Tuesday, May 22, 2018

Bagai Drama Dalam Filem Hollywood

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Keputusan PRU14 menyaksikan legasi Barisan Nasional sebagai pemerintah negara berakhir dengan hanya memiliki 78 kerusi parlimen daripada jumlah 222 buah yang dipertandingkan. Tiga hari selepas itu, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, melepaskan semua jawatan dalam BN dan UMNO.

Tidak berakhir setakat itu, cerita menjadi semakin menarik apabila Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri ke-7 yang berusia 93 tahun (usianya sering dijadikan bahan kempen oleh Najib), mengambil beberapa tindakan drastik untuk memulihkan integriti Malaysia di mata dunia. Beberapa orang pegawai kanan kerajaan yang berkait rapat dengan  skandal 1MDB telah diambil tindakan serta merta.

Kronologi drama terus berkembang dengan beberapa siri serbuan pihak polis ke kediaman mantan PM, yang kemudiannya mengejutkan rakyat Malaysia. Lebih 200 beg tangan mewah berjenama dan harganya mencecah ratusan ribu ringgit, wang tunai, jongkong emas dan pelbagai barangan lain yang dikaitkan dengan skandal terburuk negara itu ditular dalam media sosial.

Seorang rakan saya menyatakan rasa terkejutnya sambil berkata, tidak pernah terfikir olehnya beg tangan wanita mencecah harga sebuah rumah mewah. Pada mulanya, ia seolah-olah sekadar itu, tetapi rupanya cerita ini semakin menarik apabila seorang demi seorang bekas pegawai SPRM yang terpaksa 'bersara' kerana siasatan 1MDB membuka mulut.

Sehingga berita ini ditulis, pagi tadi mantan PM telah dipanggil ke pejabat SPRM untuk menjawab beberapa perkara berkaitan skandal itu. Apa kesudahannya, kita biarkan masa dan keadaan menentukannya. Apa yang pasti, siasatan terhadap 1MDB telah menjadi tajuk utama akhbar tempatan dan luar negara.  

Tuesday, May 15, 2018

TUMBANGNYA BN DAN UMNO KERANA SALAH STRATEGI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

BN menjadi mangsa strategi politik mereka sendiri. Kesan pertandingan tiga penjuru bersama PAS melawan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan kesan persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak memihak kepadanya.
Sebelum ini, ramai pemerhati politik menganggap HARAPAN akan kecundang apabila bertembung dengan BN dan PAS serentak terutamanya di kawasan majoriti Melayu.
Apatah lagi persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jelas berpihak kepada Umno melalui pengukuhan kerusi-kerusi di kawasan majoriti Melayu.
Impian BN- terutama pemimpinnya Datuk Seri Najib Razak - ialah untuk memastikan mereka menang di kerusi majoriti Melayu walaupun dicabar dalam pertandingan tiga penjuru.
Tidak pasti mengapa BN dan PAS kedua-dua parti itu tidak mengadakan persefahaman pilihan raya melalui agihan kerusi, iaitu Umno tidak bertanding di kerusi PAS, manakala PAS pula akan berbuat yang sama untuk Umno.
Yang pasti PAS tetap meletakkan calon mereka di kerusi-kerusi majoriti Melayu yang ditandingi HARAPAN.
Kajian tidak rasmi BH Online pada 11 Mei 2018 berhubung jumlah undi popular membuktikan BN kecundang dengan strategi tersebut.
Tawaran dari 3 kerusi
Melalui kiraan akhbar berkenaan, HARAPAN memperolehi 5,685,252 undi atau 50.1% iaitu kurang sedikit berbanding 50.9 peratus yang dicapainya pada PRU ke-13.
Sebaliknya, BN yang mendapat 47.4 peratus pada PRU ke-13 merudum kepada 32 peratus atau 3,624,921 undi. Perpecahan undi Melayu telah membolehkan PAS mendapat 2,043,159 undi atau 18 peratus.
Walaupun PAS menambah undi popularnya daripada 14.8 peratus pada PRU ke-13, kerusi yang diperolehinya menjadi kurang, iaitu daripada 21 kepada hanya 18 kerusi parlimen.
Tambahan pula, pada PRU ke-13, sebagai rakan pembangkang Pakatan Rakyat, ia bertanding di 73 kerusi Parlimen berbanding 157 dalam PRU kali ini.
Namun, di peringkat negeri PAS berjaya mengekalkan Kelantan dan merampas Terengganu. Parti itu juga menawarkan kerajaan perpaduan di Perak walaupun mereka hanya ada tiga kerusi DUN.
Yang menjadi mangsa pertandingan tiga penjuru bukannya HARAPAN tetapi BN. Malah persempadanan semula turut menjadi keris makan tuan kepada BN - khususnya Umno - kerana undi Melayu banyak dicuri PAS.
Suasana ini sudah diramalkan oleh Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, pada tahun lalu. Pada pandangan Liew pertembungan tiga penjuru di antara BN, HARAPAN dan PAS akan merugikan BN, malah tidak banyak menguntungkan politik nasional PAS.
Liew juga pernah menulis pada September 2017 dengan menjelaskan:
“Jika benar HARAPAN lemah dan tiada arah tuju, pertembungan tiga penjuru semestinya akan menguntungkan Umno-BN.
“Tetapi jika HARAPAN tampil sebagai kerajaan alternatif dan menarik minat golongan yang menolak pentadbiran kleptokratik Najib, selain mereka yang mengimpikan permulaan baru untuk Malaysia, maka Umno dan PAS hanya akan dipertahankan oleh penyokong tegar mereka sementara semua pengundi lain beralih sokongan kepada HARAPAN.
“Dalam senario seperti itu, pengundi-pengundi yang setia kepada PAS pimpinan Hadi Awang yang kini menjadi jurucakap kerajaan Najib mungkin mengundi Umno sekiranya pertembungan satu lawan satu.
"Namun dalam pertembungan tiga penjuru, senario itu akan merugikan Umno.”
Itulah yang terjadi dalam PRU ke-14. Walaupun ramai sangsi dengan pola pengundian orang Melayu, akhirnya berlaku gelombang kebangkitan rakyat seperti yang telah diperhatikan oleh Liew sejak beberapa tahun lalu.
Namun, tidak dinafikan kehadiran PAS sebagai pihak ketiga dalam PRU ke-14 turut menjejaskan kerusi-kerusi HARAPAN tetapi tetap gagal menyekat tsunami rakyat yang mahukan perubahan besar.
Sebagai salah seorang pemimpin DAP, Liew tidak pernah putus asa mengajak pimpinan HARAPAN bekerja keras menarik undi Melayu walaupun ada segelintir pemimpin pakatan itu yang tidak begitu yakin dengan usahanya.
Korban untuk negara
Pada Julai 2015, Liew telah mengemukakan idea kemungkinan meletusnya tsunami politik Melayu sebagai kesinambungan tsunami bandar (atau dianggap orang sebagai tsunami pengundi Cina) pada PRU ke-13.
Beliau yakin undi orang Melayu akan beralih kepada HARAPAN kerana mereka marah dengan tekanan ekonomi serta kesan sosialnya akibat pemerintahan Najib.
Fenomena kebangkitan rakyat dapat dilihat jelas apabila orang Melayu bersatu jiwa dengan kaum-kaum lain untuk hadir memenuhi ruang-ruang ceramah sejak parlimen dibubarkan pada 7 April lalu.
Bukan saja di bandar-bandar utama di Selangor dan Pulau Pinang tetapi juga di negeri kubu BN seperti Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.
Di Johor, Liew sebagai pengerusi DAP negeri bekerjasama baik dengan pimpinan HARAPAN terutamanya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai peneraju Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Walaupun Liew sendiri tewas tipis kepada Datuk Seri Dr We Ka Siong dalam persaingannya untuk kerusi parlimen Ayer Hitam, peranannya membantu HARAPAN merobohkan Johor sebagai benteng BN amat besar.
HARAPAN mendapat 59 peratus undi popular berbanding BN 33 peratus dan PAS 8 peratus.
Nasi sudah menjadi bubur. Walaupun pahit untuk ditelan, apa yang berlaku kini adalah hakikat yang perit untuk diterima oleh pemimpin UMNO. Kini UMNO dan Barisan Nasional harus belajar menjadi pembangkang yang berkesan, satu posisi yang tak pernah diimpikan oleh mereka. 

Sumber berita asal di sini.

Thursday, May 10, 2018

CERITA PASCA PRU14

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

PRU14 akhirnya selesai diadakan pada 9 Mei 2018. Saya dan isteri mengundi di pusat pembuangan undi di Parlimen Lumut, dalam DUN Pasir Panjang. Kami berbaris panjang bersama rakyat lain, tetapi semua menanti dengan sabar. Pelbagai kaum, agama dan lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam proses memilih kerajaan yang diadakan setiap lima tahun. Selesai proses membuang undi, kami menanti keputusan PRU 14 dengan hati yang berdebar-debar. 

Awalnya, saya menjangkakan BN kekal berkuasa tetapi dengan margin majoriti yang lebih rendah. Kerusi parlimen sebamyak 222 buah, dan untuk menubuhkan kerajaan yang sah, jumlah majoriti mudah yang diperlukan adalah 112 kerusi Parlimen. Jadi, jangkaan awal saya, BN mendapat sekitar 115 hingga 120 kerusi, manakala selebihnya oleh pembangkang diterajui PH. 

Kem Najib meyakini masih dapat mengekalkan mandat berdasarkan usaha yang dibuat oleh mereka. Di pihak PH yang diterajui oleh Tun Dr M, mengharapkan mereka dapat menamatkan penguasaan BN yang memerintah lebih 60 tahun. PAS pula menyasarkan negeri Pantai Timur dan menjadi 'King Maker' kepada kerajaan campuran jika BN gagal mendapat majoriti mudah.   

Rakyat menanti keputusan PRU14 dengan pelbagai andaian. Namun begitu, menjelang malam, agak pelik kali ini, liputan oleh media khususnya RTM, TV3 dan Awani begitu lembab. Keputusan PRU hanya berlegar-legar dengan kejayaan BN di Sarawak, dan Sabah, tetapi tiada keputusan rasmi di semenanjung sehingga melepasi jam 12 malam. SPR gagal membuat pengesahan keputusan biarpun pengiraan undi telah selesai lebih awal. Ini amat mengejutkan, apatah lagi sumber tidak rasmi dalam media sosial menyatakan Pakatan Harapan (PH) sedang mendahului BN.  

Sumber dalam media sosial menyatakan PH sudah menguasai Putrajaya, pada jam 11 malam. Ini bukan PRU biasa, detik hati saya. Apakah mungkin penguasaan Najib dan BN tamat malam ini? Akhirnya penat menanti pengesahan, saya tertidur juga. Kira kira pukul 4.45 pagi, SPR membuat kenyataan rasmi bahawa PH sudah mendapat majoriti mudah yang membolehkan mereka menubuhkan kerajaan. Dengan kata lain, BN yang diterajui oleh YAB Dato' Seri Najib Razak telah tewas buat kali pertama selepas 60 tahun. Kenyataan SPR yang ringkas itu menjelaskan segala berita dalam media sosial seperti whatapps dan facebook. 

Negeri Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Pulau Pinang jatuh dalam genggaman PH, manakala PAS dapat mengekalkan kuasa di Kelantan serta melebarkan pengaruh ke Terengganu.  Di Sabah, parti WARISAN pimpinan Datuk Shapie Apdal mendahului kiraan kerusi. Di Perak, Kedah, BN tidak dapat menubuhkan kerajaan kerana jumlah kerusi tidak mencukupi. 

PRU14 pada 9 Mei 2018, mencatat sejarah sebagai penamat kepada penguasaan BN yang diterajui oleh UMNO, parti keramat orang Melayu. Terus saya teringat satu klip video ucapan Dr. Mahathir. Dalam klip video itu, beliau menyatakan pada 2020, UMNO akan ditolak oleh orang Melayu kerana hilang kepercayaan akibat sikap pemimpin yang tamak kuasa dan membelakangkan kebajikan rakyat. Hari ini, apa yang dinyatakan beliau menjadi kenyataan yang pahit untuk ditelan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib. Ironinya, BN diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak, menggantikan Parti Perikatan, dan usianya memerintah negara 'ditamatkan' semasa anaknya, Datuk Seri Najib memerintah. 

Rumusan yang boleh saya kongsikan berdasarkan pemerhatian saya:
1. Tun Dr Mahathir, seorang negarawan genius, yang menjadi arkitek kepada tewasnya BN. Tun mengetuai PH yang menggabungkan DAP, PKR, Bersatu dengan menggunakan logo yang sama. Penghinaan oleh Najib dan pemimpin UMNO dalam kempen mereka rupanya menjadikan rakyat lebih simpati kepada Tun. Apabila Tun hadir dalam kempen di Johor, Negeri Sembilan, dan Selangor, jumlah hadirin melebihi jangkaan. Ia memberi isyarat jelas PH mendapat sambutan rakyat.

2. Apabila SPR mengumumkan Rabu sebagai hari pembuangan undi, PH telah memberi respons cuti tambahan pada Khamis dan Jumaat, jika berjaya membentuk kerajaan. Ini menarik perhatian pengundi khususnya kakitangan awam. Pemilihan hari Rabu sebagai hari mengundi menyebabkan wujud andaian kerajaan melalui SPR cuba mengelakkan rakyat melaksanakan tanggungjawab mereka memilih kerajaan. SPR dilihat tidak telus dan gagal menyatakan justifikasi hari Rabu dipilh sebagai hari membuang undi. 

3. Cubaan BN menambahkan 3 lagi insentif dalam manifesto pada malam sebelum pengundian, dianggap sudah terlewat. Manifesto PH lebih diyakini dan 'dekat' dengan pengundi. 

4. Pengundi muda banyak mendapat akses media sosial untuk berkempen, berbanding generasi lama yang masih berkiblatkan TV dan ceramah konservatif. Klip video ceramah PH yang dihadiri ribuan rakyat membuktikan mereka mendapat sambutan luar biasa. 

5. Media sosial menjadi medium utama kempen yang sangat berkesan, menggantikan media cetak dan elektronik yang dikawal oleh kerajaan pemerintah. Statistik oleh INVOKE, IDE dan Merdeka Centre memang menunjukkan PH mendapat sambutan berbanding BN. 

6. Isu rasuah, GST dan kos sara hidup yang tinggi tidak dapat ditangani dengan baik oleh BN. Ini dijadikan 'peluru hidup' oleh kem PH sepanjang kempen. Isu 1MDB juga telah meletakkan Najib dalam keadaan yang berisiko dan tidak dipercayai. Sikap Najib yang sedikit 'arrogant' seperti menuturkan 'kepala bapak engkau' dan 'stupid' terhadap mereka yang mengkritiknya juga mengakibatkan BN terpaksa membayar dengan harga yang mahal.

Kepada PH, saya berharap mandat yang diberikan oleh rakyat dapat digunakan untuk rakyat, demi rakyat. Jika ia gagal diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan, nasib PH mungkin sama seperti BN hari ini pada PRU akan datang. 


Selamat kembali ke Putrajaya, Tun!


Tuesday, May 8, 2018

'BEREHATLAH' ANDAK ANI (BELASUNGKAWA UNTUK SITI ROHANI AHMAD)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Siti Rohani Ahmad (Andak Ani)
Arwah ayah, ada tiga orang adik, ketiga-tiganya perempuan. Siti Rohani Ahmad, kami panggil Andak, Siti Hajar (Anjang) dan Siti Zaleha (Chu). Tiga minggu lalu, kami dikejutkan dengan berita Andak Ani dimasukkan ke hospital Putrajaya, kerana demam berpanjangan.

Jumaat lalu, kami mendapat perkhabaran rupanya demam Andak adalah simptom sakit yang lebih berat. Andak dikenal pasti oleh doktor yang merawatnya, menghidap kanser payudara tahap 4. Ia berita menyedihkan, tetapi Andak Ani tenang menerimanya. Andak sudah tahu lama, tetapi merahsiakannya daripada pengetahuan kami termasuk adik adiknya sendiri. Tak mahu menyusahkan sesiapa, katanya apabila ditanya mengapa berita itu dirahsiakan. 

Andak berusia 60 tahun, kembali kepadaNya pada Isnin 7 Mei 2018, jam 2.30 petang di Hospital Putrajaya. Saya bergegas pulang ke Manjung dari Selama selepas solat maghrib. Sempat saya berehat di rumah Chu menghilangkan lelah memandu lebih 150 km sebelum jenazahnya sampai jam 11 malam. Jenazah Andak Ani selamat dikebumikan di perkuburan Kampung Permatang, jam 12 tengah malam, di sisi pusara suaminya Pak Andak Din. 

Damailah Andak di sana. Ya Allah, ampunkan dosanya, terima amalannya, tempatkan ibu saudaraku di sisi hambaMu yang beriman. 

Sunday, May 6, 2018

POSTER PILIHAN RAYA


Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kempen pilihanraya umum ke-14 (PRU14) semakin panas. Baik di dalam media cetak, mahupun media sosial, kempen PRU14 oleh calon dan parti politik yang bertanding sudah memasuki fasa akhir, sebelum bertarung di pentas pembuangan undi pada 9 Mei nanti. 

Kali pertama saya membuang undi, pada PRU9 pada tahun 1995. Saya masih belajar di UPM pada waktu itu. Pada kempen PRU era tersebut, poster PRU amat popular. Ia ditampalkan di tiang elektrik, pondok telefon awam, dinding rumah kedai dan seumpamanya. Kempen rumah ke rumah, termasuk ceramah oleh calon turut menjadi medium utama menyampaikan mesej kepada pengundi. Ketika itu, teknologi maklumat dan perkembangan media sosial tidak seperti sekarang. Poster dan kain rentang menghiasi kawasan pondk panas dan kawasan kempen.

Hari ini, dalam PRU14, peranan poster tidak lagi menjadi keutamaan. Perkembangan media sosial menjadikan kempen di facebook, youtube dan seumpamanya semakin popular, dan diterima oleh masyarakat. Dalam grup whatapps dan telegram, kadang kala kempen disebarkan tanpa mengambil kira sentimen dan perasaan ahli grup yang lain. Ini menimbulkan suasana yang tegang, terutamanya apabila perbalahan melibatkan penyokong yang berlainan parti politik. Masing masing dengan hujah mereka, dan saling cuba mematahkan hujah pihak yang satu lagi. Poster dan kain rentang, bukan lagi medium utama untuk memancing undi. 

Namun begitu, penggunaan poster dan kain rentang tetap menjadikan PRU14 menarik dan mengekalkan identiti 'perang poster', terutama di kawasan luar bandar. 

Selamat mengundi pada 9 Mei nanti buat semua pengundi berdaftar. Elakkan perbalahan berpanjangan selepas PRU14. Apabila keputusan diumumkan nanti, terimalah dengan hati terbuka. Kalah atau menang, kebajikan rakyat perlu dijadikan agenda utama oleh mana mana parti politik yang diberikan mandat nanti.


Wednesday, May 2, 2018

HARI KELUARGA KGS SEBAYU 2018 MERIAH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Sebahagian daripada keluarga besar KGS SEBAYU 





Pada 1 Mei 2018, Kelab Guru dan Staf SEBAYU mengadakan hari keluarga di kem Assalam, Lata Rambung, Ulu Selama. Program ini bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim, di samping mengikat kemesraan sebagai satu keluarga besar.

      Program bermula pada pukul 8 pagi dengan aktiviti bergotong royong membuat persediaan memasak. Antara menu yang disediakan adalah gulai lemak keli, keli bakar, BBQ ayam, serta masakan kampung yang disediakan oleh para guru dan staf SEBAYU. Selain itu, sukaneka bagi kanak kanak dan dewasa turut diadakan bagi memeriahkan suasana. 

     Terima kasih kepada cikgu Mali Efendy, Pengerusi KGS dan barisan jawatankuasa beliau yang berjaya melaksanakan program ini. Tahniah dan syabas kepada ahli KGS serta keluarga yang hadir ke majlis ini. Insya-Allah semoga program seumpama ini dapat diteruskan pada masa masa akan datang.  

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...