Thursday, May 10, 2018

CERITA PASCA PRU14

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

PRU14 akhirnya selesai diadakan pada 9 Mei 2018. Saya dan isteri mengundi di pusat pembuangan undi di Parlimen Lumut, dalam DUN Pasir Panjang. Kami berbaris panjang bersama rakyat lain, tetapi semua menanti dengan sabar. Pelbagai kaum, agama dan lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam proses memilih kerajaan yang diadakan setiap lima tahun. Selesai proses membuang undi, kami menanti keputusan PRU 14 dengan hati yang berdebar-debar. 

Awalnya, saya menjangkakan BN kekal berkuasa tetapi dengan margin majoriti yang lebih rendah. Kerusi parlimen sebamyak 222 buah, dan untuk menubuhkan kerajaan yang sah, jumlah majoriti mudah yang diperlukan adalah 112 kerusi Parlimen. Jadi, jangkaan awal saya, BN mendapat sekitar 115 hingga 120 kerusi, manakala selebihnya oleh pembangkang diterajui PH. 

Kem Najib meyakini masih dapat mengekalkan mandat berdasarkan usaha yang dibuat oleh mereka. Di pihak PH yang diterajui oleh Tun Dr M, mengharapkan mereka dapat menamatkan penguasaan BN yang memerintah lebih 60 tahun. PAS pula menyasarkan negeri Pantai Timur dan menjadi 'King Maker' kepada kerajaan campuran jika BN gagal mendapat majoriti mudah.   

Rakyat menanti keputusan PRU14 dengan pelbagai andaian. Namun begitu, menjelang malam, agak pelik kali ini, liputan oleh media khususnya RTM, TV3 dan Awani begitu lembab. Keputusan PRU hanya berlegar-legar dengan kejayaan BN di Sarawak, dan Sabah, tetapi tiada keputusan rasmi di semenanjung sehingga melepasi jam 12 malam. SPR gagal membuat pengesahan keputusan biarpun pengiraan undi telah selesai lebih awal. Ini amat mengejutkan, apatah lagi sumber tidak rasmi dalam media sosial menyatakan Pakatan Harapan (PH) sedang mendahului BN.  

Sumber dalam media sosial menyatakan PH sudah menguasai Putrajaya, pada jam 11 malam. Ini bukan PRU biasa, detik hati saya. Apakah mungkin penguasaan Najib dan BN tamat malam ini? Akhirnya penat menanti pengesahan, saya tertidur juga. Kira kira pukul 4.45 pagi, SPR membuat kenyataan rasmi bahawa PH sudah mendapat majoriti mudah yang membolehkan mereka menubuhkan kerajaan. Dengan kata lain, BN yang diterajui oleh YAB Dato' Seri Najib Razak telah tewas buat kali pertama selepas 60 tahun. Kenyataan SPR yang ringkas itu menjelaskan segala berita dalam media sosial seperti whatapps dan facebook. 

Negeri Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Pulau Pinang jatuh dalam genggaman PH, manakala PAS dapat mengekalkan kuasa di Kelantan serta melebarkan pengaruh ke Terengganu.  Di Sabah, parti WARISAN pimpinan Datuk Shapie Apdal mendahului kiraan kerusi. Di Perak, Kedah, BN tidak dapat menubuhkan kerajaan kerana jumlah kerusi tidak mencukupi. 

PRU14 pada 9 Mei 2018, mencatat sejarah sebagai penamat kepada penguasaan BN yang diterajui oleh UMNO, parti keramat orang Melayu. Terus saya teringat satu klip video ucapan Dr. Mahathir. Dalam klip video itu, beliau menyatakan pada 2020, UMNO akan ditolak oleh orang Melayu kerana hilang kepercayaan akibat sikap pemimpin yang tamak kuasa dan membelakangkan kebajikan rakyat. Hari ini, apa yang dinyatakan beliau menjadi kenyataan yang pahit untuk ditelan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib. Ironinya, BN diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak, menggantikan Parti Perikatan, dan usianya memerintah negara 'ditamatkan' semasa anaknya, Datuk Seri Najib memerintah. 

Rumusan yang boleh saya kongsikan berdasarkan pemerhatian saya:
1. Tun Dr Mahathir, seorang negarawan genius, yang menjadi arkitek kepada tewasnya BN. Tun mengetuai PH yang menggabungkan DAP, PKR, Bersatu dengan menggunakan logo yang sama. Penghinaan oleh Najib dan pemimpin UMNO dalam kempen mereka rupanya menjadikan rakyat lebih simpati kepada Tun. Apabila Tun hadir dalam kempen di Johor, Negeri Sembilan, dan Selangor, jumlah hadirin melebihi jangkaan. Ia memberi isyarat jelas PH mendapat sambutan rakyat.

2. Apabila SPR mengumumkan Rabu sebagai hari pembuangan undi, PH telah memberi respons cuti tambahan pada Khamis dan Jumaat, jika berjaya membentuk kerajaan. Ini menarik perhatian pengundi khususnya kakitangan awam. Pemilihan hari Rabu sebagai hari mengundi menyebabkan wujud andaian kerajaan melalui SPR cuba mengelakkan rakyat melaksanakan tanggungjawab mereka memilih kerajaan. SPR dilihat tidak telus dan gagal menyatakan justifikasi hari Rabu dipilh sebagai hari membuang undi. 

3. Cubaan BN menambahkan 3 lagi insentif dalam manifesto pada malam sebelum pengundian, dianggap sudah terlewat. Manifesto PH lebih diyakini dan 'dekat' dengan pengundi. 

4. Pengundi muda banyak mendapat akses media sosial untuk berkempen, berbanding generasi lama yang masih berkiblatkan TV dan ceramah konservatif. Klip video ceramah PH yang dihadiri ribuan rakyat membuktikan mereka mendapat sambutan luar biasa. 

5. Media sosial menjadi medium utama kempen yang sangat berkesan, menggantikan media cetak dan elektronik yang dikawal oleh kerajaan pemerintah. Statistik oleh INVOKE, IDE dan Merdeka Centre memang menunjukkan PH mendapat sambutan berbanding BN. 

6. Isu rasuah, GST dan kos sara hidup yang tinggi tidak dapat ditangani dengan baik oleh BN. Ini dijadikan 'peluru hidup' oleh kem PH sepanjang kempen. Isu 1MDB juga telah meletakkan Najib dalam keadaan yang berisiko dan tidak dipercayai. Sikap Najib yang sedikit 'arrogant' seperti menuturkan 'kepala bapak engkau' dan 'stupid' terhadap mereka yang mengkritiknya juga mengakibatkan BN terpaksa membayar dengan harga yang mahal.

Kepada PH, saya berharap mandat yang diberikan oleh rakyat dapat digunakan untuk rakyat, demi rakyat. Jika ia gagal diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan, nasib PH mungkin sama seperti BN hari ini pada PRU akan datang. 


Selamat kembali ke Putrajaya, Tun!


1 comment:

Jejak yang ditinggalkan

DAMAILAH IJAN, WIRA NEGARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Keranda jenazah Ijan dibawa ke masji...