Sunday, April 21, 2013

SUASANA PENAMAAN CALON PRU13 DI DEWAN MPM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Sejak layak mengikut usia yang ditetapkan dalam perlembagaan, PRU13 adalah kali ke-5 saya akan  membuang undi. saya mula mengundi pada tahun 1995, 1999, 2004, 2008 dan seterusnya akan dilaksanakan pada 5 hb Mei 2013. 

Saya ingin bandingkan suasana penamaan calon di kawasan Parlimen Lumut pada 2008 dan 2013. Pada 2008, momentum rakyat tampak memihak kepada Pakatan Rakyat (PR). PR melalui gabungan PAS, DAP dan PKR telah menggunakan kesempatan pada waktu kelemahan pemerintahan negara waktu itu. Semasa penamaan calon, saya turut serta ke majlis tersebut. Pada waktu itu, tanda-tanda kemenangan PR di tempat saya memang kelihatan jelas. Majoriti masyarakat India menjauhi BN, manakala orang Melayu khususnya UMNO membuat undi protes kerana sikap pimpinan negara yang tidak mempedulikan masyarakat marhaen. Majoriti masyarakat Cina tanpa segan silu mengiringi calon PR ke Dewan MPM. 

Pada hari ini, Sabtu 20 hb April 2013, saya berpeluang lagi menyaksikan penamaan calon di tempat yang sama. Berdasarkan pemerhatian, ia agak berbeza dengan situasi tahun 2008. Masyarakat India kembali memberikan sokongan kepada BN, manakala orang Melayu khususnya anak muda, ramai yang memberi sokongan semasa berarak mengiringi DS Diraja Dr. Zambry  Abdul Kadir, calon ADUN Pangkor, En. Rashidi Ibrahim, calon ADUN Pasir Panjang dan DS Kong Cho Ha, calon Ahli Parlimen Lumut ke Dewan Majlis Perbandaran Manjung. Begitu juga dengan sokongan masyarakat Cina yang turut serta dalam jumlah yang cukup besar ketika perarakan aman tersebut.
Trak kempen BN untuk calon DUN Pasir Panjang

Trak kempen PAS untuk calon muslimatnya

Keadaan di jalan masuk ke Dewan MPM


Gelagat penyokong pulang selepas penamaan calon.



Mulai hari ini hingga 12 malam 4 hb Mei 2013, bermulalah kempen kedua-dua pihak secara rasmi, untuk mendapatkan keyakinan rakyat mengundi mereka. Secara peribadi, saya yakin sokongan masyarakat pelbagai kaum dalam penamaan calon hari ini menjadi kayu ukur program transformasi DS Najib yang membawa perubahan kepada momentum rakyat kepada BN.

Di tempat saya, ada seorang pemimpin masyarakat yang telah mengubah pendiriannya menyokong kepemimpinan DS Najib. Sebelum ini, pada 2008,  Pakngah Johari, merupakan antara golongan berpengaruh yang cukup sinonim dengan program PR. Hubungan rapat beliau dengan pimpinan pusat seperti DS Anwar Ibrahim, Wan Azizah dan Nurul Izzah, bukanlah rahsia dalam kalangan kami di Lekir. Bagaimanapun, beliau membuat 'turning point' dan menyokong DS Najib setelah dipinggirkan oleh PR peringkat cabang Lumut. Pakngah Johari lebih tahu apa yang menyebabkan beliau mengubah pendirian, tetapi itu sebahagian contoh perubahan sikap masyarakat terhadap kepemimpinan Najib, termasuk saya sendiri.

Calon PR yang bertanding menentang DS Kong bukanlah asing bagi saya. Laksamana (B) Mohd Imran Abdul Hamid saya kenali sebagai seorang yang baik dan suami kepada guru saya semasa bersekolah dahulu. Manakala, Cikgu Rashidi Ibrahim, calon BN untuk merebut DUN Pasir Panjang pula adalah anak tempatan berasal daripada Pasir Panjang yang memang sudah dikenali sejak beliau aktif dalam kegiatan belia.

Saya sudah mempunyai pilihan untuk PRU, dan yakin kebanyakan pengundi lain juga mempunyai jawapan siapakah yang akan diundi pada 5 hb Mei nanti. Moga tiada perkara buruk berlaku sepanjang kempen dan semasa hari mengundi nanti.
SELAMAT MENGUNDI!

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...