Saturday, April 6, 2013

Lastik Burung-Kemahiran Awal Remaja Kampung

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Lastik kayu tembusu
Sebagai remaja kampung dahulu, kehidupan saya menuju kedewasaan dipenuhi aktiviti yang mencabar. Antaranya adalah melastik burung. Aktiviti ini dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan, dalam radius jarak 1 km daripada rumah masing-masing. 

Lastik, atau juga dikenali sebagai 'terbil' di sesetengah tempat, diperbuat daripada kayu keras berbentuk 'Y'. Biasanya, kayu tembusu atau kayu jambu batu, kami jadikan lastik kerana ketahanannya. Kayu tembusu yang sudah dianggap sesuai dijadikan lastik, akan disiat kulitnya sebelum dilayar dengan api. Ini bagi memastikan kayu lastik tersebut tahan lasak. 

Sepasang getah panjang berukuran 8"-12" akan diikat bersama pelapik kulit berukuran 1" x 2". Selepas itu, lastik sudah sedia untuk mencari mangsa. Pelurunya adalah batu atau guli. Tetapi, guli agak mahal dan tidak sesuai untuk semua keadaan. Biasanya, batu kecil tepi jalan yang sesuai dengan saiz yang dikehendaki, akan menjadi peluru lastik. Mangsanya pula, kebiasaannya burung kecil yang mudah ditemui di kampung kami. Antaranya, merbah batu, kelicap, sepah dan murai. 

Saya bersama rakan sekampung, seperti Lie Katun, Sham Be'ah, Katik dan beberapa orang lagi, sering melastik burung berkumpulan. Bagaimanapun, selalunya saya lebih suka bersendirian atau ditemani adik seperti Oun dan Sani. Usai kelas mengaji, saya lesap tanpa dapat dikesan oleh emak. Berbekalkan lastik dan peluru batu di poket, saya mengatur langkah menuju ke pokok-pokok yang biasa menjadi persinggahan burung.  Kesabaran amat penting, kerana ketika menunggu burung hinggap di pokok, tumpuan harus diberikan kepada sebarang pergerakan di atas. Itulah sebabnya, saya lebih suka bergerak solo, kerana jika berkumpulan, pergerakan mudah dihidu oleh burung dan ia cepat terbang melarikan diri jika kami berbual-bual.

Burung wakwak
Pernah juga saya melastik burung wakwak, sejenis burung berkaki panjang berwarna hitam yang pejal dagingnya, tetapi ia pantas menyusup ke semak dan belukar jika melihat kelibat manusia.  Agak sukar untuk mendapat wakwak. Selalunya mangsa saya ialah merbah. Apabila memikirkan kembali, saya rasakan tindakan melastik burung agak kejam kepada makhluk kecil itu. Burung yang kena lastik, mempunyai dua risiko, sama ada cedera atau mati. Jika sudah berada di tangan, ia bagaikan satu kebanggaan. Jarang sangat saya mendapat burung yang hidup atau cedera. Kebanyakannya mati akibat luka parah dilastik. Ironinya, ia menjadi seakan-akan satu ketagihan kepada saya. Hampir setiap hari, semasa di darjah lima dan enam, saya akan menunaikan 'tanggungjawab' melastik burung di keliling kampung DSK, tempat saya membesar.

Pernah sekali, saya berjaya melastik seekor ular yang menyusur pokok rambutan di belakang rumah. Terkejut emak apabila saya tunjukkan bangkai ular tersebut, Itu pun, setelah berkali-kali dilastik. 

Bukan mudah sebenarnya, untuk melaraskan sasaran dengan lastik. Kebarangkalian untuk melastik dengan tepat, bergantung kepada banyak perkara. Saiz batu, panjang getah dan kedudukan ketika melastik, memainkan peranan penting ketika 'menetapkan' sasaran.

Minat melastik mula menurun selepas saya berada di sekolah menengah. Alam kedewasaan mengajar saya lebih menghormati makhluk Allah yang boleh terbang, tetapi lastik masih dijadikan senjata untuk menghalau anjing atau kucing jantan yang suka mengganggu kucing peliharaan kami. 

Hari ini, lastik menjadi sesuatu yang asing kepada anak-anak zaman sekarang.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...