Bermula esok 30 Mei, 'pesta kenduri' akan bermula.

"Jangan lupa ya, cikgu. Datang nanti. Kad ada di atas meja cikgu." Kata Noriati, pelajarku yang bakal menerima abang ipar semasa cuti ini.

Cikgu Nazri, pengetua di sebuah sekolah di Pantai Remis, akan mengahwinkan anak sulungnya Ahad nanti. Dia sendiri datang menyerahkan kad tersebut.

En. Usop, bendahari surau Taman Mohd Wazir pun akan mengadakan kenduri kahwin untuk anak sulungnya pada hari yang sama.

Satu hari, tiga jemputan yang akan harus fikirkan. Minggu depan, lagi banyak.

Apa penyelesaiannya, aku sendiri tak pasti. Harap-harap, aku dapat memenuhi undangan mereka. Andainya ada klon, mungkin tiada masalah untuk hantar wakil... :-)


Thursday, May 28, 2009

Sepinya Hidup Di Usia Senja

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pulang dari satu mesyuarat semalam, aku singgah di sebuah masjid di Tronoh. Ia masjid yang akan jauh dari jalan utama, tapi aku selesa di sini, tidak sesibuk masjid lain.

Ketika duduk melepaskan lelah, aku disapa seorang ahli jemaah. Lelaki tua yang tiba-tiba terpacul menegurku.

"Nak kemana?"

Dari Ipoh, mesyuarat tadi. Singgah sekejap, dah mengantuk semasa memandu."

Aku memperkenalkan diri, lalu bersalaman dengannya. Aku lupa namanya, tapi dia ramah. Aku bahasakan dia sebagai 'pakcik' sepanjang perbualan dengannya.

Terkejut aku, apabila dia menjelaskan umurnya sudah 72 tahun.

"Betul ke ni, pakcik? Segak lagi pakcik ni!"

Sambil itu aku membelek tangannya. Orang tua itu pesara kerajaan, baru 35 hari kematian isteri.

"Saya tak merokok." katanya.

"Isteri saya kena kanser otak. Pagi tadi ziarah kubur arwah, selepas itu, terus rehat di sini. Di rumah, panas." katanya sambil memandang aku dengan wajah sayu.

"Anak pakcik, di mana?"

"Anak seorang saja. Dah berkeluarga pun. Ada anak angkat, tapi saya selesa duduk sendiri."

"Sunyi pakcik... Carilah 'tikar baru'..."Aku berkias.

Dia faham. Memang niatnya nak cari pengganti arwah, tetapi kenangan bersama isterinya sukar dilupakan. Lagipun, baru 35 hari isterinya kembali ke barzakh.

"Saya dah kahwin lebih 40 tahun." Katanya apabila kutanya usia perkahwinannya.

Lamanya tempoh perkahwinan pakcik yang seorang ini. Selesai mengerjakan solat Zohor, aku permisi.

Kutinggalkan pakcik yang masih terbaring lesu di satu sudut masjid.

Agaknya, dia masih terkenang memori indah bersama arwah isterinya. Sunyi dan sepinya hidup di usia begini.

Akhirnya Barca Juara..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Barca the better side - Ferguson

Sir Alex Ferguson and his Man Utd players

Ferguson and his vanquished players were resigned in defeat

Sir Alex Ferguson graciously admitted his Manchester United side simply lost to a better team after Barcelona won the Champions League final.

Defending champions United lost 2-0 in Rome and were outplayed for much of the night by the Spanish champions.

"We didn't play as well as we can, but you have to give Barcelona credit," said Ferguson.

"Lionel Messi wasn't the problem, Xavi and Andres Iniesta kept the ball all night and made it difficult for us."

Ferguson, who has led United to two previous Champions League triumphs, added: "We started brightly and confidently and could have been in front in the first 10 minutes, but the goal was a killer.


"We couldn't get the ball back. They used it well and were the better team.

"They were two bad goals - the games we've excelled in this season are the ones we've defended fantastically in, but they were shoddy goals tonight.

"But we've done well, it's been a long season, we've had 66 games and you've got to give the players credit for their courage and resilience. Next season we'll be better."

Sekurang-kurang, Man U sudah ke final, dan pernah menjuarai piala ini sebanyak 3 kali.

Tuesday, May 26, 2009

Tiga Orang Jadi Yatim Dalam Seminggu Ini.

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ketika mengajar di kelas tambahan asrama, aku menyemak kehadiran. Rupa-rupanya seorang pelajarku tidak hadir sebab 'cuti mengejut' kerana ayahnya meninggal dunia akibat serangan jantung.

Sekembalinya dia ke sekolah, aku berbual dengannya. Agak tenang dia menjawab soalan yang kuajukan.

"Ayah selalu berbasikal di sekitar Manjung," katanya.

"Malam itu, ayah mengadu sakit dada, tak lama kemudian rebah. Mak dan abang bawa ke hospital, tapi ayah dah tiada sebaik tiba di wad kecemasan." ujarnya berhati-hati.

Aku terkesima. Muda lagi ayahnya. Sekitar 51 tahun. Orangnya aktif. Tapi serangan jantung tak mengenal usia.

Kisah kedua, muridku yang tingkatan 3. Ayahnya bekerja di ladang, terjatuh dari trak pikap Storm, dan cedera parah di kepala. Empat hari koma di wad kecemasan, akhirnya menghembuskan nafas akhirnya di sisi isteri tersayang. Pelajar yang bakal menghadapi PMR Oktober ini, yatim sekelip mata.

Kisah ketiga, yang terbaru. Bapanya nelayan, tetapi memang ada rekod sakit jantung. Ketika bangun awal pagi untuk ke laut, dia mengadu kepada isterinya, yang dadanya sakit.

Ketika berjalan ke bilik air, dia rebah dan kejang. Sempat dibawa ke hospital, tetapi hanya sempat bertemu pintu wad sahaja. Malaikat Izrail lebih pantas menjalankan tanggungjawabnya.

Dalam seminggu ini, tiga orang pelajarku kehilangan ketua keluarga yang menjadi tonggak rezeki keluarga. Simpati rasanya, tetapi berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Moga Allah memberi rahmat ke atas roh mereka.

Dadaku kekadang sakit. Bimbang juga.

Sayangnya Akil Hayy...

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Siapa yang tidak kenal dengan Akil Hayy, seorang ustaz muda berwatak artis yang mempunyai tarikan tersendiri. Kalau berceramah, dia mampu mengaji, menyanyi dan mengajuk sehingga audiens tidak jemu mendengar celotehnya.

Sebelum ini, khabar angin yang tersebar itu ditepis dan dikilas oleh empunya diri, tetapi kali ini, si isteri membuat pengakuan.

Tuhan Itu Sesungguhnya Maha Kaya

(dipetik daripada MURAI.com)


KL, 25 MEI 2009:
Murai Batu sebenarnya sedih kalau dengar cerita orang nak cerai-berai. Lebih-lebih lagi kalau pasangan itu sudah ada anak-anak yang sedang membesar. Kesan yang diterima daripada penceraian jarang-jarang positif sebab ia meninggalkan akibat yang sangat tidak sihat kepada sesebuah institusi kekeluargaan dan perkahwinan.

Sebab itu dengan ilmu sebesar zarah yang Murai Batu ada ini, Murai Batu ingat bahawa perkara halal yang Tuhan paling benci adalah penceraian. Rupanya satu benda yang Murai Batu baru belajar, cerai berai itu tak kenal status iaitu daripada orang jahil macam Murai Batu ini hinggalah orang cerdik pandai macam 'pendakwah' Akhil Hayy.

Semalam, akhbar Metro Ahad melaporkan kenyataan isteri Akhil iaitu Maizawati Zainal, 33, akan menuntut cerai daripada suaminya. Kes mereka akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, pada 2 Jun 2009 ini dan mereka dilaporkan hendak berpisah secara redha. Hari ini muka depan Harian Metro pula menyiarkan berita yang lebih sensasi iaitu kenyataan Maizawati seterusnya tentang Akil yang didakwa dah tak pulang ke rumah dan anak mereka pun terpaksa ditukarkan sekolah kerana tertekan. Hasil perkahwinan mereka, Akhil dan Maizawati dikurniakan 6 anak.


Murai Batu tak mahu cakap panjang-panjang. Dulu bila Murai Batu dedah Akhil, 40, keluar tengok wayang dengan Waheeda, 31, tuan tubuh yang kena tegur itu terus melenting macam cacing kena panas! Mereka cakap Murai Batu sengaja reka cerita tanpa usul periksa tetapi Murai Batu percaya yang berada di atas sana jangan sekali-kali kita lupa kerana itulah Pemilik segala 'CCTV' yang paling benar yang kadangkala memberikan clue kepada yang lain. God is the Greatest. Tuhan itu sesungguhnya Maha Kaya.

Walaupun isterinya dah buat pengakuan, Murai Batu sebenar masih belum percaya. Yalah tak dengar sendiri daripada tuan tubuh, nanti kata kita buat cerita lagi. Kan tak baik kita buruk sangka dengan 'ustaz' sebab dia ikon masyarakat. Lalu, jauh di sudut hati, Murai Batu minta sangat-sangat, kalau boleh janganlah cerita Akhil-Waheeda ini menjadi seperti episod Jejai & Nora Danish. Jangan Waheeda jadi pihak ketiga macam seseorang itu tapi versi bertudung.

Sekali lagi janganlah ada pihak yang terburu-buru nak tuduh Waheeda sebagai punca sebab hubungan Akhil dan Waheeda sangatlah suci dan murni - hanya rakan seperlakonan Akhil dalam program Akhil sendiri. Mereka hanya menjadi suami isteri dalam lakonan semata-mata - macam statement Akhil sendiri dalam akhbar, baru-baru ini.

Lagipun Waheeda khabarnya dah anggap Maizawati macam kakaknya sendiri, jadi takkanlah Waheeda nak celah bedah, cilok atau betray kakaknya yang selama ini 'meminjamkan' suaminya untuk tugas berdakwah dan berlakon kan? Tak gitu Waheeda?

Kekadang, jadi orang hebat, hebat jugalah cabarannya. Moga mereka tabah, tetapi imej Akil Hayy sudah jatuh terjelepuk.

Selepas ini, tak usahlah berceramah tentang 'parenting skills' atau yang bertemakan kekeluargaan, dibimbangi memakan diri.

Sunday, May 24, 2009

Selamat Berjuang Man United..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sekali sekali, elok juga bercerita tentang kelab bola sepak kesayangan teman*, apa lagi kalau bukan Manchester United. Man U akan bertemu Barcelona (Barca) di final UEFA Champions League di Rom 27 Mei nanti.


Tentulah teman menyokong penuh pasukan kesayangan teman sejak sekolah menengah lagi. Sejak zaman Denis Irwin, Eric Cantona, hinggalah sekarang, teman 'salute' dengan Sir Alex Ferguson (SAF) yang masih bersemangat mengurus pasukan hebat itu, biarpun usianya sudah hampir 70 tahun.

Mike* macam mana? Hehehe, Kalau penyokong Liverpool, macam Adi dan Radzimedia, harap sabor ajelah. Tahun depan, pasukan kome cubalah lagi.

Pesanan akhir teman, marilah beramai-ramai menyokong pasukan Man U.

Thursday, May 21, 2009

Manusia Apakah Ini?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sedih dan pilunya membaca berita seorang ibu dan anak serta pembantu rumah yang dibunuh dengan kejam oleh penyamun di Ipoh, semalam.

Tiga termasuk dua beranak dibunuh dalam rompakan(mStar online)

IPOH: Tiga orang termasuk dua beranak dibunuh selepas dirompak seorang lelaki bersenjatakan pisau di sebuah rumah teres satu tingkat di Taman Pinji Seni, Jalan Sultan Azlan Shah di sini semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkefli Abdullah berkata yang terbunuh dalam kejadian itu ialah seorang wanita, Wah Yah Matzi, 42, yang merupakan seorang pengusaha salon, anak lelakinya Ermin Danish Jafri, 5, dan seorang pembantu rumah yang hanya dikenali sebagai Dani berusia dalam lingkungan 20an.

Beliau berkata seorang lelaki berumur 26 tahun ditahan oleh orang ramai dalam kejadian kirakira pukul 2.45 petang itu, semasa cuba melarikan diri dari tempat kejadian dengan sebuah motosikal.

"Polis percaya berlaku pergelutan semasa kejadian. Sebaik sampai, (polis mendapati) ketiga-tiga mereka yang ditemui di ruang tamu rumah itu sudah meninggal dunia.

Mereka ditemui dengan kesan tikaman dan tetakan di beberapa anggota badan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini.

Katanya ketiga-tiga mereka didapati mengalami cedera parah di beberapa anggota badan, dan mayat mereka sudah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat.

Sementara itu merujuk kepada suspek tersebut Zulkefli berkata lelaki itu mengalami kecederaan dan sedang dirawat di hospital yang sama, dengan kawalan ketat polis.

Katanya siasatan polis mendapati sebuah komputer riba milik wanita itu hilang dalam kejadian tersebut, dan polis turut menemui sebilah pisau di tempat kejadian yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Menurutnya siasatan awal polis juga mendapati suspek mempunyai kesalahan lampau membabitkan tiga kes curi yang disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan, dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA


Biarpun ditangkap dan dihukum, ia tidak akan menghidupkan kembali nyawa yang dibunuhnya. Sisatan awal polis mendapati suspek merupakan penagih dadah.

Kalau namanya penagih dadah, apa juga tindakannya pastilah untuk membeli dadah. Laknatlah kepada penagih dadah seperti itu.

(Saya mendapat khabar mangsa berasal dari daerah Lekir, dan ramai yang terkejut membaca beritanya di akhbar hari ini)

Sunday, May 17, 2009

Sekadar Berkongsi Ilmu Pedagogi

12 Pendekatan Memotivasikan Pelajar
Oleh: Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad, Ph.D

1. Penerangan Yang Jelas. Kajian menunjukkan kebanyakan pelajar tidak cemerlang dalam kerja rumah dan tugasan kerana mereka tidak tahu apa yang patut mereka lakukan. Guru sepatutnya memberikan sedikit masa untuk menjelaskan perkara berikut:
a. Kenapa tugasan yang diberikan itu penting?
b. Apa kaitan sesuatu subjek dengan kehidupan?
c. Memastikan pengetahuan asas mereka mantap.
d. Beritahu bagaimana hasil kerja mereka akan dinilai.

2. Ganjaran. Pelajar yang tidak mempunyai motivasi dalaman yang kuat boleh dimotivasikan secara luaran dengan menyediakan pelbagai bentuk ganjaran. Lihat apa kebaikan dan kelebihan pelajar dan suburkannya, mereka pasti mengulangi kebaikan ini dilain masa. Pelbagai bentuk ganjaran boleh diberikan seperti hadiah, puji-pujian, pelepasan dari tugas harian, dan sebagainya.
Ganjaran bukan sahaja diberikan terhadap pencapaian yang diperolehi tetapi juga terhadap usaha yang diberikan.
Berikan insentif agar pelajar berusaha untuk menguasai pengetahuan dan maklumat bukan sekadar bersaing antara satu sama lain.
Ganjaran luar yang berkesan ialah yang mampu menjana motivasi dalaman pelajar.

3. Tetapkan Matlamat. Setiap pelajar mestilah disuruh menetapkan matlamat untuk setiap mata pelajaran yang diambil. Ikuti perkembangan pelajar dan pastikan setiap pelajar mampu merealisasikan matlamat masing-masing.

4. Ambil Berat. Pelajar akan memberikan tindakbalas yang positif terhadap guru yang ambil berat tentang diri dan masalah mereka. Memahami adalah lebih baik dari menghukum. Ada ketikanya guru perlu bercerita kisah lampau, memberitahu kesilapan-kesilapan yang pernah mereka lakukan, dan lain-lain sebagai suatu teladan untuk pelajar. Dengan cara ini wujud kemesraan antara guru dan pelajar. Ini penting untuk mewujudkan jambatan emosi, saling mempercayai dan saling bertanggung jawab. Sekiranya mereka lakukan kesilapan, pastikan mereka faham bahawa semua orang boleh lakukan kesilapan tetapi jelaskan kepada pelajar iaitu manusia berjaya ialah mereka yang belajar dari kesilapan. Sentiasa tanya apa matlamat mereka? Apa perancangan mereka? Sejauh mana progres mereka? Apa minat mereka? Apa kerjaya pilihan mereka? Dan sebagainya.
“Pelajar tidak prihatin sejauh mana anda tahu sehinggalah mereka tahu sejauh mana anda prihatin terhadap mereka”.
Ada ketikanya guru perlu bertemu pelajar secara personal untuk membuktikan yang mereka benar-benar ambil berat tentang mereka. Malah usahakanlah untuk dari semasa ke semasa mengatur sessi perbincangan personal ini dengan semua pelajar.

5. Penglibatan Pelajar. Salah satu kunci motivasi diri ialah penglibatan aktif pelajar dalam pembelajaran. Berdiri di depan kelas dan memberi syarahan untuk memotivasikan mereka lambat laun tidak akan meninggalkan sebarang kesan. Rangsang pelajar untuk terlibat dalam aktiviti seperti perbincangan kumpulan, penyelesaian masalah, aktiviti luar, interaksi antara pelajar dan saling membantu. Pelajar akan lebih bermotivasi apabila mereka rasa diri mereka penting dan diperlukan. Oleh itu libatkan setiap pelajar dalam pelbagai kerja guru seperti mencari bahan rujukan, mencari biografi orang tertentu, menyusun atur bilik darjah mengangkat buku dan sebagainya.

6. Penuhi Keperluan Pelajar. Guru mestilah sedar bahawa setiap pelajar memerlukan daya hidup, kasih sayang, kuasa memilih, keseronokan dan kebebasan. Misalnya, memberikan peluang pelajar memilih satu dari dua tiga tajuk untuk disiapkan, atau satu dari beberapa aktiviti untuk mereka terlibat, memberikan mereka kuasa memilih. Adakan juga aktiviti pembelajaran yang mereka rasa seronok kerana bebas menyumbang sebarang ide.

7. Lebihkan Pembelajaran Visual. Berikan penerangan dalam bentuk yang visual agar pelajar mampu memahami dan mengingati dengan lebih berkesan. Gunakan bahasa visual, gambar, lakaran. Graf, carta, imej 3D dan sebagainya. Berikan gambaran jelas dengan peta konsep agar pelajar tahu apa kandungan penting sesuatu bab dan dapat melihat kaitan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain dalam bab tersebut. Ini membolehkan pelajar membentuk rangka asas terhadap satu-satu topik baru dan seterusnya menimbulkan minat dan meningkatkan pemahaman mereka.

8. Gunakan pelbagai emosi untuk merangsang pembelajaran dan motivasi. Kekuatan memori ada kaitannya dengan tahap emosi yang membentuk pengalaman seseorang. Pelajar akan lebih mudah mengingat dan memahami sesuatu yang disertai dengan pendekatan emosi. Pelajar akan lebih bersedia untuk belajar apabila ada unsur-unsur kepelbagaian emosi kerana mereka tidak akan bosan. Jangan malu untuk mempelbagaikan watak, gaya dan pendekatan anda demi menarik minat pelajar terhadap apa yang mahu anda sampaikan. Sebagai guru, hakikat siapa anda tidak penting yang penting ialah siapa mereka 10 – 15 tahun yang akan datang.
Setiap pendekatan emosi yang diambil sama ada marah, menghiburkan, tegas dan sebagainya tidak lain hanya sekadar lakunan yang tujuannya untuk membentuk dan mendidik.

9. Ajarkan Mereka Strategi Dan Teknik. Ajarkan mereka teknik pembelajaran berkesan, pengurusan masa, kaedah membaca, kaedah mengambil nota dan sebagainya. Tanam dalam fikiran pelajar bahawa ‘Belajar Itu Mudah’. Pecahkan sebarang halangan mental terhadap mata pelajaran akibar terpengaruh oleh pendapat orang lain – Misalnya ramai pelajar percaya bahawa ‘Kimia itu susah’.

10. Terima Pelajar Seadanya. Ramai guru yang berkata bahawa mereka lebih suka sekiranya pelajar mereka semuanya rajin, pandai, gigih, tekun dan berdisiplin. Mereka tidak sanggup terima kenyataan bahawa tidak semua pelajar begitu. Mereka memandang pelajar yang bermasalah ini dengan sebelah mata. Pelajar ini tidak dipedulikan sebab mereka rasa mereka sukar dibentuk. Disinilan berbezanya antara guru biasa dengan guru cemerlang. Guru cemerlang akan terima pelajar seadanya dan menjangkakan kejayaan untuk setiap pelajar ini. Hanya dengan memberikan yang terbaik sahaja maka seorang guru akan merasa puas dengan kariernya. Ramai pelajar gagal kerana guru mereka telah meramalkan kegagalan mereka.
Guru mesti sentiasa faham, mengajar bukan sekadar memberikan maklumat dan penerangan semata-mata. Mereka juga perlu mempengaruhi pelajar dari segi budaya, pemikiran dan tingkah laku.
Guru juga perlu berhati-hati dengan ucapan dan pandangan yang dilontarkan kepada pelajar kerana kesannya sangat besar dalam hidup pelajar.
Anda hanya ada dua cara untuk membuatkan anda sentiasa diingati oleh pelajar – sebagai seorang guru yang disayangi; atau sebagai seorang guru yang paling dibenci. Mana-mana guru yang berada diantara dua kategori ini pasti akan dilupakan. Apa pilihan anda?

11. Berikan Kata Perangsang – Cipta beberapa kata jaya yang menjadi perangsang kepada pelajar anda. Ulangi kata-kata ini. Lekatkan kata-kata ini dalam kelas akan ia lazim dalam pemikiran pelajar.

12. Amalkan Prinsip ‘3F’ – iaitu ‘Firm’, ‘Fair’ dam ‘Friendly’ atau Tegas, Saksama, dan Mesra.

Friday, May 15, 2009

Renungan Untuk Pengertian Hari Guru

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dahulu, tidaklah sukar untuk mengingati 16 Mei saban tahun, kerana ia disambut seluruh warga sekolah untuk meraikan golongan pendidik. Hingga kini pun, tarikh yang sama masih sinonim dengan acara memberi hadiah untuk guru.

Ada beberapa orang guru yang amat kuingati hingga kini. Antaranya, guru-guru semasa di SMKAB dahulu. Sebenarnya, ramai yang banyak menabur jasa untuk menjadikan aku manusia, tapi memadailah beberapa nama kunyatakan di sini sebagai mewakili keseluruhan warga pendidik yang pernah mengajar kami di SMKAB.

Hajah Faridah, guru Bahasa Malaysia yang begitu lantang dan nyaring suaranya. Khabarnya beliau kini di Ipoh. Cikgu Hamzah, guru Geografi, kini sudah pun bersara, masih menetap di Kg. Pasir Panjang. Cikgu Yahya Razak, juga sudah bersara dan masih di Air Tawar. Cikgu Nawawi yang pernah mengajar Pengajian Am, pun sudah bersara.

Cikgu Md Akhir, kini sudah pun ke Unit HEM, JPN Perak. Dulu, beliau mengajar Ekonomi semasa aku di tingkatan 6. Cikgu Anizah Ibrahim, sudah menjadi Penyelia Petang di sebuah sekolah di daerah ini, tapi ramahnya masih seperti dahulu.

Cikgu Rosidah Shukor, kini pengetua di daerah ini. Paling kuingati tentangnya ialah pujiannya tentang karangan yang kuhasilkan. Bangganya ketika itu.

Hajah Che Saliha, seorang lagi guruku yang banyak berjasa. Tragedi kehilangan empat orang anak dalam satu kemalangan jalan raya menjadikannya lebih tabah. Aku kagum dengan semangat juangnya. Tahun depan, guruku yang juga pengetua akan bersara.

Ramai lagi guru yang telah hilang jejaknya tanpa dapat dikesan. Cikgu Khalijah Sirat, hitam manis dan kecil molek orangnya, merupakan guru Sains yang banyak memberi motivasi untuk aku berjaya. Hadiah sebatang pen Sheaffer sempena kejayaan mendapat A dalam subjek Sains masih kusimpan, biarpun pen itu sudah tidak boleh digunakan. Cikgu Zaharah, Cikgu Mior dan guru lain yang tak kunyatakan di sini, turut menyumbang bakti semasa bertugas di SMKAB.

Terima kasih cikgu. Jasa cikgu, tak akan saya lupakan. Cikgu tetap cikgu saya, sampai bila-bila.


Thursday, May 14, 2009

Spaghetti dan Pizza

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Spaghetti ialah makanan tradisi dari Itali. Ia memang sedap dan dianggap makanan mewah oleh kalangan rakyat Malaysia.

Namun spaghetti sauce ada pelbagai jenis. Ada yang traditional, cheesy, onion with mushroom dan chunky. Versi chunky bukan datang dari Italy. Itu ditemui oleh Howard Moskowitz - individu yang bertanggungjawab kepada idea:

‘There is no best Pepsi, there are best Pepsis’

‘There is no best mustard, there are best mustards’

Idea Howard menyebabkan beliau berusaha untuk hadir dengan idea baru dalam perusahaan makanan dan ini melonjakkan jualan Prego, salah satu jenama bagi produk sos spaghetti. Kejayaan Howard ada kaitan dengan paradigma atau cara berfikirnya dalam memahami manusia. Manusia bukan hanya akan membeli Pepsi terbaik dengan kadar kemanisan 10%, tetapi manusia akan membeli Pepsi-Pepsi terbaik. Maksudnya? Tidak ada satu jawapan untuk menjawab ‘Pepsi terbaik’. Lain manusia, lain citarasa, maka lain pula ‘Pepsi terbaiknya’.

Mengapa perlu pilih terbaik? Bagi industri makanan, ia ada kaitan dengan ‘jualan’ dan menggembirakan pelanggan. Begitulah juga dengan pizza. Itu pun sinonim sebagai makanan Itali. Agaknya, apa sahaja makanan luar, yang unik sifatnya, akan dianggap makanan mewah. Capati bagaimana? Ia pun makanan luar juga. Setidak-tidaknya, ia dari Asia Tengah.

Saya biasa membeli pizza Zan's, yang diusahakan secara francais kecil-kecilan. Di daerah saya, ada gerai Zan's Pizza di sebuah pasar raya. Harganya berpatutan jika dibandingkan dengan pizza yang dikeluarkan oleh restoran makanan segera ala Amerika. Rasanya lazat. Jika tidak, masakan anak-anak saya menggemarinya. Lebih penting lagi, ia adalah produk tempatan yang diusahakan oleh orang Islam. Amat membuka selera.

Seorang rakan saya, Ustaz Faisal namanya, turut mengusahakan produk pizza secara kecil-kecilan. Asalnya, untuk anak-anaknya. Apabila ada rakan yang menempah, maka tersebarlah kemampuannya membuat pizza. Dengan kemampuan yang terhad, pizza beliau dikeluarkan secara terhad juga.

Sebenarnya, industri makanan memberi pulangan lumayan. Tak kira daripada mana asalnya, jika ia dapat disesuaikan dengan tekak masyarakat Malaysia, pasti ia boleh menarik minat pelanggan.


Sunday, May 10, 2009

Selamat Hari Ibu..

Foto bersama mak ayah dan Yong, 1972.

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Maaflah jika 'entry' kali ini emosi sedikit. Sempena Hari Ibu, aku ucapkan selamat kepada Kak Tirana, Kak Hida, Iina, Asyiq, dan blogger lain yang bergelar ibu, yang pada hemat aku telah memberi khidmat terbaik buat keluarga masing-masing. Bersyukurlah kerana menjadi ibu, kerana dapat mengandung dan melahirkan anak.

Biarpun sesetengah orang melihat ia sebagai satu bebanan, hakikat yang pasti adalah ia eksklusif untuk wanita. Lelaki tak akan, dan tak mungkin melalui pengalaman seperti anda semua. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, hanya ibu sahajalah yang mengetahui perit jerih dan sukarnya mengandung dan melahirkan anak.


Sebenarnya, hatiku sayu menatap foto ini. Setiap kali teringat mereka, hanya doalah dapat dititipkan. Tiada yang lebih berjasa selain daripada kedua-duanya. Kenangan bersama kedua-duanya akan kekal dalam memori.

Kepada yang masih mempunyai mak dan ayah, bersyukurlah. Gunalah peluang ini sementara ada. Jangan sia-siakan. Apabila seorang sahabat bertanyakan Rasulullah tentang siapakah yang harus didahulukan selepas Allah dan Rasul, baginda meletakkan ibu di kedudukan yang tinggi berbanding ayah. Tiga kali baginda menyebut 'ibu', sebelum baginda menyebut 'ayah'.

Begitulah hebatnya ibu. Tapi ini hanya untuk ibu-ibu yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik, bukannya bohsia yang membuang bayi dan anak zina di merata-rata, atau pelacur yang menjual tubuh di lorong-lorong gelap. Itu tidak layak digelar ibu.

Sekurang-kurang, aku masih punya mak mertua. Alhamdulillah.

Buat Cek, terima kasih atas segalanya.


Friday, May 8, 2009

Bahasa Jiwa Bangsa


Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ramai rakan dan lawan yang mengulas kemelut politik di Perak yang entah bila tamatnya. Jadi, untuk meneutralkan keadaan, biarlah blog lain membahaskan perkara ini, sama ada dengan cara yang elok, emosi atau pelbagai cara ulasan, mereka mempunyai pandangan yang tersendiri. Dalam dunia siber, setiap orang berhak menyatakan pendapat, biarpun mungkin pendapatnya tidak sama dengan orang lain.

Apabila menyentuh persoalan bahasa, tersentak aku dengan peristiwa pagi tadi. Seorang rakan sejawat (kusebut A)mempertontonkan beberapa helai baju sutera untuk rakan-rakan yang berminat. Baju itu adalah untuk sampel jualan kepada rakan sejawat di pejabat kami. Malangnya, dalam keadaan kelam kabut, baju batik sutera (yang harganya agak mahal itu) ditarik oleh seorang rakan lain, (kunyatakan sebagai B) yang pada hemat aku berlaku secara tidak sengaja. Aku yang berada di situ hanya melihat senario yang tiba-tiba menjadi panas dek kerana baju sutera tersebut.

A berasa marah dengan tindakan B sehingga mengeluarkan ayat yang pada hemat aku, tidak sesuai sebagai orang muda kepada orang yang lebih tua.

"Tak pernah beli baju batik sutera ke? Memang baju ni mudah koyak!" katanya dengan nada tidak puas hati.

Aku tak pasti apa berlaku selepas itu, tetapi sewajarnya ayat begitu tidak manis dituturkan, apatah lagi jika ditujukan kepada orang yang lebih tua.

Pada pandangan aku, baju itu pun tidaklah koyak sehingga jelas kelihatan. Tak sampai pun dua inci, dan hanya benang yang 'retas'. Boleh dijahit semula. Selesai masalah.

Mengapa harus ditutur perkataan yang boleh merenggangkan hubungan sesama insan?

Kata rakan lain, si A memang begitu. Mulutnya memang 'bisa', dan jenis 'cakap lepas'.

Teringat kata-kata Seniman Agung P. Ramlee dalam Seniman Bujang Lapok, "Bahasa Menunjukkan Bangsa..". Agaknya, bangsa kita sudah semakin biadab. Mat Rempit yang semakin mengganas, peragut yang semakin zalim dan terbaru, sidang DUN Perak yang ala Taiwan, semuanya membuktikan masyarakat kita makin biadab...

P/s: Speaker tak rosak lagi, nape tuko?.. tanya seorang rakan. Aku terkedu..(politik lagi..)


Thursday, May 7, 2009

Selamat Bersidang Untuk DUN Perak

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Agak lama juga DUN Perak tidak bersidang. Pada satu ketika, Bangunan SUK tidak dibenarkan dimasuki, sehingga menyebabkan sidang DUN 'bawah pokok' telah diadakan. Memang kelakar tetapi memilukan juga, kerana orang luar Perak ketawa sinis melihat apa yang berlaku di negeri ini.

Jalan penyelesaiannya ada, dan mudah sekali. Ramai yang kutemui menyatakan pendapat yang sama. Bubarkan sahaja DUN. Biar kerajaan baharu yang dilantik menguruskan pentadbiran negeri ini. Berikan kembali kuasa kepada rakyat.

Tetapi setakat sembang di kedai kopi sahajalah. Apalah kuasa kami, untuk menentukan dan memutuskan. Sehingga hari ini, politik di Perak menjadi caca marba.

Hari ini, Khamis 7 Mei 2009, khabarnya DUN Perak akan bersidang. Beberapa perkara pelik berlaku lagi. Antaranya, memakai baju warna hitam adalah kesalahan. Larangan berbaju hitam oleh Ketua Polis Negara ada kaitan dengan khabar angin kemungkinan tunjuk perasaan oleh kumpulan tertentu di Bandar Raya Ipoh semasa DUN bersidang.

Menurut berita Mstaronline, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berhadapan dengan kemungkinan hilang jawatannya esok telah memutuskan tindakan berhubung tiga hingga empat perkara penting untuk dilaksanakan apabila sidang Dewan bermula esok.

"Saya sudah buat keputusan berkaitan banyak perkata, tiga hingga empat perkara.

"Ada beberapa lagi belum saya putuskan," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan butiran tentang keputusan yang telah pun ditentukan tindakannya.

Ketika ditanya sama ada akan menolak dua usul yang dikemukakan oleh BN, Sivakumar yang merupakan ADUN Pakatan Rakyat enggan mengulas lanjut sambil meminta menunggu hingg esok.

BN mengemukakan usul agar Sivakumar digantikan oleh wakilnya dari MIC sebagai Speaker yang baru.

Bagaimanapun Sivakumar menekankan bahawa beliau sebagai Speaker mempunyai hak untuk menerima ataupun menolak mana-mana usul.

"Itu adalah kuasa Speaker," katanya yang turut enggan mengulas sama ada akan membenarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam exconya yang lain masuk ke Dewan pagi esok.

"Itu soalan serius. Saya tahu mahu menjawab," katanya.

Biar apa pun keputusan sidang DUN kali ini, aku mendoakan agar negeri Perak ini terus kekal aman dan rakyat dapat hidup tenteram.

Wednesday, May 6, 2009

Dua Bisikan Yang Sering Berkonflik

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Rasulullah bersabda: “Terdapat dalam hati seseorang dua bisikan. Pertama bisikan malaikat yang menjanjikan kebajikan, membenarkan yang hak; maka barangsiapa merasakan bisikan ini, hendaklah ia mengetahui bahawa itu adalah dari Allah dan mensyukurinya. Kedua adalah bisikan musuh yang mengajak melakukan kejahatan, mendustakan kebenaran, melarang perbuatan kebajikan; maka barangsiapa merasakan itu hendaklah berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk."


Kemudian Rasulullah membacakan maksud ayat surah Al Baqarah: 268; ‘Syaitan menjanjikan (menakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (bakhil), sedangkan Allah menjanjikan keampunan dan kurnia daripadaNya. Allah maha luas kurniaNya lagi maha mengetahui.’


Jelas pada hadis ini ialah dalam hidup kita, kita sering membuat berbagai -bagai keputusan. Dalam satu hari mungkin beratus-ratus keputusan perlu kita buat. Contohnya: ketika azan Subuh dari menara masjid yang mengejutkan kita dari tidur menyebabkan kita perlu membuat keputusan samada hendak bangun dan solat Subuh atau terus sahaja tidur.

Bisikan atau rasa hati supaya kita bangun untuk solat Subuh itu adalah bisikan malaikat manakala yang berbisik untuk terus tidur sebentar lagi adalah bisikan syaitan.

Ia membuai kita dengan rasa sejuk, menghiburkan kita supaya terus tidur, berhujah dengan kita bahawa waktu Subuh masih panjang, boleh solat Subuh di rumah dan akhirnya kita terlelap hinggalah terlepas waktu Subuh.

Demikianlah juga dalam pelbagai contoh keputusan lain yang boleh kita ambil. Antara ke masjid di waktu malam atau duduk di rumah tengok TV bersama anak-anak. Malaikat mengajak kita sekali tetapi syaitan mengajak dan memberikan alasan pada kita bertubi-tubi.

Kalau pergi ke masjid susah kerana malam yang gelap, hujan hendak turun, hendak balik nanti takut, lampu motor malap, kasihan anak nak tinggal anak dan isteri di rumah sendirian, kalau pergi ke masjid nanti orang perli kerana jarang pergi, dan 1001 macam alasan yang akan dibisikan oleh syaitan dalam hati kita.

Apabila ada orang minta sumbangan, kita tertanya-tanya dalam hati, apakah duit yang kuserah ini akan sampai kepada penerimanya, atau mungkin di'songlap' oleh pengutip derma? Inilah bisikan syaitan yang akhirnya menyebabkan kita rasa 'sayang' untuk menderma atau berbuat kebajikan lain.

Inilah juga konflik yang selalu aku hadapi. Adakah aku tewas kepada bisikan SYAITAN?



Monday, May 4, 2009

Azan dan Kematian

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tidak ramai daripada kita suka berbicara soal mati. Hakikatnya, 5 tahun lalu, aku masih punya mak dan ayah, kini semuanya tinggal kenangan. 10 tahun lalu, 20 tahun lalu, 30 tahun lalu, hidup bersama orang-orang yang kini sudah ke alam baqa' pernah kulalui.

Itulah hakikat hidup. Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Siapa yang boleh menjamin hidupnya pada hari esok? Ironinya, celik mata, aku selalu fikirkan apa yang nak dibuat hari ini. Cukup susah untuk kita mengucapkan syukur kerana masih diberi peluang untuk hidup.

Kita selalu melihat orang sakit, sama ada yang uzur ringan, mahupun yang nazak dan hampir mati. Cuba kita amati. Mengapa kebanyakan orang yang nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa.... lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan 'sakaratul maut'.

Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: "Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya."Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan berkumandang.

Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya. Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri. Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri? Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, apakah mustahil untuk Allah kelukan lidahnya ketika nazak?

Tidakkah kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba ? Ketika itu, kita tidak dapat mengucap kalimah "Lailahaillallah. ." (Sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut, dengan izinNya telah menjanjikan syurga untuk mereka.)

Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.

Jadikanlah doa ini sebagai panduan menghadapi kematian yang entah bila-bila menjengah:
"Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah "Lailahaillallah. ."semasa sakaratul maut menghampiri kami.
Amin..amin.. amin Yarobbal a'lamin.."

Cuba fikirkan,

Wang RM50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid,
tetapi begitu kecil bila kita bawa ke supermarket.

45 minit terasa terlalu
lama untuk berzikir tapi betapa pendeknya waktu itu untuk pertandingan
bola sepak.

Semua insan ingin memasuki syurga tetapi tidak ramai yang
berfikir dan berbicara tentang bagaimana untuk memasukinya

(Disesuaikan daripada satu artikel dalam Halaqah untuk renungan bersama)

Saturday, May 2, 2009

Pulau Sipadan Perlu Sokongan Kita


Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Di laman web 7Newwonders yang kulayari, terdapat banyak tempat tercantik di dunia. Sememangnya, bumi yang dijadikan Allah ini, mempunyai keindahan yang perlu dihargai.

Pernah pergi ke Pulau Sipadan? Kalau Langkawi dan Pangkor, sudah klise. Tapi aku tak pernah menjejak kaki ke Pulau Sipadan. Melihat keindahan foto, dan liputan Majalah 3 satu ketika dulu, membuatkan aku terpikat dengan Sipadan. Pulau ini pernah menjadi rebutan antara dua negara, iaitu Malaysia dan Indonesia.

Jika pernah, pasti anda juga akan terpesona dengan Sipadan. Sipadan menjadi syurga kaki selam (scuba divers) yang mengenalinya kerana keindahan bawah laut yang mengasyikkan. Sekeliling pulau ini adalah batu-batu karang yang menjadi habitat ikan serta haiwan akuatik lain.

Dalam liputan Majalah 3 dahulu, Sipadan dikatakan berbentuk cendawan, dan terhasil daripada aktiviti gunung berapi dasar laut yang sudahpun pendam. Pulau Sipadan sudah diiktiraf sebagai Taman Laut dan menjadi pusat pelancongan yang terkenal dalam kalangan penggemar sukan skuba dan snorkel.

Apa tunggu lagi, singgahlah ke web berkenaan, dan undilah untuk khazanah negara kita. Tidak perlu keluarkan belanja besar untuk mengiktirafnya, tetapi ia memerlukan sokongan rakyat Malaysia.

Daripada semua tempat yang disenaraikan dalam web tersebut, hanya Sipadanlah yang menjadi kebanggaan kita.


MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...