Monday, April 29, 2013

JMFR 2013: Pengalaman Berkayuh 130 km Bersama 700 Orang Pelumba (UPDATE)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) adalah program tahunan yang dianjurkan oleh TNB Janamanjung Teluk Rubiah sejak 2008. Tahun lalu, ia menarik menyertaan lebih 400 peserta, manakala tahun ini, lebih 700 orang mendaftar untuk tujuan yang sama, iaitu berbasikal secara santai  sambil menikmati keindahan alam ciptaan Allah. Ia bukan menjanjikan hadiah untuk siapa yang tiba dahulu ke garisan penamat, tetapi lebih kepada kepuasan diri mencabar kemampuan untuk mengatasi kayuhan yang jauh.
Saya berpeluang menyertai JMFR 2013 yang berlangsung pada Ahad 28 hb April 2013. Ia adalah kali pertama buat seorang amatur seperti saya. Sehari sebelumnya, saya mengadakan latihan di laluan Damai Laut Resort Segari, bersama rakan, Haslizan Abdul Hamid dan Jasni Bahari. Saya dapati brek Corratec saya bermasalah. Petang itu juga, set brek terpaksa digantikan kerana saya tidak mahu menanggung risiko dalam perjalanan jauh yang bakal ditempuh keesokannya. 
kami melalui trek Manjung-Damai Laut sejauh 40 km
Pada awal pagi Ahad, 28hb April 2013, saya bersama lebih 700 orang peserta membuat persediaan di garisan permulaan. Melihatkan deretan basikal canggih dengan bentuk yang aerodinamik, saya mulai bertanya kepada diri sendiri, mampukan saya bersaing dengan mereka. Mujur juga Haslizan menenangkan diri. Katanya, yang penting adalah enjin, iaitu diri kita sendiri. 
"Sesetengah pelumba yang mempunyain basikal hebat pun tak mampu menamatkan kayuhan," katanya sebelum kami memulakan perjalanan. 
Begitu ramai yang datang, masing-masing dengan gelagat sendiri. Ada juga yang datang dari luar Perak termasuk dari Johor, Negeri Sembilan dan Selangor. Malah, beberapa orang peserta dari Jepun dan Taiwan juga menyertai kayuhan kali ini.

Sebahagian peserta yang menanti detik untuk berkayuh
 Tiada pengaruh politik dalam program ini, biarpun ia dibuat pada saat musim kempen yang semakin ke penghujung. Sebaik ia bermula, saya bertekad untuk menghabiskan kayuhan.Pihak polis memberikan kerjasama yang cukup baik dengan memastikan laluan kami tidak diganggu oleh kenderaan lain. Sejak mula lagi, PDRM, JPAM dan pasukan paramedik bersedia dengan pelbagai kemungkinan untuk konvoi 700 peserta ini.
"Moga-moga Corratec tak bermasalah, jangan pancit atau rosak di tengah jalan. Selagi mampu, aku akan tamatkan kayuhan. Aku tak nak naik lori.." bisik hati saya.
Perjalanan melalui Seri Manjung hingga ke Ayer Tawar tiada masalah. Ada kemalangan kecil berlaku dalam kalangan beberapa orang pelumba di baris hadapan, tapi tidak menjejaskan perjalanan kami. Saya teruskan kayuhan membontoti beberapa orang pelumba yang ritma kayuhannya tampak seimbang. Sebenarnya, adalah satu kelebihan apabila kita mengekori rapat pelumba di hadapan kerana ia mengurangkan rintangan angin.
Mr. Terminator khabarnya menjadi peserta tetap JMFR

 Tidak pernah pun saya berbasikal sejauh ini. Saya telah melalui Jambatan Sungai Perak berhampiran Bota, dan terus menghala ke Lambor Kanan. Purata kelajuan 30-34km/j sebenarnya agak laju, sebab sebelum ini, saya hanya mencecah kelajuan 26-28 km/j dalam 'solo ride' di sekitar Manjung. Setibanya di Pasir Salak Resort, kami berhenti di 'water station' yang membekalkan minuman dan memberi sedikit rehat kepada pelumba. Saya melihat bacaan pada odometer, perjalanan sudah melangkau 77 km. Penganjur mengarahkan kami berehat kerana mereka ingin memastikan peserta di belakang sempat tiba sebelum perjalanan bersambung.
bersama Haslizan di hentian pertama Pasir Salak

Lebih kurang 45 minit kemudian, kami meneruskan perjalanan melalui FELCRA Cangkat Lada, di laluan berbukit dan laluan lurus merentasi bendang yang saujana mata memandang. Ketika itu, suasana amat mencabar, dengan matahari sudah menyinarkan kepanasan. Angin dari arah depan  melambatkan kayuhan, dan beberapa orang peserta sudah mengangkat bendera putih. Sesiapa yang tidak mampu menamatkan kayuhan, boleh berhenti di tepi jalan dan menanti ketibaan lori TNB yang mengekori dari belakang. 

Laluan Seberang Perak berlatarkan sawah padi, cantiknya bumi Malaysia!
Kami berhenti rehat sekali lagi di 'water station'2 iaitu di hadapan kilang YTY, Lekir. Perjalanan sudah mencatat 117 km. Bekalan air disimpan dalam bekas yang diselit di palang basikal. Matahari sudah terpacak betul-betul di atas kepala, dan ramai juga peserta yang sudah membawa basikal naik lori, kerana keletihan melampau dan kekejangan otot. Bagaimanapun, saya tetapkan tekad untuk berkayuh biarpun sesekali otot di bawah paha terasa kejang dan keras. 
Kayuhan diperlahankan terutama apabila memasuki laluan kampung Pasir Panjang. Ketika itu, tenaga sudah makin kurang, dan saya hanya berkayuh pada kelajuan 23-25 km/j. Kepuasan jelas terbayang pada wajah peserta yang tiba dengan selamat. Kami dikalungkan dengan pingat penghargaan daripada penganjur. Saya juga boleh berbangga kerana termasuk dalam senarai 200 orang terawal dan berjaya menamatkan kayuhan JMFR 2013.
Saya dikalungkan medal sebaik berjaya tiba pada pukul 1.09 petang.
 Terima kasih kepada penganjur, rakan-rakan Manjung Cycle Team (MCT) dan pihak keselamatan seperti PDRM, JPAM dan staf TNB yang menjayakan program ini. Insya-Allah kita jumpa lagi pada tahun hadapan.
Wajah-wajah bagai udang dibakar!

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...